Sunday, 9 June 2019

Rawatan aromaterapi. Pengguna perlu bijak membuat penilaian.


Aromaterapi ialah  penggunaan bahan dan minyak berasaskan dari tumbuhan aromatik seperti minyak pati yang bertujuan untuk meningkatkan keadaan psikologi dan kesihatan pengguna.

Ia boleh dipakai sebagai suatu terapi sampingan bersama rawatan konvensional mahupun suatu bentuk perubatan alternatif. 

Minyak pati pada asasnya adalah produk semula jadi yang diekstrak daripada spesies tumbuhan tertentu dan ia  biasanya ditemui dalam akar, kulit, batang, daun, dan bunga. 


Penggunaan minyak pati ini telah membawa banyak manfaat kepada kehidupan kita di mana ia digunakan untuk  kecantikan, fizikal dan kesejahteraan emosi. 

Antara kaedah yang biasa dipraktiskan oleh pengamal aromaterapi ini  ialah secara semburan (Aerial diffusion) yang bertujuan untuk mewangikan suasana persekitaran bilik atau ruang. 


Keduanya ialah secara penyedutan langsung (Direct inhalation). Kaedah ini  bertujuan untuk penyahjangkitan pernafasan, penyahsumbatan (decongestant), dan akhir sekali ialah kaedah pemakaian biasa atau disapu di bahagian tertentu dengan  tujuan untuk  berurut, mandi, tuam atau penjagaan kulit.


Prinsip atau konsep utama dalam kaedah perawatan secara aromaterapi ialah untuk menstimulasikan otak. Di mana bau minyak pati  yang disembur atau disapu tadi akan dihidu oleh pesakit. Kemudiannya bauan itu akan dihantar  ke otak melalui system saraf. Setelah itu, otak akan mengatur fungsi aromaterapi tadi dan menyesuaikannya dengan tubuh untuk meransang hormon dan enzim yang dapat membantu meringankan gangguan saraf dan gangguan lain pada bahagian tubuh. Ini akan membuatkan pesakit berasa tenang dan kesakitannya seakan reda. Kaedah ini memberi kesan postif kepada pesakit di samping mengamalkan ubatan moden. Ia membantu mempercepatkan proses penyembuhan.


Namun apa yang membimbangkan sekarang ini ialah ada di kalangan masyarakat kita  terlalu taksub dengan kaedah perawatan aromaterapi ini sehingga ada yang menganggap rawatan secara aromaterapi ini dapat menggantikan kaedah perubatan moden.


Pemikiran sebegini adalah silap kerana setiap penyakit mempunyai cara perawatannya yang khusus. Ada penyakit yang perlu dibedah atau ada yang hanya dirawat dengan memakan ubat sahaja. Misalnya demam. Demam biasanya terjadi disebabkan oleh tindak balas badan terhadap ‘allergen’ (biasanya bakteria atau virus) yang masuk ke dalam badan kita. 


Apabila badan mengesan adanya bakteria atau virus yang berjaya memasuki sistem tubuh, secara otomatik sistem imuniti kita akan mengerahkan askar-askar (sel-sel darah putih) untuk melawan bakteria atau virus tadi. Proses ‘peperangan’ diantara sel darah putih dengan bakteria inilah yang menyebabkan badan kita mula demam. Jadi untuk merawat demam ini, kita perlu mencari puncanya. Jika demam itu disebabkan oleh jangkitan bakteria, biasanya kita akan merawatnya dengan pengambilan antibiotik. 

Jadi dalam konteks ini, penggunaan minyak pati sama sekali tidak berkesan untuk melawan kangkitan bakteria.  Oleh itu pengambilan ubatan moden perlu diutamakan. Pengambilan atau penggunaan minyak aromaterapi  adalah sekadar untuk merangsang emosi agar kita merasa selesa dan tenang,  Apabila diri kita tenang, proses penyembuhan akan menjadi lebih cepat. Bakteria tidak akan mati dengan penggunaan kaedah aromaterapi.

Malah jika tersalah rawatan, penggunaan kaedah aromaterapi ini boleh mengancam nyawa pesakit. Misalnya dengan mencampurkan titisan minyak pati ini ke dalam minuman atau susu. Ada sesetengah jenis minyak aromaterapi  ini mengandungi sebatian yang bersifat mutagen dan mampu merosakkan DNA dalam sel tubuh pesakit. Tambahan pula pati minyak aromaterapi ini tidak mempunyai apa-apa vitamin untuk badan kita. 

Oleh itu pengguna dinasihatkan supaya tidak terlalu taksub dengan produk aromaterapi ini sehingga meninggalkan kaedah perubatan moden.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...