Tuesday, 31 December 2024

Tahun 2025 yang lebih berstrategi

 Tahun baru, azam baru dan plan pun kena la baru. Jangan harap adanya perubahan jika kita asyik dok buat benda yang sama setiap hari. Kita kena ubah plan. Sebagaimana kata pepatah Inggeris yang berbunyi

'Don't expecting a different result if we keep doing the same thing.'




Sunday, 29 December 2024

Berbahagi Rezeki

 

“ Kak, bungkus nasi lemak satu. Lauk paru ya.”

“Baik encik” .

“Okey encik, siap! RM5.50.”

“Ini kak duitnya”, lalu kita pun hulur sekeping not kertas ‘kaler hijau’ dan sekeping not seringgit.

“Ini bakinya, RM0.50sen”. Kakak nasi lemak pun hulur duit syiling pada kita.

“Tak apa kak. Simpan duit baki tu. Anggap ia sebagai sedekah daripada saya”.

 

Kata ustaz yang selalu datang memberi kuliah agama di surau kami, “Jika kita rajin bersedekah, rezeki kita akan menjadi lebih murah.”

 

Menurut beliau lagi, formula bersedekah ini memang pelik dan tidak terjangkau dek akal kita. Kalau ikut perkiraan asas Matematik yang diajar oleh Cikgu Fadli Salleh kepada murid-murid beliau di sekolah, katakan anda mempunyai dua biji rambutan. Kemudian anda beri sebiji rambutan itu kepada kawan yang duduk di meja sebelah. Jadi baki rambutan yang anda ada sekarang tentulah satu.

 

Bagaimanapun, tidak bagi amalan sedekah ini kerana perkiraan ‘dua tolak satu’ itu jawapannya bukan ‘satu’ malah ia boleh jadi ‘sepuluh atau 'tujuh puluh’.

 

Ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:  "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."(Al-Baqarah: 261)

 

Kelebihan sedekah memang tidak dapat disangkal. Amalan ini tidak sekali-kali akan mengakibatkan harta kita berkurangan; sebaliknya, semakin kerap kita memberi, ia mampu memperkayakan hati, membersihkan harta, melonggarkan rezeki, dan memanjangkan usia. Yang paling penting, kita perlu yakin dengan ketentuan rezeki yang ditentukan oleh Allah.


🅪 Buku Hidup Kena Kuat

🅪 Nota Untuk Sukses Dalam Kehidupan




Apabila Rezeki Masih Tertahan

 

Pada dasarnya, rezeki setiap individu telah ditentukan oleh Allah SWT semasa roh ditiupkan ke dalam jasad kita ketika masih berada dalam kandungan. Pada saat itu, Allah telah menetapkan seberapa banyak rezeki yang akan diperoleh oleh setiap orang. Baik itu dalam bentuk keuntungan ataupun kerugian, segala sesuatu telah dicatatkan dan tidak akan berubah hingga saat kita menghembuskan nafas terakhir.

 

Berdasarkan prinsip ini, Pak Belalang dengan penuh keyakinan memberikan tazkirah kepada Pak Kachung dan temannya ketika mereka datang berkunjung ke rumahnya. Mereka mengajaknya untuk bekerja di ladang baharu yang diterokai oleh Ketua Kampung.

 

Dalam tazkirahnya, Pak Belalang menyampaikan, "Lagikan ulat dalam batu boleh makan, inikan pula kita yang di dalam rumah." Benar seperti yang dikatakan oleh Pak Belalang, rezeki setiap individu telah ditetapkan oleh Allah. Selama kita masih hidup, rezeki itu tetap tersedia. Meskipun ulat berada di dalam batu, Allah tetap menyediakan rezeki untuknya. Namun, perlu diingat, tidak semua rezeki yang ditetapkan untuk kita akan turun dengan mudah. Kita masih diwajibkan untuk berusaha.

 

Jadi, walaupun rezeki sudah ditetapkan, usaha dan kerja keras tetap diperlukan. Itulah bagian dari ujian hidup dan bentuk ketaatan kita kepada Allah. Dengan menjaga tawakkal dan terus berusaha, kita akan mendapatkan rezeki yang telah Allah tetapkan untuk kita pada waktunya.

 

Sebagaimana maksud ayat yang berbunyi, “Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl: 14).

Intipati utama dalam ayat tersebut ialah kita kena berusaha. Walaupun rezeki untuk kita sudah ditetapkan tetapi ia tidak akan turun dengan sendiri.

