Sunday, 22 January 2023

Tidak Semua orang akan jadi kawan kita.





Orang kata, dalam hidup ini kita kena ada kawan. Tanpa kawan kita boleh diumpamakan seperti 'kera sumbang'. Kera sumbang ni sikapnya ialah tidak tahu berkawan dan suka menyendiri serta pentingkan diri.

Tapi tidak semua orang kita boleh jadikan mereka sebagai kawan. Kita kena terima hakikat bahawa tidak semua orang yang kita temui itu ikhlas berkawan dengan kita.

Kiraannya mudah.


Kiraanya mudah. Dalam sepuluh orang yang kita jumpa, lima orang daripadanya tidak 'ngam' dengan kita. Cara fikir berbeza, minat tidak sama, atau mungkin personaliti yang sukar serasi. Jadi mereka tidak termasuk dalam senarai kawan kita.
Dalam lima orang tadi, tiga orang pula berkawan dengan kita atas sebab-sebab tertentu. Sampai satu ketika, mereka akan 'betrial', atau lebih kejam lagi menikam kita dari belakang.
Yang berbaki dua orang itulah mungkin yang benar-benar akan menjadi sahabat kita. Tempat kita mencurahkan masalah dan berkongsi rasa.

Kita akan tahu siapa kawan yang sebenar bila kita ditimpa kesusahan. Ketika kita ada wang, ramai yang datang mendekat. Ketika kita berjaya, ramai yang menumpang bangga dan ketika kita tersenyum, ramai yang mahu bergambar bersama.

Tetapi apabila kita diuji dengan kesusahan, ketika perniagaan kita jatuh, ketika kehilangan pekerjaan, ketika sakit atau ketika hati sedang hancur, ketika itulah topeng-topeng mula terbuka. Ketika itu baru kita tahu siapa yang sekadar kawan dan layak dipanggil sahabat. Ketika inilah ramai orang yang kita kenal akan cuba menjauhkan diri dari kita. Malah, bukan saja kawan, silap haribulan adik beradik pun sama. Hilang entah ke mana.

Sakit?

Sudah tentu sakit.

Tetapi itulah antara pelajaran hidup yang paling mahal nilainya. Kerana pada saat kehilangan itulah kita mula mengenali siapa yang benar-benar menghargai kehadiran kita dalam hidup mereka.

Justeru, tak perlu la kita nak berbangga memiliki ramai kawan sekarang ini.Tunggu ketika kita sedang berduka atau dalam kesusahan. Ketika itu cuba hitung berapa kerat kawan yang masih ada bersama kita?
Sebab itu ada orang kata, lebih baik kita punya seorang dua saja kawan tempat kita berkongsi masalah berbanding punya ramai kenalan tapi akan menjauhkan diri apabila kita ditimpa musibah.

Jadi, tak usah takut atau panik jika hari ini kita tiba-tiba kehilangan ramai kawan. Mungkin itu bukan kehilangan. Mungkin Allah sedang menunjukkan kepada kita siapa yang benar-benar layak untuk terus berada dalam hidup kita.

Kerana kadang-kadang, kawan yang pergi bukanlah satu kerugian.

Sebaliknya, ia adalah ruang yang Allah kosongkan untuk digantikan dengan sahabat yang lebih ikhlas dan lebih menghargai kita seadanya.

No comments:

Terima diri seadanya. Belajar untuk menanggalkan topeng yang terlalu berat

F arah seorang wanita muda yang bekerja di sebuah syarikat korporat di Kuala Lumpur. Di pejabat, dia sentiasa kelihatan ceria. Dia ketawa ap...