Monday, 16 September 2019

Khasiat Kurma dari sudut Saintifik


Penjagaan kesihatan adalah salah satu aspek penting dalam kehidupan kita seharian. Ini adalah kerana apabila tubuh kita sihat, segala tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna. Di samping itu, amal ibadat juga dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Misalnya sewaktu  melaksanakan ibadat solat, jika kita memiliki tubuh yang sihat, ia membolehkan kita  melaksanakan solat yang dituntut itu dengan lebih sempurna. Begitu juga dengan ibadah lain seperti puasa dan haji. Juga memerlukan kita sihat untuk membolehkan kita berpuasa sepanjang hari. Demikian juga  dengan ibadah haji. Hanya mereka yang mempunyai fizikal yang sihat dan bertenaga sahaja  mampu menyempurnakan rukun haji.

Terdapat mutiara kata daripada ulama iaitu: “Akal sihat bermula dari tubuh badan yang sihat’’.  Dan untuk mendapat tubuh yang sihat, ia  berkait rapat dengan punca dan amalan pemakanan seseorang.  Lantaran itulah Islam amat menitik beratkan soal pemakanan ini semenjak anak itu di peringkat bayi lagi. Bayi tersebut perlu diberi makanan yang lengkap dan baik untuk membantu tumbesarannya. 

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, corak pemakanan kita telah banyak berubah disebabkan oleh perubahan trend. Ramai yang tidak sempat memantau pengambilan makanan mereka setiap hari. Ini ditambah pula dengan kewujudan kafe dan  restoran makanan segera yang beroperasi 24 jam.

Tanpa sedar pengambilan makanan yang tidak teratur dan trend mengambil makanan segera ini telah menjadi ‘racun’ kepada kesihatan kita.  Jadi tidak hairanlah rekod menunjukkan Malaysia mencatatkan jumlah penghidap kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia (The Star, Oktober 2018). 

Kesannya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan terpaksa menanggung kos yang tinggi pada setiap tahun semata-mata untuk menyediakan perkhidmatan  penjagaan dan perawatan kepada pesakit yang mengalami penyakit disebabkan oleh tabiat ini sedangkan sebahagian wang itu boleh dijimat untuk menampung perbelanjaan pembangunan yang lain (Berita Harian, Oktober 2018).

Oleh itu, cogan kata cegah sebelum parah wajar menjadi pegangan dalam usaha membina  generasi yang sihat, sesuai dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al Bukhari yang bermaksud,” Sesungguhnya, kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu’’.  

Lantaran itu, timbul satu kesedaran di kalangan segelintir masyarakat kita tentang pentingnya penjagaan pemakanan dan salah satu daripada ikhtiarnya ialah dengan mengamalkan pengambilan makanan yang ada disebut di dalam Al Quran dan Al hadis.

Makanan yang disebut di dalam AlQuran dan Hadis ini lebih dikenali sebagai  ‘makanan sunnah’ dan ia telah menjadi pilihan di kalangan kita pada hari ini kerana ia mempunyai pelbagai khasiat dan manafaat. Tambahan pula kebanyakan makanan itu menjadi kegemaran Rasulullah S.A.W. 

Salah satu daripada makanan sunnah tersebut ialah buah kurma atau lebih dikenali sebagai tamar. Buah ini merupakan hasil dari pokok dari kumpulan palma dan ia amat popular di kalangan umat islam setiap kali tibanya bulan Ramadhan. Namun sejak akhir-akhir ini amalan pengambilan buah tamar ini mula diamalkan dalam kehidupan seharian masyarakat kita disebabkan oleh pelbagai khasiat yang terkandung di dalamnya.

Di dalam AlQuran, buah kurma atau tamar ini dinyatakan dengan jelas dalam surah Maryam ayat 29 di mana Allah SWT telah berfirman kepada Maryam  yang sedang penat dan lemas semasa proses bersalin supaya mengoncangkan pohon kurma dan memakan buahnya yang gugur supaya beliau mendapat kembali tenaga yang hilang. Berdasarkan kepada ayat inilah, wanita mengandung atau mereka yang mengalami masalah kurang nutrient disarankan supaya mengamalkan pengambilan buah kurma dalam kehidupan seharian.

Kajian saintifik juga telah membuktikan bahawa buah kurma ini mengandungi banyak nutrient yang amat diperlukan oleh badan. Antara kandungan nutrient yang terkandung dalam buah kurma ini ialah Vitamin A, B1,B2,B7, Asid folik, kalsium, zat besi, dan magnesium. Lantaran itulah Rasulullah mengangkat darjat yang tinggi terhadap buah ini (Zahan,2014 dan Rafaie et.al 2016). Di samping vitamin dan mineral, kurma juga mengandungi protein dan  serat. Dengan ini, pengambilan kurma atau ekstrak kurma dapat membantu mencegah sembelit, lemah otot, sengal badan. 

Kurma juga mempunyai karbohidrat dan glukos yang tinggi (Tarmizi,2014). Lantaran itulah Rasulullah menyarankan supaya mengambil kurma sewaktu berbuka puasa. Ini adalah kerana glukos yang terdapat dalam buah kurma ini adalah berbentuk glukose ringkas yang mudah diserap oleh badan. Oleh itu kita akan mendapat tenaga dengan cepat selepas berjam-jam kita menjalani ibadah puasa.

Mengikut Siti Aishah et al (2012) dan Rafaie et al (2016), amalan pengambilan kurma pada setiap hari juga membantu menangani stress atau tekanan emosi kerana ia membantu mengatur penghasilan endofrin dengan kadar yang diperlukan oleh badan. Lantaran itu, ia membantu melindungi system saraf manusia terutamanya yang berkait rapat dengan emosi. Manakala untuk golongan pelajar pula, amalan pengambilan kurma membantu meningkatkan kecergasan otak, menguatkan ingatan dan membantu proses pertumbuhan. Akhir sekali, kurma juga membantu meningkatkan selera makan dan meninggikan tenaga seksual sama ada di kalangan lelaki mahu pun wanita (Kamarulzaman, 2015).

Kesimpulannya, buah kurma ini amat baik untuk kesihatan dan ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada pemakanan harian kita. Kepada mereka yang tidak gemar atau tidak suka akan buah ini, pelbagai alternatif telah dilakukan oleh pengkaji dan pakar pemakanan supaya mereka juga mendapatkan khasiat dari buah ini. Antaranya ialah dengan mengekstrak zat dan vitamin dari buah ini dan dijadikan  pil atau tablet. Di samping itu ada juga yang menggunakan buah ini dan dibuat dalam bentuk jus. Dengan adanya dua alternatif ini, semoga tidak ada lagi alasan untuk mereka tidak mahu mengambil buah yang disyorkan oleh Rasulullah ini.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...