Tuesday, 29 October 2019

Penggunaan bahan terlarang dalam kosmetik. Masih ramai yang tidak sedar.



Hari ini terbaca satu komentar dari akhbar tempatan bercerita pasal produk kosmetik yang mengandungi bahan terlarang. Walaupun isu ini sudah diperkatakan saban tahun namun disebabkan tertarik dengan ayat penyedap yang dimasukkan ke dalam iklan produk kosmetik seperti,
‘menghapus kesan jerawat dalam masa  seminggu’,‘mencerahkan tona kulit dalam masa yang singkat’,‘wajah menjadi mulus dan gebu dalam masa 7 hari’, ramai di kalangan pengguna terperangkap dan tanpa mereka sedar bahawa bahan yang digunakan dalam kosmetik yang dibeli itu rupanya mengandungi bahan kimia terlarang.

Disebabkan terlalu obses untuk kelihatan cantik, ramai di kalangan pengguna tidak peduli sama ada produk yang  mereka gunakan itu terdapat bahan kimia berbahaya atau pun tidak.  Apa yang penting buat mereka ialah kesan yang diperolehi dari penggunaan produk tersebut dapat memberi kesan yang diingini dalam masa yang singkat. Semakin cepat sesuatu produk yang digunakan itu memberi kesan, semakin bagus produk tersebut. Jika boleh, mereka nak satu produk yang apabila dipakai@disapu saja pada muka untuk dua atau tiga malam, pada hari ke empat, mereka dapati kulit muka sudah jadi putih dan gebu.   

Malangnya, setelah memakai atau menggunakan produk itu  untuk beberapa minggu, tiba-tiba mereka dapati  kulit muka mengalami masalah ‘break out’ yang teruk. Kulit mula terasa kering, gatal, merekah dan kemerahan.  Ketika itu barulah mereka sedar  bahawa produk yang digunakan selama ini rupanya mengandungi bahan berbahaya.

Malang sekali lagi buat mereka kerana kesan ini sudah pun berada pada tahap yang agak lewat, atau dalam peribahasa Melayu tahap  nasi sudah menjadi bubur. Masalah yang dialami itu sudah tidak boleh dipulihkan kembali sehingga memaksa mereka menghabiskan wang ribuan ringgit kerana berjumpa pakar kulit (Skin Specialist) untuk ‘repair’ semula kulit yang dah rosak itu.  

Masalah yang dialami oleh mereka ini adalah disebabkan oleh ‘side effect’ HYDROQUINONE yang dimasukkan secara berlebihan ke dalam produk kecantikan  tersebut. Dengan memasukkan unsur Hydroquinone ini ke dalam produk kosmetik,  pengusaha kosmetik berharap ia akan menjadikan kulit pengguna menjadi cerah dan semakin putih dalam masa yang singkat walaupun mereka mungkin mengalami kesan sampingan yang teruk pada masa hadapan.

HYROQUINONE ini akan bertindak membunuh ‘melanocytes’, iaitu sejenis sel yang meragsang penghasilan melanin.  Apabila melanin tidak dapat dihasilkan atau penghasilannya terhenti, maka kulit akan menjadi cerah berbanding warna asal. Namun kesan sampingan akibat terhentinya penghasilan melanin ini ialah kulit akan   terdedah kepada sinaran Ultra Violet (UV) secara berlebihan. 

Kesan dari sinaran  UV ini akan menyebabkan sel-sel kulit cepat  rosak. kulit juga mengalami kesan terbakar dan ada kes yang di mana kulit bertukar warna  menjadi lebih lebih gelap dari sebelumnya.  Ada sesetengah kes pula di dapati kulit muka menjadi tebal dan hitam. Tidak kurang juga ada yang mengalami masalah kulit muka yang terlalu sensitif dan cepat terluka kesan dari kekurangan melanin ini.

Kesan  pencerahan pada kulit yang terhasil dari penggunaan bahan hydroquinone ini  tidak bertahan lama. Ia hanya mampu bertahan untuk tempoh  4 - 6 bulan saja. Oleh itu, anda  perlu memakai  krim tersebut secara berterusan dan ini  akan memberi kesan yang tidak baik pada kesihatan untuk jangka panjang. Jika anda tidak bernasib baik, penggunaan produk yang mengandungi unsur HYDROQUINONE ini untuk jangka panjang boleh meningkatkan risiko anda mendapat melanoma dan cancer kulit.  Sebab itulah penggunaan HYDROQUINONE secara berlebihan dalam kosmetik adalah tidak digalakkan oleh Kementerian Kesihatan atau bahagian kalawan Farmasi Negara (NPRA).

Tetapi biasa la rakyat kita, apa yang dilarang itulah yang kita suka buat. Walaupun ada beberapa produk atau supplimen yang berasaskan bahan semulajadi di pasaran yang boleh membantu mereka memperolehi kesan yang sama sebagaimana kesan yang diperolehi dari  produk kosmetik haram ini, namun masih ramai yang buat tak kesah. Sebabnya ialah kebanyakan supplimen atau produk 'alami' atau semulajadi ini lambat memberi kesan tindak balas.  Ada yang terpaksa menunggu sebulan atau dua bulan baru sebelum pengguna merasai akan kesannya. 

Oleh itu ramai yang lebih suka  memperjudikan nasib dan kesihatan dengan memilih produk yang mengandungi HYDROQUINONE ini. Tak jadi produk ‘A’, mereka beralih pula kepada produk’B’. Tak jadi produk ‘B’ mereka guna pula produk ‘C’. Dan begitulah seterusnya sehinggalah mereka  mengalami ‘break out’ yang serius dan tak boleh diubati lagi, barulah mereka akan serik.  Setelah mereka terpaksa menghabiskan duit ribuan ringgit kerana berulang alik jumpa doktor pakar untuk memulihkan kulit muka yang rosak, barulah timbul kesedaran untuk mereka berhenti  dari memakai produk yang mengandungi unsur terlarang ini. 


No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...