 

Justeru, jika di antara kita berasakan seolah-olah rezeki terhenti atau terkandas pada masa ini, ingatlah bahawa ini bukan bermakna Allah lupa mencatatkan rezeki untuk kita atau Allah tidak lagi melimpahkan rahmat-Nya kepada kita. Tidak! Sesungguhnya, Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


🅪 Buku Hidup Kena Kuat

🅪 Nota Untuk Sukses Dalam Kehidupan




 

Mengapa Rezeki Aku Belum Sampai-Sampai lagi?

 

Tatkala lelah dan keletihan merayapi diri, sering kali terlintas dalam fikiran untuk menyerah. Usaha yang dilakukan dengan penuh daya dan upaya, namun hasil yang diimpikan masih terlalu jauh untuk dicapai. Malah, semakin keras berusaha, rezeki seolah-olah semakin berlari menjauh, bukan mendekat.

 

Kekecewaan bertambah apabila melihat jiran atau sahabat yang mungkin tidak seberapa usaha mereka, namun hasil yang diperoleh jauh melampaui usaha kita yang gigih bekerja siang dan malam. Pertanyaan diri muncul, "Apakah ini petanda bahawa hidupku telah diatur untuk terus menderita dalam kemiskinan? Mengapa segala usaha yang dilakukan tidak pernah membuahkan hasil?"

 

Namun, di tengah tekanan dan kegelisahan itu, tenangkan hati. Renungkan dengan sabar dan yakinlah bahawa setiap ujian adalah ujian yang Allah berikan. Mungkin kita tidak dapat melihat hikmahnya pada masa ini, tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

 

Hidup ini penuh cabaran, namun bukan bererti kita harus menyerah kalah. Perjalanan hidup penuh dengan ujian dan dugaan, tetapi setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas dan tawakkal kepada Allah pasti akan mendapat ganjaran pada waktu yang tepat.

 

Tetaplah berusaha dengan penuh keikhlasan dan yakinlah bahawa setiap langkah ke arah kebaikan pasti akan diakui oleh Allah. Jangan terlalu fokus pada kebendaan semata-mata, kerana kebahagiaan sejati juga terletak pada kepuasan hati dan ketenangan jiwa.

Ingatlah, kehidupan ini bagaikan perjalanan yang panjang. Kadang-kadang, kita perlu bersabar menunggu waktu yang tepat untuk meraih kejayaan. Teruskan usaha, berdoa dengan tulus, dan percayalah bahawa setiap detik usaha yang diberikan pasti akan menjadi ladang kejayaan di masa depan.

 

Dalam surah Hud ayat 6, Allah SWT telah berfirman: “Dan tidak ada suatu binatang yang melata di bumi melainkan Allah-lah akan memberinya rezeki, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).”

 

Ayat tersebut memberitahu kita bahawa rezeki untuk kita telah dijamin sejak azali lagi. Cuma, rezeki itu belum sampai lagi. Justeru, selagi rezeki kita belum sampai, selagi itulah ia belum menjadi hak milik kita. Lalu, selagi itulah juga kita kena terus berusaha.

 

Betul sekali, sahabat. Kayuhan hidup ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Semua orang menghadapi ujian masing-masing, dan setiap detik itu bagaikan satu cabaran yang perlu dihadapi dengan keberanian dan ketabahan.




Wednesday, 25 December 2024

Tips bahagia cara kita

 Tak perlu ambil tahu perkara yang kita tak perlu tahu. Jangan bandingkan harta kita dengan orang yang lebih kaya.Takut nanti hilang rasa syukur dalam diri atas rezeki yang kita ada.

Masih diberi kesihatan yang baik, jiwa yang masih segar, badan yang masih kuat dan rezeki yang tak putus-putus pun sudah cukup untuk kita rasa bahagia.

Kita cipta bahagia cara kita



Saturday, 14 December 2024

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘advance’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Bagaimana istilah ini mula diguna pakai? Ia bermula di satu laman page yang popular dengan masalah rumah tangga, dipanggil Kisah Rumah Tangga atau singkatannya KRT, yang bermula pada tahun 2017.

Dalam laman page itu, banyak kisah rumah tangga dipaparkan, maka ramailah tukang nasihat yang tidak bertauliah muncul secara tiba-tiba untuk menyelesaikan masalah pengadu. Ramai memberi pendapat terdiri daripada mak cik-mak cik, dan terciptalah perkataan ‘Mak Cik Bawang’.

