Monday, 30 January 2023

Hargai masa sewaktu bersama

 Satu petang di hari minggu.

"Ayah.. Boleh tak teman Isha naik basikal."
"Ayah penat la. Ayah nak rehat sambil baca paper je hari ni."
"Mm.. Okey."

Lalu dia pun masuk bilik, 'On' komputer dan main game online bersama kawan-kawannya.
Abam pun sambung semula membaca surat khabar.


.
Inilah kebanyakan dari kita. Setelah enam hari kita berkerja dan menghabiskan masa di pejabat, jadi pada hari minggu sajalah masa untuk kita manjakan diri atau dalam istilahnya ber 'me time'. Melakukan aktiviti penyembuhan diri atau 'healing'. Abam juga tidak berkecuali.
Pada hari minggu beginilah ada yang ambil kesempatan untuk qada tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari. Seharian tak keluar rumah. Sarapan pagi, makan tengahari dan kalau 'poket tebal', makan malam pun kita main oder je melalui applikasi Food Panda atau Grab.
Bagi kaki pancing pula, pagi-pagi lagi mereka sudah keluar bersama kawan-kawan. Selepas bersarapan lebih kurang di kedai mamak, mereka pun meredah hutan mencari lombong tinggal atau pergi ke kolam-kolam pancing berbayar, semata-mata melayan hobi nan satu itu sambil merehatkan minda.
Begitu juga dengan kaki golf, peminat sukan berbasikal atau sukan-sukan yang lain. Masing-masing memanafaatkan hari minggu dengan aktiviti tersebut bersama rakan-rakan.
Namun kita lupa, dalam masa yang sama ada insan yang sedang berharap agar hak mereka juga dipenuhi.
Setelah seminggu dia dipinggirkan kerana kesebokan kita mencari nafkah, harapan mereka, pada hari minggu begini adalah sedikit masa untuk dia melakukan aktiviti bersama orang tua sambil bercerita perihal sekolah, kawan, cikgu atau pun tentang harga makanan yang dijual di kantin.
Namun disebabkan tuntutan kerja dan diri sendiri, kita tidak punya masa yang banyak untuk bersama dengan sidia. Termasuklah pada hari minggu atau ketika cuti umum. Sehingga ada yang rasa diri mereka semakin terabai.
Ingat kawan.. What goes around comes around. What you give you get back. Ini adalah salah satu dari hukum alam.
Kehidupan kita ini terlalu singkat dan masa mereka juga singkat. Bila mereka semakin membesar tempat kita akan diisi oleh rakan sebaya. Beberapa tahun kemudian dia menjadi dewasa. Ketika itu dia mula ada komitmen sendiri. Mungkin sudah ada kerja dan berkeluarga. Secara beransur-ansur mereka mula menjauh dari kita dan pada masa itu baru kita rasa yang kita pula yang sedang dipinggirkan.
Justeru, berilah sedikit masa pada mereka sementara diri kita ini masih diperlukan. Jangan apabila mereka sudah dewasa baru kita menyesal kerana tidak sempat meluangkan masa berharga bersama mereka. Jangan jadi seperti sesetengah ibu bapa yang walaupun ada, namun diibaratkan seperti tidak ada!
.
Atas rasa bersalah dan supaya Abam tidak menyesal kemudian hari. Lalu...
"Gendut... Jom! Kita ronda kampung dengan basikal".
"Yea.. Okey."
Dia pun berlari ke luar rumah mendapatkan basikalnya.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...