Saturday, 14 December 2024

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘advance’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Bagaimana istilah ini mula diguna pakai? Ia bermula di satu laman page yang popular dengan masalah rumah tangga, dipanggil Kisah Rumah Tangga atau singkatannya KRT, yang bermula pada tahun 2017.

Dalam laman page itu, banyak kisah rumah tangga dipaparkan, maka ramailah tukang nasihat yang tidak bertauliah muncul secara tiba-tiba untuk menyelesaikan masalah pengadu. Ramai memberi pendapat terdiri daripada mak cik-mak cik, dan terciptalah perkataan ‘Mak Cik Bawang’.

 

Ada juga pendapat yang mengatakan istilah ‘Mak Cik Bawang’ ini bermula di kampung-kampung, ketika kenduri-kendara. Mak cik-mak cik yang merewang akan duduk beramai-ramai sambil kupas bawang, tangan berjalan, mulut juga sama-sama bekerja. Mulalah bercerita dari satu kisah ke satu kisah, dari hal sendiri sehingga kisah rumah tangga orang lain.

 

Jika pada tahun 70an dan 80an dahulu, cara mak cik bawang menjalankan aktiviti bercerita tentang seseorang bermula sebaik sahaja selesai bersarapan, dia akan bergerak ke rumah rakan baiknya yang bertindak sebagai ‘Ketua Penerangan’ terlebih dahulu. Di situ lah cerita bermula. Jika kebetulan 'Ketua Penerangan' sedang sibuk menguruskan rumah tangganya, mak cik bawang sanggup menunggu di pangkin atau di ruang tamu sehingga teman kepercayaannya menyelesaikan tugasnya terlebih dahulu.

 

Setelah duduk bersantai sambil menikmati semangkuk kerepek ubi dan secawan kopi panas, baru dia boleh ‘start’ buka cerita. Jika teman kepercayaannya sibuk dengan kerja rumah ketika dia bercerita, ceritanya mungkin tidak begitu berkesan dan tidak menusuk ke lubuk hati. Ada kemungkinan cerita tersebut tidak akan tersebar ke seluruh kampung.

 

Namun, seiring dengan kemajuan dan perkembangan teknologi, tugas mak cik bawang kini semakin ‘advance’. Dia tidak perlu lagi mengetuk pintu rumah ‘Ketua Penerangan’. Sebaliknya, dia hanya perlu duduk dengan selesa atas kusyen di ruang tamu di rumahnya sambil menonton Netflix. Kemudian, dia akan mengeluarkan 'handphone' dan membuka aplikasi WhatsApp.

 

Dengan kecepatan menaip 20 patah perkataan dalam satu minit, dia mulai menaip di skrin ‘handphone’. Setelah selesai menaip, dia hanya perlu menekan butang 'SEND'. Beberapa minit kemudian, informasi tersebut akan tersebar kepada semua ahli dalam kumpulan.

 

Selang beberapa jam kemudian, cerita tersebut telah menjadi tular ke seluruh taman perumahan dan pekan berhampiran kerana kegigihan ahli mesyuarat tingkap yang lain 'copy’ dan ‘paste' info tersebut dan memasukkannya ke dalam status Facebook atau WhatsApp masing-masing, sehingga menyebabkan mangsa yang dijadikan ‘bahan’ oleh ‘mak cik bawang’ tadi mungkin mengalami kemurungan.

 

Ini seakan-akan satu galakan kerana perbuatan ‘mak Cik bawang’ itu seolah-olah dianggap sebagai perkara biasa dan tanpa rasa bersalah. Istilah yang sebenar dipanggil mengumpat jika cerita itu benar, dan menfitnah jika berita itu salah. Dalam istilah terkini, ia dipanggil membawang atau bergosip.

 

 "What you give you get back. What goes around comes around'. Itulah pepatah Inggeris yang biasa kita jumpa. Pepatah ini mengingatkan kita supaya jangan suka membuka aib orang.


Namun sebagai manusia, kita tetap lupa. Kita seakan seronok bila dapat menjaja cerita orang sehingga lupa yang kita jiga sebenarnya ada aib. Sehinggalah pada satu hari, giliran aib kita pula dibuka dan diselak.

Ketika itu baru kita sedar. Baru kita insaf tapi dah terlambat. Justeru, tak payahlah nak sebok hal orang. Jaga hal sendiri sudah.


🅪

🅪

🅪

👉

Terkadang kita perlu waktu untuk menyendiri.