 

Ada juga pendapat yang mengatakan istilah ‘Mak Cik Bawang’ ini bermula di kampung-kampung, ketika kenduri-kendara. Mak cik-mak cik yang merewang akan duduk beramai-ramai sambil kupas bawang, tangan berjalan, mulut juga sama-sama bekerja. Mulalah bercerita dari satu kisah ke satu kisah, dari hal sendiri sehingga kisah rumah tangga orang lain.

 

Jika pada tahun 70an dan 80an dahulu, cara mak cik bawang menjalankan aktiviti bercerita tentang seseorang bermula sebaik sahaja selesai bersarapan, dia akan bergerak ke rumah rakan baiknya yang bertindak sebagai ‘Ketua Penerangan’ terlebih dahulu. Di situ lah cerita bermula. Jika kebetulan 'Ketua Penerangan' sedang sibuk menguruskan rumah tangganya, mak cik bawang sanggup menunggu di pangkin atau di ruang tamu sehingga teman kepercayaannya menyelesaikan tugasnya terlebih dahulu.

 

Setelah duduk bersantai sambil menikmati semangkuk kerepek ubi dan secawan kopi panas, baru dia boleh ‘start’ buka cerita. Jika teman kepercayaannya sibuk dengan kerja rumah ketika dia bercerita, ceritanya mungkin tidak begitu berkesan dan tidak menusuk ke lubuk hati. Ada kemungkinan cerita tersebut tidak akan tersebar ke seluruh kampung.

 

Namun, seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi, tugas mak cik bawang kini semakin ‘advance’. Dia tidak perlu lagi mengetuk pintu rumah ‘Ketua Penerangan’. Sebaliknya, dia hanya perlu duduk dengan selesa atas kusyen di ruang tamu di rumahnya sambil menonton Netflix. Kemudian, dia akan mengeluarkan 'handphone' dan membuka aplikasi WhatsApp.

 

Dengan kecepatan menaip 20 patah perkataan dalam satu minit, dia mulai menaip di skrin ‘handphone’. Setelah selesai menaip, dia hanya perlu menekan butang 'SEND'. Beberapa minit kemudian, informasi tersebut akan tersebar kepada semua ahli dalam kumpulan.

 

Selang beberapa jam kemudian, cerita tersebut telah menjadi tular ke seluruh taman perumahan dan pekan berhampiran kerana kegigihan ahli mesyuarat tingkap yang lain 'copy’ dan ‘paste' info tersebut dan memasukkannya ke dalam status Facebook atau WhatsApp masing-masing, sehingga menyebabkan mangsa yang dijadikan ‘bahan’ oleh ‘mak cik bawang’ tadi mungkin mengalami kemurungan.

 

Ini seakan-akan satu galakan kerana perbuatan ‘mak Cik bawang’ itu seolah-olah dianggap sebagai perkara biasa dan tanpa rasa bersalah. Istilah yang sebenar dipanggil mengumpat jika cerita itu benar, dan menfitnah jika berita itu salah. Dalam istilah terkini, ia dipanggil membawang atau bergosip.

 

 "What you give you get back. What goes around comes around'. Itulah pepatah Inggeris yang biasa kita jumpa. Pepatah ini mengingatkan kita supaya jangan suka membuka aib orang.


Namun sebagai manusia, kita tetap lupa. Kita seakan seronok bila dapat menjaja cerita orang sehingga lupa yang kita jiga sebenarnya ada aib. Sehinggalah pada satu hari, giliran aib kita pula dibuka dan diselak.

Ketika itu baru kita sedar. Baru kita insaf tapi dah terlambat. Justeru, tak payahlah nak sebok hal orang. Jaga hal sendiri sudah.


🅪

🅪

🅪

👉

Terkadang kita perlu waktu untuk menyendiri.

 Salah satu cara saya nak healing sorang-sorang di kedai mamak tanpa gangguan kawan atau kenalan 'sepengetehan' ialah dengan bawa bekal dan makan di meja yang sedikit jauh dari meja dia orang.

