Saturday, 25 September 2021

Ada hikmah yang tersembunyi disebalik setiap kejadian.

 


Pada zaman dahulu... Ada seorang petani miskin yang hidup bersama anaknya. Petani miskin ini jmemiliki seekor kuda yang digunakan untuk mengangkut hasil dari ladangnya ke pekan untuk dijual di pasar.

Pada suatu hari, entah apa penyebabnya, tiba-tiba kuda petani itu lari begitu saja dari kandang dan menuju ke hutan. Jadi pada hari itu petani itu tidak dapat membawa hasil ladangnya ke pekan kerana ketiadaan kenderaan.

Apabila mengetahui keadaan ini, jiran-jiran petani itu berkunjung kerumahnya.
“Sungguh malang nasibmu wahai petani, kudamu lari tanpa sebab. Susahlah kamu untuk membawa hasil ke pekan...”
Petani itu hanya menjawab, “Entahlah, aku pun tak tahu sama ada nasib aku ini malang atau beruntung”.

Beberapa hari kemudian, kuda petani itu kembali semula ke rumah mereka tetapi kali ini dia tidak balik seekor sebaliknya dia pulang bersama seekor lagi kuda liar.
Apabila mengetahui kuda petani itu telah kembali, jiran-jirannya pun mula datang melawat dan mereka terkejut kerana ada seekor lagi kuda liar yang turut bersama kuda petani tadi.
Mereka pun berkata, “Wah..Sungguh beruntung nasibmu wahai petani, bukan saja kudamu sudah kembali, tapi sekarang kamu sudah mempunyai dua ekor kuda.”
Petani tadi hanya menjawab, “Beruntung atau tidak, Aku pun tidak tahu …”

Beberapa hari selepas itu, dengan penuh semangat, anak petani tadi cuba untuk menjinakkan kuda baru mereka. Namun, ternyata kuda itu terlalu sukar untuk dikendalikan. Entah macam mana, sewaktu cuba mengenderai kuda baru itu, anak petani tadi terjatuh dari kuda dan kakinya patah.
Mendengar peristiwa anak petani itu jatuh dari kuda dan kakinya patah, jiran-jiran petani tadi datang melawat.
Jiran-jirannya pun berkata “Wahai petani, sungguh malang nasibmu! tak ada lagi orang yang boleh membantumu berkerja di ladang”
Petani itu hanya menjawab, “Entahlah.. Malang atau beruntung, aku pun tak tahu …”

Sejak kakinya patah, anak petani itu hanya terbaring saja di tempat tidur dan tidak lagi membantu ayahnya berkerja di ladang. Untuk membantu proses penyembuhan, petani tadi membalut kaki anaknya.

Pada satu hari negeri mereka telah berperang dengan sebuah negeri lain. Memadangkan negeri mereka tidak cukup askar, raja telah mengarahkan semua anak muda menjadi tentera secara paksa.
Beberapa hari kemudian, datanglah Panglima Diraja ke kampung petani tadi untuk mencari anak muda untuk dijadikan askar. Termasuklah anak-anak lelaki jirannya. Dengan sedih mereka terpaksa melepaskan anak mereka pergi.
Sewaktu mereka berkunjung ke rumah petani, mereka melihat anak petani yang sakit itu sedang berehat.
Mereka pun berkata, “Wahai petani, sungguh beruntung nasibmu! Walaupun anak kamu sakit tapi dia masih ada di depan mata kamu. Sedangkan kami tak tahu apa nasib anak-anak kami.”
Petani hanya menjawab, “Malang atau beruntung, aku pun tidak tahu …”

Moral of the story..
Contohilah sifat si petani itu. Dia menerima setiap takdir yang dianugerahi kepadanya dengan berlapang dada. Sedikit pun dia tidak menyalahkan keadaan.
Walaupun ketika dia kehilangan kuda atau ketika anaknya jatuh dari kuda sehingga patah kakinya. Dia tetap tenang dan bersangka baik kerana dia tahu di setiap ujian yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersebunyi di sebaliknya.
Setiap peristiwa malang yang berlaku pasa kita pada hari ini belum tentu ianya satu kesudahan yang buruk buat kita. Mungkin melaui peritiwa malang ini merupakan cara untuk tuhan menganugerahi kebaikan kepada kita. Sesungguhnya Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita.
-Dr. Abam
Tips hidup tenang

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...