 Salah satu cara saya nak healing sorang-sorang di kedai mamak tanpa gangguan kawan atau kenalan 'sepengetehan' ialah dengan bawa bekal dan makan di meja yang sedikit jauh dari meja dia orang.

Bukannya saya sombong atau tak nak belanja 'deme' minum tapi saya rasa saya perlu 'spend time' untuk diri sendiri. Lebih-lebih lagi bila saya dah ' exhausted' selepas melayan kerenah pesakit, relatif dan supplier atau pun selepas saya berjaya menjawab soalan-soalan hangit bertaraf Kbat dari sorang staff yang 'tiga suku masak' (staff saya ni ada masalah berkaitan jiwa). Jika hari tu dia terlupa ambil ubat, maka bermacam soalan menguji minda akan ditanya oleh beliau.

Kawan sepengetehan saya dah masak dengan situasi ni. Mereka, kalau nampak saya senyum kemudian duduk di meja asing jauh dari mereka, mereka akan bagi ruang untuk saya 'healing' sorang-sorang. Jika mereka ajak juga saya duduk semeja, mereka seolah-olah sedang bersembang sorang-sorang.Saya jarang akan respon. Paling tidak pun saya akan mengiakan atau angguk saja setiap kali mereka bercerita. Atau pun saya sekadar senyum. Kemudian saya akan sambung semula makan. Jadi, untuk berlaku adil, mereka akan biarkan saya layan 'blues' sorang-sorang.

Lepas dah selesai 'recharge', barulah saya akan pergi ke meja tempat dia orang 'bermesyuarat', bersalam dan bertanya khabar lebih kurang. Kemudian saya akan masuk ke pejabat semula.


Apa yang nak disampaikan di sini?

Jika pada satu hari anda masuk ke kedai mamak atau restoran dan terlihat kawan anda sedang duduk sorang-sorang di satu sudut terpencil, anda boleh pergi jumpa dia sekadar untuk bertegur sapa. Kemudian beredarlah. Kecuali jika dia pelawa anda duduk sama. Kita kena fahamu, kadang-kadang dia perlu ruang sendiri untuk bertenang. Berilah peluang untuk dia beristirehat dan 'meeting' dengan diri sendiri.

Ada pelbagai cara untuk seseorang itu 'recharge' atau 'healing' dan kaedah yang paling mudah ialah dengan menyendiri. Setelah mereka menghabiskan waktu bersama orang lain atau menuruskan hal kehidupan, dia mungkin perlu waktu untuk  dirinya sendiri. 

Justeru, jangan diganggu.

🅪
🅪
🅪
☆☆☆
Nasi tengahari ni, Mem masak sambal udang dan kailan ikan masin.



Tak Perlu Ambil Tahu Sangatlah Hal Orang Lain!

 

Dalam satu ceramah yang saya dengar daripada seorang ustaz, katanya, “Jalan hidup setiap orang tidak sama. Ada orang dikurniakan zuriat yang ramai tetapi hidup dia sekadar cukup makan saja. Ada pula yang dikurniakan harta melimpah tetapi zuriatnya pula tak ada. Namun, di antara dua kategori ini, Ada satu lagi kategori yang memang cukup bertuah. Mereka bukan saja dikurniakan harta melimpah, malah zuriatnya juga ramai.”

 

Inilah ketetapan yang kita semua kena terima. Di mana setiap makhluk telah ditulis akan takdirnya masing-masing. Tidak kira sama ada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Malah segala yang ada di dalam dan di luar cekrawala ini ada takdir masing-masing. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Yaasin ayat ke 40, yang bermaksud, ‘Dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.’

 

Ketetapan tersebut tidak dapat ditentang oleh sesiapa. Jika kita semua akur dengan ketetapan ini, hidup kita akan aman dan damai. Kita buat kerja kita. Jiran kita buat hal dia. Namun, disebabkan di dalam diri kita ada sifat-sifat yang tidak baik, seperti sifat iri hati dan cemburu.

 

Ada di kalangan kita yang hobinya suka ambil tahu perihal kehidupan orang lain. Berbeza dengan ‘mak cik bawang’ yang suka menjaja cerita buruk seseorang, sifat suka ambil tahu ini pula ialah dia suka menceroboh ‘privacy’ orang lain. Sehingga ada yang tanpa segan silu melebelkan diri mereka kononnya ahli Persatuan Netizen Malaysia.

