Saturday, 22 June 2019

Musibah atau ujian adalah petanda Allah mahu kita berubah


Dalam kehidupan kita ini tidak ada seorang pun yang akan terlepas dari diuji. Cuma bentuk ujian yang diterima itu saja yang berbeza di antara seorang individu dengan seorang yang lain. Ada yang menerima ujian kecil dan ada pula yang menerima ujian besar. Ada yang diuji hanya sekejap dan ada yang diuji sehingga berlarutan.

Kebiasaanya, kita begitu mudah untuk memberi komen disaat sesuatu insiden yang tak diingini berlaku kepada orang lain. Bila kita melihat rakan kita terkena ujian, kita akan berkata,” hebat betul si Peah tu sekarang, semenjak dia diuji dengan suaminya jatuh sakit, dia telah berubah menjadi seorang wanita yang kuat. Dulu serba serbi mengharapkan suami tapi sekarang dia nampak lebih matang dan sudah boleh berdikari.” Ketika kita berkata begitu kita amat yakin bahawa ujian yang didatangkan ke dalam hidup seseorang dapat memberi hikmah dan membuat dia berubah.

Tetapi apabila sesuatu insiden atau musibah yang tidak baik menimpa diri kita sendiri, lain pula yang kita akan ucapkan. Sehingga ke satu peringkat kita mula mempersoal tentang keadilan tuhan. Akan keluar satu pertanyaan,”Mengapa saya?” Kenapa hanya diri kita yang terpilih untuk menerima ujian ini sedangkan rakan atau kawan kita yang lain hidupnya aman damai. 

Sama ada kita sedar atau tidak, setiap ujian dan cabaran yang datang dalam hidup kita merupakan ‘turning point’ untuk merangsang kita berubah. Majoriti dari kita itu tidak akan beralih atau keluar dari zon selesa selagi tidak menerima sebarang ujian atau musibah. 

Anak kita tidak akan berhenti bermain permainan komputer atau melayari internet jika dia tidak perlu menempuh sebarang ujian atau peperiksaan di sekolah. Balik saja dari sekolah, dia akan terus menghadap komputer bukannya membaca buku atau membuat kerja rumah.Tetapi apabila cikgunya memberitahu yang esok ada ujian bulanan, barulah dia akan berubah dan mula membuka buku dan membuat latihan. Jadi, apabila kita menerima musibah atau ujian, di saat itulah kita akan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Dan ketika itulah kebanyakan dari kita mula membuka mata dan hati untuk berubah. 

Setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup dapat memberi satu pelajaran baru kepada kita. Tinggal diri kita saja yang perlu membuat keputusan sama ada ingin mengutipnya sebagai pelajaran atau membiarkan saja peristiwa atau insiden itu berlalu tanpa mengambil apa-apa iktibar darinya.

 Pembelajaran berasaskan kepada pengalaman ini merupakan suatu proses pembelajaran menerusi refleksi perlakuan. Berdasarkan kaedah atau konsep ini, apa jua bentuk pengalaman yang kita lalui dan akan dipindahkan dalam bentuk pengetahuan.

Namun apa yang sering berlaku dalam hidup kita adalah sebaliknya. Kebanyakan dari kita takut untuk bertindak balas. Kita cenderung untuk bergantung harap kepada nasib dan takdir semata-mata. Sebolehnya kita cuba untuk menangguhkan sebarang bentuk tindak balas.
Salah satu sebabnya ialah kerana kita tidak mahu menerima kesan atau akibat dari tindak balas yang bakal kita laksanakan nanti. Kita risau sekiranya tindak balas yang dilaksanakan itu akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu kita akan mengambil sikap berdiam diri selagi mana kita merasa diri kita berada dalam zon selesa. 

Berserah kepada takdir dan takut untuk menerima ‘consequence’ kesan dari tindak balas yang bakal dilaksanakan nanti tidak akan membawa kita ke mana-mana. Lewis Carrol ada menyebut, “If you don't know where you are going, any road will get you there.” 

Jadi kita tidak perlu takut untuk bertindak balas ke atas apa jua peristiwa atau insiden yang berlaku. Selagi kita takut, selagi itu kita akan melalui pengalaman dan cerita yang sama pada setiap hari. Selagi kita takut selagi itu kita tidak akan mendapat pelajaran atau pengalaman baru.

https://www.facebook.com/profile.php?id=100010444805105 

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...