Monday, 23 September 2019

Faktor Penyumbang kepada Malnutrisi di kalangan warga emas



Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di "World Assembly On Ageing 1982" di Vienna. 

Mengikut unjuran PBB (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk. Dengan kata lain, tahun 2030, bilangan warga emas akan semakin meningkat di negara kita. 


Apabila ramai warga emas, maka akan timbul pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan yang perlu kita hadapi sewaktu menjaga mereka. Salah satu daripada masalah kesihatan yang sering dialami oleh golongan warga emas ini ialah masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi.

Malnutrisi mengikut kamus dewan ialah suatu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau nutrien yang tidak mencukupi. Masalah ini menjadi masalah sejagat atau masalah dunia kerana apabila berlakunya kekurangan zat makanan, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka. Antaranya ialah  kemerosotan kesihatan, pengurangan status fungsi fizikal dan kognitif, peningkatan dalam perbelanjaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan peningkatan kes kematian di kalangan warga emas (Evens,2005).  

Terdapat beberapa faktor penyumbang kepada masalah ini, antaranya ialah seperti masalah pengambilan makanan yang tidak mencukupi,  terlalu memilih makanan,  penyakit kronik yang menyebabkan keperluan nutrien menjadi semakin meningkat, masalah kehilangan nutrien yang cepat, masalah penyerapan nutrien yang kurang baik, atau gabungan faktor-faktor ini.

Faktor kemerosotan  dalam pengambilan makanan merupakan masalah semula jadi dan dialami oleh majoriti warga emas, tak kira sama ada mereka  ada mempunyai penyakit kronik atau pun tidak.  Sindrom atau masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh proses penuaan. Proses ini merupakan proses semulajadi dan berterusan dan akan terhenti setelah kita menemui ajal dan tidak ada sesiapa yang terkecuali serta boleh menghalang proses penuaan ini dari berlaku.

Proses penuaan akan mengganggu sistem hormon, dan sistem saraf perfiferi kita setiap hari. Gangguan ini menyebabkan golongan kita akan megalami masalah tiada selera makan dan mendorong untuk kita kurang mengambil makanan. Masalah ini seterusnya akan menyumbang kepada malnutrisi.

Faktor lain yang menyumbang kepada masalah malnutrisi di kalangan warga emas ialah kesan sampingan ubatan yang diambil untuk merawat masalah kesihatan yang  mereka alami seperti penyakit tiroid, kardiovaskular, darah tinggi, diabetes dan penyakit paru-paru.  
Apabila mereka menghidap salah satu dari penyakit ini, mereka terpaksa bergantung kepada pengambilan ubatan yang banyak pada setiap hari. 

Contohnya, katakan ayah atau ibu anda menghidap penyakit diabetes. Oleh itu dia akan bergantung kepada dua atau tiga jenis ubat setiap hari untuk membantu mengawal kandungan gula dalam darah. Jika dia tidak mengambil ubat mengikut jadual, bacaan gula dalam darahnya menjadi tidak stabil. 

Tetapi dengan mengambil ubat dalam kuantiti yang banyak dan dalam tempoh yang panjang akan mendedahkan mereka kepada kesan sampingan seperti gangguan usus, masalah menelan, refluks esofagus dan cirit-birit berkaitan dengan kesan sampingan ubat. Masalah-masalah ini akan mengganggu proses penyerapan makanan dan seterusnya menyebabkan berat badan mereka semakin menurun.

Di samping itu, pengambilan ubatan untuk merawat penyakit-penyakit tadi juga akan menyebabkan metabolism  meningkat dua atau tiga kali ganda melebihi kadar normal. Keadaan ini akan menyebabkan mereka mengalami kadar kehilangan kalori dengan lebih cepat berbanding individu yang sihat. Situasi ini juga boleh menyumbang kepada masalah malnutrisi atau kekurangan zat makanan di kalangan warga emas.

Pengambilan ubatan yang kerap juga boleh menjejaskan status pemakanan di kalangan warga emas disebabkan oleh kesan  sampingan  ubat-ubatan seperti anoreksia, mual, dan persepsi rasa terhadap sesuatu makanan telah berubah.  Ini seterusnya menyebabkan mereka mengalami masalah hilang selera makan dan  seterusnya menyumbang kepada perubahan penyerapan nutrient dalam usus dan kadar metabolism yang terlebih aktif (Evans, 2005). Akhirnya, mereka akan mengalami masalah malnutrisi.

Akhir sekali, apabila usia semakin meningkat tua, mereka juga akan mengalami gangguan psikologi. Semakin mereka berusia, semakin banyak mereka mengalami peristiwa kehilangan dalam hidup mereka yang menyumbang kepada masalah psikologi.  Masalah gangguan psikologi ini juga merupakan satu lagi faktor penyumbang kepada masalah malnutrisi di kalangan warga emas.

Ia bermula dengan kehilangan pekerjaan disebabkan oleh persaraan wajib. Apabila seseorang itu bersara, corak kehidupan dan aktiviti beliau mula berubah. kebanyakan individu yang bersara sudah tidak lagi aktif seperti sebelumnya. Jadi, sekiranya mereka tidak mempunyai hobi atau apa-apa aktiviti sampingan, mereka akan merasa kesunyian dan situasi ini senang untuk menyebabkan individu tadi mengalami gangguan psikologi.

Disebabkan oleh persaraan juga, mereka akan kehilangan rakan dan sahabat. Sewaktu masih bekhidmat, mereka mempunyai banyak masa untuk berinteraksi sesama rakan sekerja. Malah ada yang menyambung aktiviti sosial mereka selepas waktu bekerja sama ada bersukan atau beriadah. Tetapi apabila mereka bersara, mereka terpaksa berpisah dengan rakan sekerja dan masing-masing menjalani kehidupan sendiri. Ada yang pulang ke kampung halaman dan ada yang berpindah mengikut anak masing-masing. Perubahan ini juga boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah kesunyian dan seterusnya  kemurungan.  Ia seterusnya menyumbang kepada masalah anoreksia dan penurunan berat badan. Akhirnya mereka juga mengalami malnutrisi.

Mengikut konsep sains perubatan, terdapat beberapa pendekatan bagaimana untuk mengatasi masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini. Salah satu darinya ialah dengan menggalakkan mereka supaya mengambil makanan dengan kerap tapi dalam kuantiti yang sedikit. Amalan ini akan menjamin seseorang itu mendapat kalori yang diperlukan oleh tubuh dan membantu meningkatkan semula berat badan mereka.  

Tetapi sekiranya mereka gagal  untuk meningkatkan semula berat badan melalui kaedah ini, langkah kedua yang disarankan oleh pakar nutrisi ialah dengan mengambil suplemen atau makanan tambahan (www.nps.org.au, 2014). Dengan mengambil makanan tambahan atau supplimen, ia akan membantu warga emas mendapatkan kalori dan zat yang cukup untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.

Kesimpulannya, masalah malnutrisi ini adalah perkara biasa dan sering berlaku di kalangan warga emas.  Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan betul, ia akan memberi kesan yang lebih teruk kepada mereka. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan seharian dengan sempurna dan mudah diserang penyakit. Masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi juga merupakan penyumbang kepada peningkatan angka kematian di kalangan warga emas di seluruh dunia.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu menangani masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini.  Di samping mengenal pasti punca dan memberi rawatan yang sepatutnya, amalan pengambilan makanan tambahan atau supplimen juga turut digalakkan untuk membantu mengatasi masalah malnutrisi di kalangan warga emas ini.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...