Apa yang orang lain buat, semua dia nak ambil tahu. Apa yang orang lain buat semua dia nak komen dan beri pendapat. Misalnya, Ketika melayari laman Facebook, secara tidak sengaja terlintas satu posting kawan kita sedang ‘berselfie’ dengan kereta yang baharu dia beli.

 

Sebelum ini, kawan tersebut hanya terlihat memandu sebuah kereta Kancil 'second hand' sahaja. Apabila terlihat 'posting' itu, kita berasa susah hati. Kita berasa risau kalau-kalau hidup kawan kita itu akan susah selepas ini kerana terpaksa membayar ansuran kereta baharunya. Apatah lagi, kita tahu kawan kita itu cuma seorang Pekerja Am sahaja di sebuah Jabatan Kerajaan.

 

Pada hari lain pula, sebuah van syarikat ‘courier’ datang ke pejabat tempat kita bertugas. Dia menghantar satu unit ‘pressure cooker’. Rupanya salah seorang dari rakan sekerja yang beli ‘press cooker’ itu. Tidak semena-mena kita berasa tidak puas hati. Padahal kita tahu yang si dia itu menjalankan bisnes menjual makanan selepas habis waktu kerja.

 

Ini juga antara penyakit orang kita. Suka ambil tahu tentang kehidupan orang lain atau orang sekarang kata ‘kepochi’. Padahal kita ini bukannya siapa-siapa pun dengan mereka. Apatah lagi tiada bersangkutan pertalian darah. Namun kita pula yang terlebih cakna. Sedangkan, dalam masa yang sama, masalah kita masih banyak yang belum selesai. Tetapi kita masih ada hati nak ambil tahu kisah hidup orang lain.

 

Kasihan, bukan?

 

Dari sudut perspektif psikologi, apabila kita cenderung untuk ambil tahu atau peduli terlalu banyak tentang kehidupan orang lain, hal ini mungkin menunjukkan ada isu atau masalah dalam diri kita. Secara mudahnya, tindakan ini mungkin menandakan keadaan emosi atau kebahagiaan yang tidak stabil. Salah satu ciri individu yang mungkin tidak bahagia adalah apabila mereka berasa susah hati melihat kebahagiaan orang lain. Mereka mungkin ingin agar orang lain juga berasakan perasaan yang sama seperti yang mereka alami.


👉 Petikan dari buku 'Hidup Kena Kuat' - Nota Untuk Sukses dalam Kehidupan



Saturday, 7 December 2024

Jangan Pernah Bermimpi Untuk Menjadi Orang Lain (Teaser buku Hidup Kena Kuat)


Kita sering melihat kehidupan orang lain lebih bahagia, lebih indah, dan lebih seronok berbanding dengan kehidupan yang sedang kita lalui sekarang. Sebagai contoh, pada suatu pagi, sewaktu berkunjung ke pasar pagi untuk beli barang basah, kita terserempak dengan kawan lama kita, ‘A’.


 Kita melihat dia baru keluar dari kereta berjenama import dan pakaian yang dipakai juga berjenama, yang sudah tentunya dibeli di butik pakaian bukan jenis yang dibeli dari pasar malam seperti kita. Selepas bertanya khabar, kita pun bertanya tentang status terkini 'A'.


 Dia memberitahu kita bahawa dia memiliki sebuah perniagaan yang membekal peralatan pejabat. Lalu, terdetik dalam hati kita, "Best-nya dia. Tentu dia banyak duit sekarang. Nak ini boleh beli, nak itu boleh beli. Tak perlu nak kumpul duit sikit-sikit setiap bulan seperti aku jika nak beli sesuatu barang atau nak tukar spare part kereta."


Sambil berjalan menuju pasar, kita pun berangan nak jadi seperti dia suatu hari nanti. Pada hari lain, ketika keluar mengeteh di kedai mamak, secara tidak sengaja kita terjumpa dengan kawan lama kita si ‘B’. Kita melihat pakaiannya kemas lengkap bertali leher. Bila ditanya di mana dia bekerja, dia memberitahu kita bahwa dia sudah lima tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat korporat.


 Lalu, kita pun terfikir lagi, “Alangkah bertuahnya dia. Kerja dalam aircond setiap hari. Tidak seperti aku yang terpaksa masuk kebun sawit setiap pagi mengambil upah memangkas dan memunggah pelepah sawit, demi mendapatkan upah seringgit dua bagi membeli dua bungkus nasi lemak.”


