Sunday, 17 December 2017

Jujurlah dalam perniagaan



Isu kenaikan harga barang nampaknya sudah menjadi perkara biasa bagi kita semua. Isu ini adalah isu lama dan ia bukan saja dialami oleh golongan pengguna yang tingggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya, Shah Alam, dan Johor Baharu sahaja malah tempiasnya juga sudah mula dirasai oleh mereka yang tinggal di kawasan pedalaman seperti  Jeli, Gua Musang, Ijok atau pun Lenggong. Malah sejak kebelakangan ini golongan artis juga tidak terkecuali. Ramai yang mula meluahkan perasaan tidak puas hati mereka di laman sosial berkenaan isu ini.


Salah satu sebab mengapa terjadinya kenaikan ini adalah kesan dari kenaikan dalam kos  pengeluaran  yang  dialami oleh golongan peniaga.  Antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos ini ialah ketidak tentuan harga petrol dan disel.  Kesan dari kenaikan harga petrol dan disel ini  kemudiannya menyumbang kepada kenaikan  dalam kos pengangkutan dan untuk mengekalkan margin keuntungan mereka, pihak peniaga terpaksa melepaskannya kepada golongan pengguna iaitu dengan cara menaikkan harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.


Namun begitu, yang menjadi isu kali ini ialah kenaikan harga yang dikenakan oleh peniaga ini tidak seiring dengan kualiti  produk atau perkhidmatan yang mereka jual. Misalnya, baru-baru ini kecoh di laman sosial seperti facebook atau pun blog tentang sikap  sesetangah peniaga yang menjual karipap dengan harga yang mahal tetapi  isi dalamnya  hampir kosong atau 90% kosong sehingga  digelar sebagai ‘karipap angin’ atau ‘karipap oksigen’.  


Tindakan mereka ini bukan saja mengundang kemarahan pengguna tetapi ia juga bakal mengundang  masalah kepada perniagaan beliau sendiri. Malah tindakan ini juga melanggar prinsip pengurusan perniagaan.  Kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah salah satu daripada faktor  kritikal yang  menyumbang kepada kemajuan ataupun kegagalan perniagaan yang anda usahakan. 

Sebenarnya golongan pengguna juga seperti anda dan mereka juga faham dengan masalah kenaikan kos yang anda alami. Jadi mereka masih boleh menerima kenaikan harga karipap yang anda jual dengan senang hati seandainya kualiti karipap tadi masih lagi mengekalkan kualitinya sama ada dengan tidak mengurangkan isi dalamnya ataupun mengecilkan saiznya. Apa yang merka inginkan ialah produk  itu masih berbaloi dengan harga yang dibayar atau dalam bahasa inggerisnya  disebut sebagai ‘worth for money’.


Sekiranya mereka mendapati apa yang dibayar itu  tidak setimpal dengan apa yang mereka perolehi,  pengguna  mula meninggalkan anda dan akan beralih kepada peniaga lain yang menjual produk atau perkhidmatan yang sama.  Dan  bukan setakat itu saja. Mereka juga akan bercerita kepada rakan dan kenalan yang lain tentang anda dan sekiranya isu ini menjadi viral, reputasi anda akan jatuh dan pelanggan lain juga mula menjauhi anda.  

Sikap tamak atau tidak jujur ini juga sebenarnya bertentangan dengan amalan perniagaan yang disarankan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Baginda amat tidak menyukai kepada peniga yang tidak jujur  seperti menawarkan barang yang kualiti rendah dan tidak setimpal dengan harga yang dibayar oleh pembeli. Kisah ini mungkin anda pernah baca di dalam buku-buku agama, di mana pada suatu peristiwa baginda Rasulullah telah menegur seorang peniaga yang mencampurkan buah yang hampir rosak dengan buah yang elok dan menjualkannya di pasar.  


Jadi jelaslah di sini bahawa tindakan mengekalkan kualiti produk yang dijual itu akan memberi kesan positif kepada perniagaan anda untuk jangka panjang.  Walaupun mungkin anda hanya dapat mengaut keuntungan yang sedikit namun tindakan ini  akan mengekalkan kesetiaan pengguna untuk terus berurusniaga dengan anda. Manakala tindakan mengurangkan kualiti ke atas produk yang dijual dan tidak 'senilai' dengan harga yang dibayar oleh pembeli  bukan saja bersalahan dengan prinsip pengurusan perniagaan moden malah ia juga betentangan dengan sunnah Rasullah. 


Tidak ada ruginya anda menjaga kualiti barangan atau perkhidmatan yang dijual itu  walaupun mungkin dengan berbuat demikian anda hanya mendapat keuntungan yang sedikit. Selain ia dapat menjamin kesinambungan perniagaan yang anda jalankan, tindakan ini juga merupakan satu sunnah, di mana anda bakal mendapat pahala dan keuntungannya boleh nikmati di akhirat kelak. Jadi walaupun anda sedang menghadapi masalah kenaikan dalam kos pengurusan, sebolehnya berazamlah untuk berniaga dengan jujur dan menjaga kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Sekian.
Kongsikan jika bermanafaat

4 comments:

Khairul Zamri said...

Ya dalam berniaga atau bekerja kita kena jujur dan ikhlas buat sesuatu kalau nak sustain lama dan keep going. Tak kekal lama atau tak menjadi kalau kita ada rasa tak ikhlas

usryabdullah said...

Setuju dengan pendapat tuan.
Jujur walaupun untung yang kita dapat mungkin sedikit. Tapi sekurang-kurangnya kita masih mempunyai untung dan perniagaan kita masih bertahan.

paridah said...

Berniaga itu amalan kerja mulia asal ikhlas dan jujur disamping memperolehi jeuntungan yg banyak.

Nadhie Wueen said...

setuju. tertarik dengan gambar karipap inti oxygen tu . hehe

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...