Saturday, 24 August 2019

HINDARI SI MULUT JAHAT...


Lidah adalah daging yang lembut yang berada dalam mulut manusia. Walaupun lidah itu tidak bertulang tetapi implikasi yang didatangkannya memberi impak yang besar kepada pemiliknya iaitu sama ada ia membawa si pemilik itu ke syurga atau membawa ke neraka.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan kepada Sayyidina Ali yang bermaksud :"Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)".

Dengan lidah, kita boleh mencetus kerosakan dan memecah belahkan perpaduan. Hanya dengan memesongkan fakta dan menambah perisa tertentru sewaktu berbicara, kita boleh membuatkan dua orang kawan karib bertukar menjadi musuh. Inilah gejala yang dibawa oleh si mulut jahat. 

Diceritakan kononnya pada satu ketika, seorang lelaki kaya telah pergi ke pekan dengan tujuan untuk membeli seorang hamba. Dia telah ditawarkan seorang hamba lelaki yang sihat tubuh badannya tetapi dijual dengan harga yang murah kerana sifatnya yang suka membuat fitnah. 

Disebabkan orang kaya itu menganggap fitnah hanya satu perkara yang remeh, maka dia bersetuju membeli hamba lelaki tadi. 

Setelah beberapa bulan bekerja dengan majikannya, hamba tadi mula ‘mengarang cerita’. Dia mendatangi isteri majikannya dan memberitahu yang suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu mencadangkan supaya isteri majikannya cepat-cepat menggagalkan perkahwinan tersebut dengan berikhtiar menggunakan bomoh dan salah satu syaratnya ialah mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya. Manakala cara untuk mengambilnya pula adalah dengan menggunakan pisau yang tajam agar tidak terasa sakit sewaktu suaminya tidur. Si isteri tadi benar-benar percaya, lalu dia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi pula memberitahu lelaki kaya itu yang isterinya akan membunuhnya sewaktu dia sedang tidur. Oleh itu dia meminta supaya si kaya itu berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan cara si kaya itu berpura-pura tidur.

Pada malamnya ketika si suami berpura-pura tidur, si isteri datang membawa pisau yang tajam. Ketika si isteri memegang leher suaminya, si suami segera bangun dan merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. 

Apabila mendapat tahu yang anak perempuan mereka telah mati dibunuh, pada keesokan harinya keluarga si isteri datang menuntut bela dengan membunuh si kaya itu. Selang beberapa hri keluarga si kaya itu pula menuntut bela atas kematian sikaya tadi sehingga banyak kes bunuh membunh di antara kedua-dua belah pihak.

Inilah kesan buruk yang dilakukan oleh Individu bermulut jahat dan orang seperti ini amat berbahaya. 

Dia ini lebih bahaya daripada musuh yang sebenar kerana untuk berdepan dengan musuh yang nyata, ia adalah mudah tetapi individu yang bermulut jahat ini amat pandai menyembunyikan sifatnya yang sebenar. 

Dia sentiasa menjadikan hidup kawan atau orang di sekelilingnya tidak tenang dengan berita yang sengaja diada adakan. Dan dia amat pandai memainkan peranannya. Dia tidak peduli pada keadaan sekelilingya demi mengaut keuntungan diri sendiri dan dia juga tidak kisah melihat orang lain jatuh walaupun orang itu adalah sahabatnya sendiri. 

Oleh itu kita harus berhati-hati dengan orang seperti ini. Usah cepat percaya dengan cerita atau berita yang dibawa oleh si mulut jahat sehingga ia terbukti benar. Dia amat pandai mengarang dan mereka cerita. Benda yang kita tidak kata pun dia boleh dikata kita yang cakap. Benda yang tak berlaku pun boleh dikata sudah berlaku. 

Kepada si mulut jahat, ijmak ulama telah sepakat mengatakan bahawa perbuatan anda itu adalah haram berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat dengan aku di akhirat nanti adalah orang yang akhlaknya paling baik. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh dari aku di akhirat nanti adalah orang yang paling buruk akhlaknya iaitu orang yang banyak cakapnya dan dibuat-buat, orang yang berlagak pandai dan orang yang bercakap besar (sombong dan angkuh).” (Sunan Tirmizi: 2018, Al-Mu’jam at-Tabarani: 588, Musnad Imam Ahmad: 17278 dan 17289).

Hentikanlah segera perbuatan tidak bermoral ini kerana sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran sepatutnya anda menggunakan kelebihan tersebut untuk berbuat kebaikan, bukannya untuk menjalankan misi menjatuhkan orang. 

Bertaubatlah sebelum terlambat kerana dosa yang anda lakukan itu lebih besar dari dosa membunuh. Anda hanya dikira bersih dan bebas dari dosa jika pertbuatan anda itu diampunkan oleh orang yang menjadi mangsa anda. Selagi dia tidak memaafkan anda, dosa itu akan kekal dan dibawa bersama sehingga ke hari kiamat.

Selamat Berhari Minggu..

https://usryabdullah.blogspot.com/p/blog-page_0.html

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...