Thursday, 9 September 2021

Buang Sifat malas

 


Dalam hidup kita ada satu perkataan yang menjadi musuh semulajadi yang menghalang kita menjadi individu yang produktif. Sifat ini akan membuatkan seseorang itu tidak berubah dan berada di takuk atau tempat yang sama walaupun dia punya keinginan yang tinggi untuk berubah.
Sifat tersebut ialah sifat MALAS. Sifat malas ini selalu menghantui setiap orang dari kita tanpa mengenal waktu dan batas usia. Ia seolah-olah telah melekat dan sebati dalam diri kita.
Sifat malas ini juga boleh dikategorikan dalam salah satu dari penyakit mental dan ia amat berbahaya. Ini kerana sifat ini boleh menjerumuskan diri kita kepada kegagalan.
Jika ada perkataan ini dalam diri dan jiwa kita, apa pun yang kita lakukan tidak akan berhasil. Jika berhasil pun kualitinya tidak seperti yang diharapkan.
Disebabkan adanya sifat ni dalam diri kita juga, hidup kita akan berubah 360 darjah. Banyak contoh di sekeliling kita yang boleh dilihat bagaimana keadaan hidup seseorang itu menjadi tunggang langgang apabila sifat malas ini menguasai dirinya. Contohnya, kita akan menjadi obesiti jika kita malas untuk bersenam.Kita juga akan menghadapi masalah kesihatan seperti hipertension atau diabetes jika kita malas menjaga pemakanan. Begitu juga dalam meraih rezeki untuk menampung kehidupan. Rezeki akan datang jika kita berusaha menjemputnya. Rezeki tidak akan datang jika kita hanya bermimpi atau asyik berkhayal.

Apa pun yang kita lakukan, jika ada perkataan ini di hujungnya kita akan temui dengan kegagalan. Kalau tak gagal pun hasil yang kita lakukan menjadi tidak sempurna. Buat karipap isinya penuh dengan angin, buat rendang, rasanya tidak 'crispy' dan masak bubur lambuk yang jadinya ialah bubur asyura. Sebab itulah perasaan malas ini juga termasuk dalam salah satu dari musuh utama manusia.

Rasa malas ini jika dibiarkan terus menerus berada dalam diri kita, lama kelamaan ia akan jadi satu kebiasaan dan apabila sudah menjadi kebiasaan, ia akan menyebabkan hidup kita tidak berkembang dan stagnan disitu saja untuk selamanya.

Salah satu cara untuk menghilang rasa malas ialah dengan mengamalkan disiplin. Displin ini adalah kunci kepada kejayaan atau keberhasilan. Walaupun diri kita sudah ada motivasi yang tinggi tetapi jika kita tidak mempunyai disiplin, niat untuk berubah tidak akan berjaya. Oleh itu disiplin haruslah di semai dalam diri setiap dari kita. Ia mengajar kita supaya tegas dengan prinsip.
Rasa malas adalah satu jenis penyakit yang tidak boleh kita sembuhkan dengan cara mendapatkan ubat dari doktor. Dalam dunia ini belum ada lagi ubat atau vaksin yang dicipta khas untuk merawat penyakit malas. Oleh itu penyakit ini hanya boleh disembuhkan oleh diri kita sendiri.
Selain dari berdisiplin, lagi satu ikhtiar untuk menghilangkan rasa malas ini ialah dengan memperbanyakkan doa. Antara doa yang biasa diamalkan untuk meghilang rasa malas ialah seperti doa berikut;
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبُخْل
Maksudnya, ' Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari rasa malas, dan aku berlindung kepada-Mu dari sikap pengecut, aku aku berlindung kepada-Mu dari perkara yang haram, dan aku berlindung kepadaMu dari sifat bakhil.'
Perasaan malas ini amat merugikan kita. Oleh itu, buang rasa malas ini supaya ia tidak melekat dalam diri kita selamanya. Semakin menebal sifat ini bertapak di dalam diri, semakin banyak aktiviti yang sepatutnya kita lakukan akan tergendala.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...