Ketika itu, kita pun memasang angan-angan untuk jadi seperti ‘B’ pula. Itulah sikap kita, bila melihat hidup orang itu nampak bahagia dan ceria, kita pun mulai memasang angan-angan untuk menjadi seperti mereka. Melihat kehidupan orang lain nampak lebih indah dan seronok berbanding kehidupan kita saat ini. Hakikat sebenarnya ialah kita tidak tahu bahawa orang itu juga memiliki masalah tersendiri, dan apa yang kita lihat hanyalah pandangan luaran. Orang Putih kata, 'tips of iceberg'.


 Memang pada pandangan zahir, kita melihat ‘A’ sebagai orang yang hebat karena berjaya memiliki perniagaan, hidup mewah, dan bebas berbelanja. Namun, apa yang kita tidak tahu adalah setiap malam ‘A’ tak dapat tidur dengan lena karena memikirkan 'lubang' mana yang perlu dia korek untuk membayar hutang kepada pembekal yang tertangguh sejak dua minggu yang lalu. Apa yang kita tidak tahu adalah dia sedang susah hati karena pelanggannya telah melarikan diri bersama hutang yang nilainya belasan ribu ringgit.


 Begitu juga dengan ‘B’. Meskipun nampak dia berpakaian kemas dan berkerja di pejabat berhawa dingin, kita tidak tahu bahwa pakaian tersebut mungkin merupakan etika berpakaian di kebanyakan pejabat. Jarang pekerja pejabat yang memakai t-shirt dan seluar jeans. Kita tidak tahu, walaupun dia sentiasa kelihatan kemas dan bergaya, sebenarnya itulah satu-satunya pakaian mahal yang dia ada.


 Apa yang kita tidak tahu juga ialah di dalam dompetnya sekarang hanya tinggal tiga empat keping ‘duit merah’ saja lagi yang terpaksa dia catu sehingga hari gaji pada hujung bulan nanti. Sedangkan kita, walaupun bergelar ‘Buruh Ladang’ yang setiap hari masuk kebun sawit untuk memangkas dan mengusung pelepah, namun kita masih mampu meraih pendapatan RM60 ke RM100 sehari. Silap-silap, pendapatan kita lebih lumayan berbanding si ‘B’ yang berkerja di dalam pejabat berhawa dingin.


Kita memandang kehidupan orang lain lebih bagus dan lebih baik berbanding kehidupan kita. Kita merasa cemburu dengan kejayaan yang mereka capai, sedangkan kita masih berada di tahap yang sama sejak kita tamat belajar dahulu. Lalu kita pun tertanya-tanya kenapa mereka boleh berjaya sedangkan kita juga keluar dari universiti atau kolej yang sama.

.

𛲡

𛲡

𛲡

✅ Buku Hidup Kena Kuat

✅ Nota Untuk Sukses Dalam Kehidupan




Friday, 6 December 2024

Syukuri atas setiap nikmat

Syukuri rezeki yang tuhan kurnia pada kita dan jangan sesekali timbul perasaan iri atau dengki dengan rezeki orang lain. Kita tak akan pernah rasa cukup sekiranya kita asyik nak bandingkan rezeki kita dengan rezeki yang orang lain dapat.

Nasib setiap orag tak sama. Jalan hidup dan ujian setiap orang juga tak sama. Walaupun kita dengan si dia tu pernah belajar satu sekolah atau satu universiti. Tapi bila 'grad', jalan yang kita pilih berbeza. Jadi, sudah tentu rezeki yang bakal diterima juga tidak akan sama.
Keduanya, apa yang si dia tu dapat belum tentu sesuai buat kita. Sebab itu tuhan tak bagi pada kita. Tuhan yang cipta kita, jadi Dia lebih tahu apa yang baik dan apa yang tidak baik buat kita. Sebab itu kadang-kadang Dia tak bagi apa yang kita minta.
Namun kita tetap kena bersangka baik dan jangan sesekali berputus harap. Ingat.. Apa yang tuhan telah takdirkan untuk kita pasti akan datang pada kita apabila tiba masanya walaupun ketika itu ada seribu tangan yang cuba menghalang dan apa yang bukan milik kita tak akan datang kepada kita walau pun pada ketika itu ada seribu tangan yang cuba membantu.
Justeru, fokus dan nikmati saja apa yang tuhan telah kurniakan pada kita hari ini.
Simple...
.
□ ini roti yang Mem goreng pagi tadi. Abam 'carry forward' untuk minum petang.



Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...