Dalam hidup ini terdapat banyak perkara yang berlawanan. Tinggi
lawannya rendah, besar lawannya kecil, cantik lawannya hodoh, cerdik
lawannya bodoh, kaya lawannya miskin dan disukai lawannya DIBENCI.
Dalam kamus, istilah benci ialah tidak suka. Manakala mengikut
Wikipedia, Benci atau kebencian adalah merupakan sebuah emosi yang
sangat kuat dan melambangkan ketidaksukaan, enmiti, atau antipati untuk
seseorang, sebuah hal, barang, atau fenomena. Hal ini juga merupakan
sebuah keinginan untuk menghindari, menghancurkan atau menghilangkannya.
Pernah tak kita tertanya, kenapa ada orang membenci kita padahal kita tak pernah pun menyakitinya?
Hakikatnya, tidak semua kebencian berpunca daripada kejahatan atau kesalahan kita.
Kadang-kadang, kita dibenci bukan kerana kita jahat… Tetapi kerana kita ada sesuatu yang orang lain tidak ada. Kelebihan yang kita miliki, bakat, kejayaan, keperibadian, ketenangan. Semua ini boleh menjadi pencetus rasa cemburu dalam hati sesetengah orang. Dan apabila mereka tidak tahu bagaimana hendak mengurus rasa itu, kebencian menjadi pelarian emosi yang paling mudah.
Dengan membenci, mereka rasa lebih ‘lega’. Rasa kecewa, marah atau rendah diri yang menghimpit dada, dapat dilepaskan. Dan lebih menyedihkan, mereka akan rasa lebih puas bila orang lain turut sama membenci kita. Seolah-olah kebencian yang dikongsi itu boleh menyembuhkan luka dalam hati mereka sendiri.
Tapi, kawan... kita tak perlu lemah semangat kerana itu.
Kita tak akan mampu buat semua orang suka pada kita. Bahkan Rasulullah SAW, insan paling sempurna dan mulia pun masih ada yang membenci dan menentang Baginda. Jadi siapalah kita untuk berharap semua orang akan menerima kita dengan tangan terbuka?
So.. Fokus saja pada mereka yang menghargai kehadiran kita. Dan teruskan hidup dengan hati yang bersih. Jangan berhenti berbuat baik hanya kerana orang salah faham. Jangan padamkan cahaya dalam diri hanya kerana ada yang silau melihatnya.
Kadang-kadang, dibenci ini bukanlah satu kelemahan. Ia adalah tanda bahawa kita sedang menonjol dalam sesuatu. Dan bukan semua orang bersedia untuk melihat kita bersinar.
Apabila kita merasa yang diri kita dibenci, pertamanya ingatlah bahawa
tuhan itu maha penyayang. Di saat diri merasa lemah, letih atau ingin
berputus asa dengan perangai orang yang membenci kita, ingatlah bahawa
Dialah sebaik-baik penolong. Menyerahlah diri kepada tuhan dan letakkan
redha serta rahmatNya sebagai matlamat bukannya kerana ingin mencari
redha makhluk. Jangan pernah merasa takut jika diri kita dibenci kerana
ramai orang baik di luar sana yang juga dibenci orang.
Keduanya,
tak perlu kita pedulikan mereka yang sedang membenci diri kita. Kita
tidak dituntut untuk melakukan yang terbaik supaya kita mendapat
perhatian atau simpati dari orang lain. Bila orang sudah membenci kita,
walau sebaik manapun kita lakukan untuk menarik perhatian mereka tetap
tidak akan dipandang. Sebaliknya, kita sendiri yang akan penat dan
kecewa disebabkan segala usaha yang dilakukan masih tidak berhasil.
Tambahan pula seseorang itu kadang kalanya tidak perlu mempunyai alasan
kukuh untuk menanam perasaan benci terhadap kita. Orang kata 'ikut
suka hati mak ayah dia saja bila dia ingin membenci kita atau pun tidak.' Jadi, kita pun tak perlu la nak menyusahkan diri untuk bertanya kenapa kita dibenci walaupun kita cuba berbuat baik dengan mereka. Tak payah.. Nanti kita sendiri yang akan penat.
Akhir sekali, tanamkan rasa syukur kerana ada orang yang membenci
kita. Adalah lebih bagus jika ada orang yang secara terang-terang
menunjukkan sifat kebenciannya kepada kita daripada dia berpura-pura
menjadi kawan dan kemudiannya menikam kita dari belakang. Bila dia
terang-terang menunjukkan rasa benci terhadap kita, kita boleh
terus ‘unfriend’ atau ‘block’ dia dari hidup kita. Hikmahnya, kita
hanya punya kawan yang benar-benar menghargai dan ikhlas berkawan
dengan kita.
Akhir kata, jika di hati anda terasa ada kebencian terhadap seseorang, ketahuilah bahawa syaitan telah berjaya menanam benihnya dalam jiwa anda. Oleh itu, jangan biarkan ia terus bersarang. Kembalilah kepada Allah, bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat.
Jangan kerana satu kesalahan kecil atau perkara remeh, kita membenci seseorang hingga menutup seluruh pintu kebaikannya. Hati yang dipenuhi kebencian adalah hati yang sedang sakit. Dan hanya Allah yang mampu menyembuhkannya.