Bukannya saya sombong atau tak nak belanja 'deme' minum tapi saya rasa saya perlu 'spend time' untuk diri sendiri. Lebih-lebih lagi bila saya dah ' exhausted' selepas melayan kerenah pesakit, relatif dan supplier atau pun selepas saya berjaya menjawab soalan-soalan hangit bertaraf Kbat dari sorang staff yang 'tiga suku masak' (staff saya ni ada masalah berkaitan jiwa). Jika hari tu dia terlupa ambil ubat, maka bermacam soalan menguji minda akan ditanya oleh beliau.

Kawan sepengetehan saya dah masak dengan situasi ni. Mereka, kalau nampak saya senyum kemudian duduk di meja asing jauh dari mereka, mereka akan bagi ruang untuk saya 'healing' sorang-sorang. Jika mereka ajak juga saya duduk semeja, mereka seolah-olah sedang bersembang sorang-sorang.Saya jarang akan respon. Paling tidak pun saya akan mengiakan atau angguk saja setiap kali mereka bercerita. Atau pun saya sekadar senyum. Kemudian saya akan sambung semula makan. Jadi, untuk berlaku adil, mereka akan biarkan saya layan 'blues' sorang-sorang.

Lepas dah selesai 'recharge', barulah saya akan pergi ke meja tempat dia orang 'bermesyuarat', bersalam dan bertanya khabar lebih kurang. Kemudian saya akan masuk ke pejabat semula.


Apa yang nak disampaikan di sini?

Jika pada satu hari anda masuk ke kedai mamak atau restoran dan terlihat kawan anda sedang duduk sorang-sorang di satu sudut terpencil, anda boleh pergi jumpa dia sekadar untuk bertegur sapa. Kemudian beredarlah. Kecuali jika dia pelawa anda duduk sama. Kita kena fahamu, kadang-kadang dia perlu ruang sendiri untuk bertenang. Berilah peluang untuk dia beristirehat dan 'meeting' dengan diri sendiri.

Ada pelbagai cara untuk seseorang itu 'recharge' atau 'healing' dan kaedah yang paling mudah ialah dengan menyendiri. Setelah mereka menghabiskan waktu bersama orang lain atau menuruskan hal kehidupan, dia mungkin perlu waktu untuk  dirinya sendiri. 

Justeru, jangan diganggu.

🅪
🅪
🅪
☆☆☆
Nasi tengahari ni, Mem masak sambal udang dan kailan ikan masin.



Tak Perlu Ambil Tahu Sangatlah Hal Orang Lain!

 

Dalam satu ceramah yang saya dengar daripada seorang ustaz, katanya, “Jalan hidup setiap orang tidak sama. Ada orang dikurniakan zuriat yang ramai tetapi hidup dia sekadar cukup makan saja. Ada pula yang dikurniakan harta melimpah tetapi zuriatnya pula tak ada. Namun, di antara dua kategori ini, Ada satu lagi kategori yang memang cukup bertuah. Mereka bukan saja dikurniakan harta melimpah, malah zuriatnya juga ramai.”

 

Inilah ketetapan yang kita semua kena terima. Di mana setiap makhluk telah ditulis akan takdirnya masing-masing. Tidak kira sama ada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Malah segala yang ada di dalam dan di luar cekrawala ini ada takdir masing-masing. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yaasin ayat ke 40, yang bermaksud, ‘Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.’

 

Ketetapan tersebut tidak dapat ditentang oleh sesiapa. Jika kita semua akur dengan ketetapan ini, hidup kita akan aman dan damai. Kita buat kerja kita. Jiran kita buat hal dia. Namun, disebabkan di dalam diri kita ada sifat-sifat yang tidak baik, seperti sifat iri hati dan cemburu.

 

Ada di kalangan kita yang hobinya suka ambil tahu perihal kehidupan orang lain. Berbeza dengan ‘mak cik bawang’ yang suka menjaja cerita buruk seseorang, sifat suka ambil tahu ini pula ialah dia suka menceroboh ‘privacy’ orang lain. Sehingga ada yang tanpa segan silu melebelkan diri mereka kononnya ahli Persatuan Netizen Malaysia.

Apa yang orang lain buat, semua dia nak ambil tahu. Apa yang orang lain buat semua dia nak komen dan beri pendapat. Misalnya, Ketika melayari laman Facebook, secara tidak sengaja terlintas satu posting kawan kita sedang ‘berselfie’ dengan kereta yang baharu dia beli.

