Wednesday, 14 August 2024

SABAR DALAM MENCARI REZEKI

 Seperti yang diketahui, setiap orang sudah dijamin akan rezekinya tetapi dengan satu syarat iaitu kita perlu berusaha. Perkara ini sudah termaktub sejak azali lagi dan menjadi asas atau sifir kehidupan sehingga ia dijadikan simpulan bahasa iaitu, ‘siapa yang berusaha dia akan dapat.’


Namun begitu sudah menjadi adat dunia, ada orang yang ditakdirkan mudah dan senang dalam usahanya mencari rezeki. Apa saja perkara yang dia buat pasti akan berhasil sehingga dia dilabel sebagai orang yang punya ‘magic touch’.

Sebaliknya ada pula mereka yang ditakdirkan melalui jalan yang agak sukar. Telah banyak usaha yang dia buat tetapi satu pun tidak menjadi. Berniaga, tidak bertahan lama. Nak mohon kerja dengan syarikat besar seperti kawan-kawan yang lain pun tidak ada peluang sama sekali. Padahal kalau diikutkan dia mempunyai kelayakan akademik yang lebih berbanding kawan-kawannya yang lain. Tetapi nasib tidak meneyebelahi dia. Sudah berpuluh ‘resume’ dihantar dan sudah berkali-kali dia dipanggil untuk ditemuduga, tetapi satu pun ‘Tak Sangkut’.

Inilah yang membuatkan dia sentiasa berasa rendah diri dengan kawan-kawan yang lain.

Terkadang, Apabila dia bersendirian sambil memikirkan masa depan, timbul rasa ‘jelous’ melihat kawan-kawan yang lain. Malah, ada ketikanya bukan setakat ‘jelous’ saja, tetapi sudah sampai ke tahap di mana dia berasakan seolah-olah takdir Allah itu tidak adil kepadanya.

Namun, bila teringat semula akan intipati kuliah yang pernah didengarinya daripada seorang ustaz yang mengajar di surau kampungnya satu ketika dahulu yang mengatakan bahawa rezeki sesorang itu sudah dijamin oleh Allah, dia segera insaf. Hatinya kembali lega dan redha.

Lalu dia pun berbisik pada diri sendiri, “Mereka dapat kerja bagus, mungkin itu sudah rezeki mereka. Insya-Allah rezeki aku akan sampai juga satu hari nanti. Asalkan aku tidak patah semangat dan berusaha dengan betul dan sabar.”

Situasi ini bukan dia sorang saja yang rasa. Mungkin anda juga pernah merasainya dan hanya mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini saja yang tahu dan faham akan perasaan itu.
Sedih, kecewa, putus asa dan bermacam perasaan lain datang mengganggu diri kita hampir setiap hari. Sehingga kadang-kadang sampai ke tahap menggoncang iman disebabkan oleh bisikan dan perasaan negatif tersebut.

Kepada mereka yang dalam situasi sedemikian, ketahuilah bahawa rezeki setiap orang berbeza. Ada orang dikurniakan rezeki dalam bentuk material seperti wang ringgit, pangkat atau harta kekayaan tetapi ada pula yang dikurniakan dalam bentuk yang tidak dapat diukur atau dilihat dengan mata kasar seperti diberi kesihatan yang baik, dianugerahi sebuah keluarga yang bahagia, mendapat anak yang mendengar kata, dan diberi kelapangan waktu untuk beribadah.

Banyak contoh yang kita boleh lihat di sekeliling kita. Mungkin terjadi kepada jiran atau sahabat kita. Kita lihat hidup dia cukup bernasib baik. Dia punya harta kekayaan tetapi kita tidak tahu bahawa dalam masa yang sama bermacam penyakit menghuni di dalam tubuhnya. Bermula darah tinggi sehinggalah ke penyakit Gout dan Diabetes.

Terlalu banyak mengonsumsi daging sedikit saja, tekanan darahnya mulai meningkat. Minum kopi manis sedikit saja dengan keliru, bacaan gula dalam darahnya sudah meningkat secara mendadak. Ketika hari hujan atau musim jerubu, kita orang biasa masih dapat melakukan aktiviti di luar, namun dia terpaksa pergi ke Jabatan Kecemasan di hospital berdekatan untuk mengambil 'ventolin puff' karena mengalami serangan asma. Sekiranya terkejut sedikit, denyut jantungnya segera menjadi tidak normal. Dalam kes yang teruk, mungkin perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) untuk pemantauan oleh doktor pakar.

Begitulah takdir Allah. Setiap orang tidak akan dapat kesemuanya.

.
***
Petikan dari buku 'HIDUP KENA KUAT'. 'Nota untuk sukses dalam kehidupan'.




No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...