Monday, 5 August 2019

APA ITU ANEMIA?



Semalam kita ada janji untuk buat artikel berkenaan anemia. Hari ini kita bagi dulu secara ringkas apa itu anemia dan bagaimana untuk mengurangkan simptom anemia. Untuk member-member CKD group, kita akan bincang lagi bab ini dengan lebih mendalam di kesempatan lain. Info ni sekadar sambil lalu saja.

Okey.. Apa itu anemia? 

Anemia adalah merujuk kepada pengurangan mutlak jumlah sel darah merah yang beredar (RBC) dalam badan. Untuk tujuan praktikal, anemia boleh dipertimbangkan apabila satu atau lebih simptom berikut mengalami pengurangan/penurunan: jumlah hemoglobin, jumlah hematokrit, dan kiraan sel darah merah (RBC). Jika berlaku perkara-perkara yang disebutkan tadi, kita boleh klasifikasikan bahawa orang atau individu itu mengalami anemia.

Sel darah merah ini bertugas untuk membawa oksigen ke tisu dan organ di seluruh badan terutamanya ke jantung, otak dan organ-organ lain. Kesemua organ ini tidak mungkin dapat berfungsi dengan sempurna jika mereka tidak cukup bekalan darah. Sebab itulah kita perlu pastikan yang diri kita tidak mengalami gejala anemia ini supaya semua organ kita dapat berfungsi dengan baik.

Kebanyakan atau majoriti pesakit yang mengalami penyakit kegagalan buah pinggang, biasanya akan mengalami masalah anemia ini. Keadaan ini berlaku kerana salah satu dari fungsi buah pinggang ialah menghasilkan hormon yang dikenali sebagai erythropoietin (EPO). EPO ini kemudiannya akan merangsang sumsum tulang untuk membuat sel darah merah, yang kemudian akan bertugas sebagai agen atau trasport untuk membawa oksigen ke seluruh badan.

Jadi, apabila buah pinggang mengalami kerosakan (terutamanya pesakit yang disahkan sebagai End Stage Renal failure), hormon EPO ini tidak dapat dihasilkan lagi. Akibatnya, sumsum tulang yang bertugas untuk membuat sel darah merah tidak dapat lagi mengasilkan sel darah merah secukupnya.

Bagi kita yang normal, masalah anemia ini juga boleh berlaku. Antara sebab yang biasa dijumpai ialah kerana kekurangan folate dan vitamin B-12. kedua-dua vitamin ini juga berkeupayaan untuk membantu tubuh kita membuat/ menghasilkan sel darah merah. Oleh itu, jika badan anda tidak dapat memproses B-12 ini dengan betul, anda juga mungkin akan mengalami anemia walaupun buah pinggang anda tidak rosak seperti yang dialami oleh pesakit CKD.

Apa tanda-tanda anemia? 

Antara tanda-tanda dan gejala anemia ialah seperti lemah dan cepat letih. Pesakit juga kadang-kadang mengalami sakit kepala, sukar memberi tumpuan, sklera mata kelihatan pucat, pening, sukar bernafas atau esak nafas dan kadang-kadang pesakit mengadu sakit dada.

Apakah rawatan yang biasa diberikan untuk merawat anemia di kalangan orang normal dan pesakit ESRF?

Tiada makanan yang akan dapat menyembuhkan anemia. Tetapi dengan mengambil makanan sihat yang kaya dengan kekacang, bijirin, makanan laut, daging, boleh membantu mereka mendapatkan zat besi yang diperlukan. Di samping itu pengambilan vitamin atau makanan tambahan yang mengandungi zat besi ( iron) juga akan membantu tubuh menghasilkan sel darah merah.

Begitu juga untuk pesakit yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang kronik (CKD), mereka juga dapat mengurangkan simptom anemia ini dengan meningkatkan tahap iron (zat besi) dalam darah. Biasanya, pil Iron akan diberikan kepada mereka untuk membantu meningkatkan kadar iron dan hemoglobin dalam darah. Ada yang mengambilnya sekali sehari dan ada yang mengambil dua kali sehari. Ia bergantung kepada keterukan dan jumlah serum iron yang terdapat dalam badan pesakit. Bagi mereka yang tahap ironnya terlalu rendah atau kritikal, infusi iron terpaksa diberikan.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...