 

Sebelum ini, kawan tersebut hanya terlihat memandu sebuah kereta Kancil 'second hand' sahaja. Apabila terlihat 'posting' itu, kita berasa susah hati. Kita berasa risau kalau-kalau hidup kawan kita itu akan susah selepas ini kerana terpaksa membayar ansuran kereta baharunya. Apatah lagi, kita tahu kawan kita itu cuma seorang Pekerja Am sahaja di sebuah Jabatan Kerajaan.

 

Pada hari lain pula, sebuah van syarikat ‘courier’ datang ke pejabat tempat kita bertugas. Dia menghantar satu unit ‘pressure cooker’. Rupanya salah seorang dari rakan sekerja yang beli ‘press cooker’ itu. Tidak semena-mena kita berasa tidak puas hati. Padahal kita tahu yang si dia itu menjalankan bisnes menjual makanan selepas habis waktu kerja.

 

Ini juga antara penyakit orang kita. Suka ambil tahu tentang kehidupan orang lain atau orang sekarang kata ‘kepochi’. Padahal kita ini bukannya siapa-siapa pun dengan mereka. Apatah lagi tiada bersangkutan pertalian darah. Namun kita pula yang terlebih cakna. Sedangkan, dalam masa yang sama, masalah kita masih banyak yang belum selesai. Tetapi kita masih ada hati nak ambil tahu kisah hidup orang lain.

 

Kasihan, bukan?

 

Dari sudut perspektif psikologi, apabila kita cenderung untuk ambil tahu atau peduli terlalu banyak tentang kehidupan orang lain, hal ini mungkin menunjukkan ada isu atau masalah dalam diri kita. Secara mudahnya, tindakan ini mungkin menandakan keadaan emosi atau kebahagiaan yang tidak stabil. Salah satu ciri individu yang mungkin tidak bahagia adalah apabila mereka berasa susah hati melihat kebahagiaan orang lain. Mereka mungkin ingin agar orang lain juga berasakan perasaan yang sama seperti yang mereka alami.


👉 Petikan dari buku 'Hidup Kena Kuat' - Nota Untuk Sukses dalam Kehidupan



Saturday, 7 December 2024

Jangan Pernah Bermimpi Untuk Menjadi Orang Lain (Teaser buku Hidup Kena Kuat)


Kita sering melihat kehidupan orang lain lebih bahagia, lebih indah, dan lebih seronok berbanding dengan kehidupan yang sedang kita lalui sekarang. Sebagai contoh, pada suatu pagi, sewaktu berkunjung ke pasar pagi untuk beli barang basah, kita terserempak dengan kawan lama kita, ‘A’.


 Kita melihat dia baru keluar dari kereta berjenama import dan pakaian yang dipakai juga berjenama, yang sudah tentunya dibeli di butik pakaian bukan jenis yang dibeli dari pasar malam seperti kita. Selepas bertanya khabar, kita pun bertanya tentang status terkini 'A'.


 Dia memberitahu kita bahawa dia memiliki sebuah perniagaan yang membekal peralatan pejabat. Lalu, terdetik dalam hati kita, "Best-nya dia. Tentu dia banyak duit sekarang. Nak ini boleh beli, nak itu boleh beli. Tak perlu nak kumpul duit sikit-sikit setiap bulan seperti aku jika nak beli sesuatu barang atau nak tukar spare part kereta."


Sambil berjalan menuju pasar, kita pun berangan nak jadi seperti dia suatu hari nanti. Pada hari lain, ketika keluar mengeteh di kedai mamak, secara tidak sengaja kita terjumpa dengan kawan lama kita si ‘B’. Kita melihat pakaiannya kemas lengkap bertali leher. Bila ditanya di mana dia bekerja, dia memberitahu kita bahwa dia sudah lima tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat korporat.


 Lalu, kita pun terfikir lagi, “Alangkah bertuahnya dia. Kerja dalam aircond setiap hari. Tidak seperti aku yang terpaksa masuk kebun sawit setiap pagi mengambil upah memangkas dan memunggah pelepah sawit, demi mendapatkan upah seringgit dua bagi membeli dua bungkus nasi lemak.”


Ketika itu, kita pun memasang angan-angan untuk jadi seperti ‘B’ pula. Itulah sikap kita, bila melihat hidup orang itu nampak bahagia dan ceria, kita pun mulai memasang angan-angan untuk menjadi seperti mereka. Melihat kehidupan orang lain nampak lebih indah dan seronok berbanding kehidupan kita saat ini. Hakikat sebenarnya ialah kita tidak tahu bahawa orang itu juga memiliki masalah tersendiri, dan apa yang kita lihat hanyalah pandangan luaran. Orang Putih kata, 'tips of iceberg'.


