Saturday, 31 August 2019

Pemakanan Sunnah dan Kesihatan (siri 2)




Sebagaimana yang kita ketahui, pemakanan yang seimbang amat dititikberatkan oleh pakar pemakanan. 

Malah seawal di peringkat bayi lagi, ibu-ibu digalakkan supaya memilih makanan yang berkhasiat untuk diberikan kepada anak mereka supaya pembesaran bayi itu tidak terganggu. Kemudian ibu disarankan supaya memilih makanan yang sesuai mengikut peringkat umur. Tujuannya ialah supaya perkembangan fizikal dan mentak anak itu tidak terganggu.

Ini menunjukkan bahawa pengambilan makanan ini mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan akal, emosi, rohani dan fizikal kita. Sehubungan dengan itu, pengambilan makanan yang dipilih dalam kehidupan seharian sewajarnya dititiberatkan. 

Kesilapan kita dalam memilih makanan boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, “Perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’ (Hadis Riwayat Muslim).

Berdasarkan kepada hadis tersebut, amalan pengambilan makanan yang berkhasiat adalah penting. Di sinilah timbulnya piramid pemakanan dan konsep pemakanan seimbang untuk membantu mengurangkan risiko dihidapi penyakit.  

Namun, disebabkan oleh perubahan gaya hidup, ramai di kalangan kita tidak mempunyai kesempatan untuk memantau pemakanan yang mereka ambil. Tambahan pula dengan lambakan makanan segera yang murah dan senang diperolehi telah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan membeli makanan segera ini dan mengabaikan sepenuhnya aspek pemakanan sihat. Kesannya ramai yang menghadapi masalah kesihatan seperti megalami lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung.

Untuk mengurangi risiko mendapat penyakit-penyakit ini, pengambilan makanan tambahan atau supplement amat digalakkan. Hal ini adalah kerana makanan tambahan mengandungi nutrisi dan pelbagai khasiat yang dapat meningkatkan imuniti badan dan sekali gus dapat meningkatkan daya ketahanan penyakit.

Dan dewasa ini, timbul pula trend baru di kalangan rakyat Malaysia, iaitu amalan mengambil makanan yang namanya ada disebut di dalam Al-Quran dan hadis untuk dijadikan makanan tambahan. Dari persepsi mereka, tabiat pengambilan pemakanan yang diteladani mengikut sunnah ini dipercayai dapat membantu mereka mencapai tahap kesihatan yang optimum.  

Apa itu makanan Sunnah?

Makanan sunnah ialah makanan yang berinspirasikan item yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadis (Mohd Izzat, Mohd Farhan, Mohd Anuar & Ahmad Rozaini, 2016). Masyarakat menganggap nama makanan yang disebut di dalam Al-Quran dan Al hadis merupakan peninggalan warisan Rasulullah dan amat baik untuk kesihatan. Lantaran itulah nama-nama makanan ini disebut di dalam Al-Quran dan Al hadis.

Antara makanan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis ialah kurma, kismis, buah tin, buah zaitun, delima, habbatus sauda, zafran dan madu. Kesemua makanan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Banyak kelebihan yang boleh kita peroleh hasil daripada memakan makanan sunnah tersebut antaranya menguatkan tubuh badan, membantu mencerdaskan otak dan mengelakkan daripada pelbagai jenis penyakit.


kelebihan makanan sunnah dan pembuktian dari sudut sains

Madu: madu merupakan makanan yang berkhasiat kepada manusia. Ianya dihasilkan oleh lebah yang menyedut nectar daripada pelbagai tumbuhan terutamanya bunga.   Surah An-Nahl, ayat 69 telah menjelaskan tentang kebaikan madu ini,

‘’Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.’’

Walaupun madu mempunyai kadar rasa manis yang lebih berbanding gula putih, namun kemanisan madu ini tidak mendatangkan kesan buruk kepada badan manusia berbanding gula putih. Ini kerana madu  mempunyai karbohidrat yang tinggi dan  kandungan air. Lantaran itulah ia tidak memberi mudarat kepada tubuh kita berbanding gula putih walaupun kemanisan madu ini adalah 1.5 kali ganda lebih manis berbanding kemanisan gula putih.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Brodschneider dan Crailheim (2010) mendapati madu mengandungi protein, vitamin, mineral dan sedikit lemak. Gabungan bahan-bahan ini menjadikan madu sebagai anti oksida dan kebaikan ini memberi kesan positif terhadap memori.  Pengambilan madu akan meningkatkan memori dan membantu proses pembelajaran.

Manakala mengikut kajian yang dilakukan oleh Martos et al (2008), mereka mendapati madu juga baik untuk penyembuhan luka dalaman dan luaran. Ini adalah kerana antioksida dalam madu juga bertindak sebagai anti radang dan anti bakteria. Ini membantu proses penyembuhan luka.

Akhir sekali, kajian yang dilakukan oleh Khalil et al (2010) mendapati madu juga mempunyai agen pharmacologi yang berpotensi untuk mencegah penyakit kardiovaskular ( sistem jantung ) penyakit berjangkit dan anti penuaan.

Penggunaan madu di negara kita sekarang ini amatlah meluas tetapi kita mengahadapi masalah kerana tidak semua madu yang dipasarkan adalah asli. Sehubungan dengan itu,  langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk mengelakkan kesan sampingan yang tak sepatutnya berlaku sehingga merosakkan kredibiliti produk sunnah ini dalam membantu menjaga kesihatan.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...