Thursday, 1 August 2019

KALAU NAK MENEGUR TU BIARLAH TERTIB..


 

Dikisahkan ada seorang lelaki Arab Badawi telah kencing dalam masjid. Para sahabat ingin menghalau lelaki itu keluar dari masjid. Namun Nabi SAW meminta dibiarkan lelaki itu kencing. Kemudian Nabi SAW memanggil lelaki Badawi itu dan menerangkan ketidakharusan untuk kencing dalam masjid. Baginda juga menjelaskan tentang tatacara membersihkan tempat yang terkena najis kencing. 

Tegur menegur ini adalah satu sifat yang baik kerana ia dapat memberi kesedaran kepada kita. Maklum sajalah kita ini juga insan biasa yang tak lepas dari membuat kesalahan dan kesilapan. Apabila ditegur, barulah kita sedar akan kesilapan yang kita lakukan.

Namun begitu, memberi teguran adakalanya boleh memberi kesan negatif, bergantung kepada kaedah dan bagaimana kita membuat teguran. Setiap nasihat atau teguran itu sepatutnya perlu dihalusi terlebih dahulu. Orang yang menegur itu juga mestilah dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. 

Namun, apa yang diperhatikan sekarang ini, ramai si tukang tegur memberi teguran berbentuk kecaman sehingga memalukan 'si kena tegur'. Tanpa memikirkan perasaan si dia, si tukang tegur itu terus menghamburkan kata-kata pedas kepada individu tadi. Malah ada kalanya dia berhujah tentang kesilapan 'si dia' itu secara terbuka di khalayak ramai sehingga menjatuhkan air mukanya. Misalnya di media sosial atau di kawasan terbuka.

Tidakkah si tukang tegur itu merasa malu dengan kesilapan yang sengaja dia lakukan itu? Apakah dengan bersikap sedemikian bermakna 'si tukang tegur' itu ingin memberitahu kepada dunia bahawa dia lah yang terbaik dan layak memberi teguran? Adakah dengan menggunakan perkataan berbaur sumpah seranah itu maka 'rating' si tukang tegur itu akan meningkat seperti peserta rancangan realiti di televisyen? Adakah si tukang tegur itu fikir bila dia mampu menggunakan perkataan-perkataan pedas dan emosi begitu, maka orang akan lebih hormat kepada beliau? Dan akhir sekali, adakah dengan menegur secara 'sarkastik' begitu,orang akan tahu bahawa 'si tukang tegur' itu telah menjalankan tanggung jawab menegurnya dengan sempurna? Tepuk dada tanyalah iman. 

Kawan, panduan dari orang bijak pandai, apabila terdetik dalam hati kita untuk menegur, cuba ‘pause' kan dulu diri kita sekejap dan tarik nafas. Tanya balik kepada diri sendiri apa tujuan kita menegur itu? Adakah kerana kita benar-benar ikhlas untuk memperbetulkan keadaan atau sekadar ingin melampiaskan kemarahan dan ketidak puasan hati terhadap orang yang ingin ditegur itu.

Jika benar bahawa tujuan kita menegur itu demi kebaikan, tidak bolehkah kita menegur dia dengan cara yang lebih berhemah? Apa salahnya memanggilnya secara peribadi dan berbincang dari hati ke hati. Cuba tutup aibnya dari penegetahuan orang lain. Teguran secara keras atau kecaman hanya perlu dilakukan sekiranya nasihat secara lembut tidak berkesan. 

Walaupun sikap tegur menegur ini baik tetapi menjadi 'tukang tegur' itu tidak bermakna kita mempunyai lesen untuk berkata sesuka hati. Si tukang tegur juga bukannya seorang yang sempurna. Oleh itu berhemahlah sewaktu menegur kerana
menegur orang lain memang sedap tetapi bagaimana pula rasanya apabila diri kita yang kena tegur?


No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...