 Memang pada pandangan zahir, kita melihat ‘A’ sebagai orang yang hebat karena berjaya memiliki perniagaan, hidup mewah, dan bebas berbelanja. Namun, apa yang kita tidak tahu adalah setiap malam ‘A’ tak dapat tidur dengan lena karena memikirkan 'lubang' mana yang perlu dia korek untuk membayar hutang kepada pembekal yang tertangguh sejak dua minggu yang lalu. Apa yang kita tidak tahu adalah dia sedang susah hati karena pelanggannya telah melarikan diri bersama hutang yang nilainya belasan ribu ringgit.


 Begitu juga dengan ‘B’. Meskipun nampak dia berpakaian kemas dan berkerja di pejabat berhawa dingin, kita tidak tahu bahwa pakaian tersebut mungkin merupakan etika berpakaian di kebanyakan pejabat. Jarang pekerja pejabat yang memakai t-shirt dan seluar jeans. Kita tidak tahu, walaupun dia sentiasa kelihatan kemas dan bergaya, sebenarnya itulah satu-satunya pakaian mahal yang dia ada.


 Apa yang kita tidak tahu juga ialah di dalam dompetnya sekarang hanya tinggal tiga empat keping ‘duit merah’ saja lagi yang terpaksa dia catu sehingga hari gaji pada hujung bulan nanti. Sedangkan kita, walaupun bergelar ‘Buruh Ladang’ yang setiap hari masuk kebun sawit untuk memangkas dan mengusung pelepah, namun kita masih mampu meraih pendapatan RM60 ke RM100 sehari. Silap-silap, pendapatan kita lebih lumayan berbanding si ‘B’ yang berkerja di dalam pejabat berhawa dingin.


Kita memandang kehidupan orang lain lebih bagus dan lebih baik berbanding kehidupan kita. Kita merasa cemburu dengan kejayaan yang mereka capai, sedangkan kita masih berada di tahap yang sama sejak kita tamat belajar dahulu. Lalu kita pun tertanya-tanya kenapa mereka boleh berjaya sedangkan kita juga keluar dari universiti atau kolej yang sama.

.

𛲡

𛲡

𛲡

✅ Buku Hidup Kena Kuat

✅ Nota Untuk Sukses Dalam Kehidupan




Friday, 6 December 2024

Syukuri atas setiap nikmat

Syukuri rezeki yang tuhan kurnia pada kita dan jangan sesekali timbul perasaan iri atau dengki dengan rezeki orang lain. Kita tak akan pernah rasa cukup sekiranya kita asyik nak bandingkan rezeki kita dengan rezeki yang orang lain dapat.

Nasib setiap orag tak sama. Jalan hidup dan ujian setiap orang juga tak sama. Walaupun kita dengan si dia tu pernah belajar satu sekolah atau satu universiti. Tapi bila 'grad', jalan yang kita pilih berbeza. Jadi, sudah tentu rezeki yang bakal diterima juga tidak akan sama.
Keduanya, apa yang si dia tu dapat belum tentu sesuai buat kita. Sebab itu tuhan tak bagi pada kita. Tuhan yang cipta kita, jadi Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang tidak baik buat kita. Sebab itu kadang-kadang Dia tak bagi apa yang kita minta.
Namun kita tetap kena bersangka baik dan jangan sesekali berputus harap. Ingat.. Apa yang tuhan telah takdirkan untuk kita pasti akan datang pada kita apabila tiba masanya walaupun ketika itu ada seribu tangan yang cuba menghalang dan apa yang bukan milik kita tak akan datang kepada kita walau pun pada ketika itu ada seribu tangan yang cuba membantu.
Justeru, fokus dan nikmati saja apa yang tuhan telah kurniakan pada kita hari ini.
Simple...
.
□ ini roti yang Mem goreng pagi tadi. Abam 'carry forward' untuk minum petang.



Thursday, 31 October 2024

Deepavali 2024

Setiap tahun mesti datang beraya rumah Aci ni sebab dulu Aci ni berjiran dengan mak mertua saya masa mereka sama-sama tinggal du kuarters JKR Batu Gajah, Perak. Arwah bapa mertua dan mendiang suami Aci ni sama-sama kerja di JKR Batu Gajah dan sama-sama tinggal di kuarters. Mereka berjiran.

