Friday, 12 July 2019

Busuknya Hati Si Batu Api

Suatu hari di kantin sebuah pejabat kerajaan.
''Milah! Aku lihat kau dengan Peah seperti adik beradik. Seronok tengok korang berdua. Tapi kau tahu tak yang Peah tu …bla..bla..bla.."
“Ish! Tak kan kot..”
“Ramai yang tak tahu, tapi kami yang dah lama bekerja dengan dia tahu segalanya. Dia tu … bla..bla..bla..”

Selang beberapa hari selepas 'conversation' itu, hubungan Milah dengan Peah sudah tidak seperti dulu lagi. Jika sebelum-sebelum ini Milah dan Peah selalu kelihatan minum bersama setiap kali pada waktu rehat, sekarang momen itu sudah tidak ada lagi. Milah juga sudah kurang bercakap dengan Peah. Peah cuba juga untuk bersemuka dengan Milah untuk memperbaiki keadaan, tapi Milah tidak memberinya peluang. Kini Milah juga mula menganggap Peah sebagai saingannya bukan lagi sahabatnya. 

Apa yang terjadi di antara Milah dengan Peah ini adalah hasil dari ‘gerak kerja’ yang cukup teliti dimainkan oleh manusia yang bersifat batu api. Iaitu manusia yang suka menghasut atau melaga-lagakan orang dengan tujuan untuk merosakkan hubungan baik kedua belah pihak. 

Fenomena ini adalah lumrah di mana-mana organisasi atau kelompok masyarakat. Di pejabat-pejabat atau di taman-taman perumahan, pasti ada spesis manusia yang seperti ini. Mereka ini merupakan syaitan yang bertopengkan manusia. Mereka merasa cukup gembira sekiranya berlaku pertengkaran di antara dua rakan karib disebabkan salah seorang telah termakan akan kata-kata manis yang ditaburnya. Dia cukup puas hati apabila fitnah yang dilemparkan itu membuatkan hubungan persahabatan kedua rakan tadi terputus. 

Hal ini terjadi kerana spesis ini tidak suka sekiranya ada sesuatu kebaikan atau kelebihan diperolehi oleh orang lain. Apabila melihat orang lain lebih bahagia berbanding dirinya, hatinya mula menjadi sempit dan resah. Sebolehnya dia mahu supaya nikmat atau kebahagiaan yang dimiliki itu lenyap sekalipun tidak berpindah kepada dia. Niat yang ‘suci’ ini mendorong dia melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu yang telah mendominasi dirinya walaupun terpaksa menyebar fitnah dan berbohong. 

Dalam islam, sikap seperti ini disebut sebagai NAMIMAH, iaitu memindahkan perkataan sebahagian orang kepada sebagian lainnya dengan tujuan ingin memecah belahkan di antara mereka. Sifat ‘Namimah’ ini cukup popular dan telah dirakam dalam beberapa hadis Nabi, misalnya seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Menurut beliau Rasulullah SAW telah melewati dua buah kuburan, lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang disiksa. Keduanya tidak disiksa kecuali karena dosa besar. Salah satunya disiksa kerana namimah dan satu lagi diseksa karena tidak bersuci dari kencingnya.

Kawan-kawan, jika korang didatangi oleh manusia seperti ini, jangan cepat mempercayai kata-katanya, Cuba selidik dahulu setiap maklumat yang disampaikan kerana orang yang bersifat sebegini adalah seorang yang fasik dan suka melihat orang lain gagal atau jatuh tersungkur. 

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”(Surah al-Hujurat: Ayat 6)

Kepada spesis manusia batu api ini, lebih baik anda jadi manusia yang hipokrit dari anda menjadi batu api. Manusia hipokrit hanya berpura pura di hadapan kawan mereka tapi si batu api ini pula suka melaga-lagakan rakan mereka sendiri. 

Takziahlah diucapkan kepada anda kerana belum berubah dari sifat batu api ini. Berdasarkan kepada beberapa hadis, selagi anda tidak bertaubat, tidak ada tempat untuk anda di dalam syurga sebaliknya anda akan berada di tempat paling bawah di dalam api neraka.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...