Bila dah berjiran tu, hubungan mereka memang rapat la. Termasuk isteri saya dan anak-anak mereka. Sama-sama jalan kaki pergi sekolah dan sama-sama belajar. Bila Mendiang suami Aci ni pencen, mereka pindah ke Ipoh manakala mak mertua pula menetap di Batu Gajah.
Jadi setiap kali raya Deepavali, kami akan melawat mereka dan setiap kali raya puasa, mereka akan datang beraya. Harap tradisi ni akan berterusan walaupun kami berlainan agama. Yang penting kita dapat rasa macam-macam makanan dan kuih raya.




Saturday, 19 October 2024

Program Fiesta Rasta di UiTM Seri Iskandar Perak.

Pihak UiTM Seri Iskandar Perak, di bawah Jabatan  Senibina Lanskap telah menganjurkan program Fiesta Rasta  pada 18 dan 19 Oktober 2024 itu hari. Mereka menjemput pihak vendor untuk membuka booth pameran dan sahabat saya iaitu Kartunis Kucai dan Cikgu Has telah diundang untuk membuat pameran kartun dan menganjurkan bengkel melukis kartun.

Memandangkan saya juga tinggal di kawasan berhampiran, kedua sahabat saya ini menjemput saya untuk hadir sama.







Saturday, 5 October 2024

prinsip kedua tentang 'perkara yang perlu dielakkan agar hidup kita lebih tenang'.

 Ini prinsip kedua tentang 'perkara yang perlu dielakkan agar hidup kita lebih tenang'.

.
Kita boleh tanya pendapat orang jika perlu tapi tidak semestinya kita kena terima pakai pendapat dia. Jika dia kata,apa yang kita buat tu tak betul kerana tak ikut saranan yang dia berikan, its okey. Itu pilihan kita sebab kita tak perlu 'validation' atau 'endorsement' dia dalam setiap tindakan kita.
Jika kita amalkan sikap ini, insyaAllah hidup kita akan tenang di mana jua kita berada.

Untuk tengok video yang berkaitan, boleh jengok Facebook saya di sini:

.

Jika ingin mendapatkan buku saya, boleh klik link di bawah:


Monday, 2 September 2024

Kenapa kita diuji dengan ujian yang sama berkali-kali?

 Ujian setiap orang tidak sama. Ada yang diuji dengan masalah kewangan, ada yang diuji dengan masalah kesihatan dan pebagai bentuk ujian lagi. Tapi kita tidak diuji dengan ujian yang serupa berkali-kali. jika kita ditimpa oleh ujian yang sama berkali-kali, bermakna ada sesuatu yang tak kena.




👉



Friday, 30 August 2024

Bersyukur atas ujian

Selagi kita hidup, selagi itulah kita tidak terlepas dari diuji dan banyak sebab mengapa kita diuji. Salah satunya supaya kita bersyukur.

Kebanyakan dari kita tidak berapa menghargai apa yang kita perolehi jika kita dapat dengan mudah. Tapi bila kita terpaksa tempuhi ujian terlebih dulu baru kita boleh dapat, di situlah akan terbitnya rasa syukur di atas nikmat yang kita perolehi itu.




Wednesday, 28 August 2024

Raikan Perasaan.

 

Mengapa kita perlu belajar untuk menerima? Sebab, bila kita terima barulah kita merasa lapang dan kita akan nampak peluang yang ada di depan mata. Selagi kita tak mahu menerima, selagi itu mata hati kita tertutup dan kita tidak boleh move on.





Jika itu sudah ditakdirkan buat kita, tak perlu kita nak denial atau nak persoalkan. Berlapang dada dan dan terima.



Wednesday, 14 August 2024

SABAR DALAM MENCARI REZEKI

 Seperti yang diketahui, setiap orang sudah dijamin akan rezekinya tetapi dengan satu syarat iaitu kita perlu berusaha. Perkara ini sudah termaktub sejak azali lagi dan menjadi asas atau sifir kehidupan sehingga ia dijadikan simpulan bahasa iaitu, ‘siapa yang berusaha dia akan dapat.’


Namun begitu sudah menjadi adat dunia, ada orang yang ditakdirkan mudah dan senang dalam usahanya mencari rezeki. Apa saja perkara yang dia buat pasti akan berhasil sehingga dia dilabel sebagai orang yang punya ‘magic touch’.

Sebaliknya ada pula mereka yang ditakdirkan melalui jalan yang agak sukar. Telah banyak usaha yang dia buat tetapi satu pun tidak menjadi. Berniaga, tidak bertahan lama. Nak mohon kerja dengan syarikat besar seperti kawan-kawan yang lain pun tidak ada peluang sama sekali. Padahal kalau diikutkan dia mempunyai kelayakan akademik yang lebih berbanding kawan-kawannya yang lain. Tetapi nasib tidak meneyebelahi dia. Sudah berpuluh ‘resume’ dihantar dan sudah berkali-kali dia dipanggil untuk ditemuduga, tetapi satu pun ‘Tak Sangkut’.

Inilah yang membuatkan dia sentiasa berasa rendah diri dengan kawan-kawan yang lain.

Terkadang, Apabila dia bersendirian sambil memikirkan masa depan, timbul rasa ‘jelous’ melihat kawan-kawan yang lain. Malah, ada ketikanya bukan setakat ‘jelous’ saja, tetapi sudah sampai ke tahap di mana dia berasakan seolah-olah takdir Allah itu tidak adil kepadanya.

Namun, bila teringat semula akan intipati kuliah yang pernah didengarinya daripada seorang ustaz yang mengajar di surau kampungnya satu ketika dahulu yang mengatakan bahawa rezeki sesorang itu sudah dijamin oleh Allah, dia segera insaf. Hatinya kembali lega dan redha.

Lalu dia pun berbisik pada diri sendiri, “Mereka dapat kerja bagus, mungkin itu sudah rezeki mereka. Insya-Allah rezeki aku akan sampai juga satu hari nanti. Asalkan aku tidak patah semangat dan berusaha dengan betul dan sabar.”

Situasi ini bukan dia sorang saja yang rasa. Mungkin anda juga pernah merasainya dan hanya mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini saja yang tahu dan faham akan perasaan itu.
Sedih, kecewa, putus asa dan bermacam perasaan lain datang mengganggu diri kita hampir setiap hari. Sehingga kadang-kadang sampai ke tahap menggoncang iman disebabkan oleh bisikan dan perasaan negatif tersebut.

Kepada mereka yang dalam situasi sedemikian, ketahuilah bahawa rezeki setiap orang berbeza. Ada orang dikurniakan rezeki dalam bentuk material seperti wang ringgit, pangkat atau harta kekayaan tetapi ada pula yang dikurniakan dalam bentuk yang tidak dapat diukur atau dilihat dengan mata kasar seperti diberi kesihatan yang baik, dianugerahi sebuah keluarga yang bahagia, mendapat anak yang mendengar kata, dan diberi kelapangan waktu untuk beribadah.

Banyak contoh yang kita boleh lihat di sekeliling kita. Mungkin terjadi kepada jiran atau sahabat kita. Kita lihat hidup dia cukup bernasib baik. Dia punya harta kekayaan tetapi kita tidak tahu bahawa dalam masa yang sama bermacam penyakit menghuni di dalam tubuhnya. Bermula darah tinggi sehinggalah ke penyakit Gout dan Diabetes.

Terlalu banyak mengonsumsi daging sedikit saja, tekanan darahnya mulai meningkat. Minum kopi manis sedikit saja dengan keliru, bacaan gula dalam darahnya sudah meningkat secara mendadak. Ketika hari hujan atau musim jerubu, kita orang biasa masih dapat melakukan aktiviti di luar, namun dia terpaksa pergi ke Jabatan Kecemasan di hospital berdekatan untuk mengambil 'ventolin puff' karena mengalami serangan asma. Sekiranya terkejut sedikit, denyut jantungnya segera menjadi tidak normal. Dalam kes yang teruk, mungkin perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) untuk pemantauan oleh doktor pakar.

Begitulah takdir Allah. Setiap orang tidak akan dapat kesemuanya.

.
***
Petikan dari buku 'HIDUP KENA KUAT'. 'Nota untuk sukses dalam kehidupan'.




Tahun 2025 yang lebih berstrategi

 T ahun baru, azam baru dan plan pun kena la baru. Jangan harap adanya perubahan jika kita asyik dok buat benda yang sama setiap hari. Kita ...