Thursday, 29 August 2019

Makanan Sunnah dan Kesihatan (Siri 1)


Penjagaan kesihatan adalah aspek penting dalam kehidupan kita. Apabila kesihatan terjaga, hidup kita akan selesa. Dengan ini kita dapat menjalankan tugasan dengan sempurna di samping melakukan aktiviti yang kita suka. Kesannya, mental kita akan ceria.

Pepatah ada mengatakan bahawa 'kesihatan itu lebih baik daripada kekayaan’.  Pernyataan tersebut memang ada kebenarannya. Jika kita ada mempunyai masalah kesihatan, kita tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan sempurna. Malah  harta kekayaan yang kita miliki juga tidak dapat kita nikmati sepenuhnya. Misalnya, jika kita menghidap penyakit darah tinggi atau lebih dikenali sebagai ‘hypertension’.  Di saat itu, jika dihidangkan  dengan kambing golek, lobter masak butter dan kari ketam sekalipun tidak dapat kita makan walaupun kita ada duit untuk membelinya.

Lantaran itu ramai yang mula sedar tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan. Dan salah satu daripadanya ialah dengan mengambil makanan yang seimbang.


Apa itu makanan seimbang?


Makanan seimbang ialah makanan yang mengandungi kombinasi pelbagai jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan tubuh. Di negara kita, amalan pemakanan sihat boleh dilakukan dengan merujuk Piramid Makanan Malaysia.

Terdapat lima kumpulan makanan yang dibahagikan mengikut empat aras berbeza. Aras paling bawah piramid makanan terdiri daripada makanan yang membekalkan tenaga seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi.

Aras kedua pula adalah buah-buahan dan sayur-sayuran yang  menjadi sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral.  

Aras ketiga ialah daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu. Semua produk ini merupakan sumber protein, zink dan zat besi (ferum). Elemen atau komponen ini membantu untuk meningkatkan sistem imun kita di mana protein bertanggungjawab dalam menghasilkan antibodi yang bertindak melawan jangkitan bakteria dan virus yang masuk ke dalam badan kita.

Akhir sekali adalah sumber lemak. Walaupun lemak ini tidak baik tetapi ia tetap penting untuk  untuk membekalkan kalori mencukupi untuk perkembangan normal saraf, mata. Oleh itu ia perlu diambil dalam kadar yang sedikit.

Malangnya, sehingga ke hari ini, tidak ada  jenis pun makanan atau minuman yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh kita dalam satu-satu masa. Oleh itu, untuk mendapatkan diet yang sihat, kita perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang dengan jumlah yang tepat.

Malangnya, disebabkan oleh kekangan kerja atau masalah kewangan, ada di antara kita yang mengambil makanan secara ala kadar dan tidak mengikut seperti mana yang disyorkan. Kesannya, ramai yang menghadapi masalah kesihatan. Ada yang mengalami masalah darah tinggi (hypertension), Diabetes, penyakit jantung, gout, dan pelbagai penyakit kronik yang lain.

Lantaran itu, kajian sains mendapati pengambilan makanan tambahan@suppliment dapat membantu kita ‘mengisi kekurangan bahan’ atau elemen yang tidak terdapat dalam makanan yang kita makan setiap hari. Dengan ini risiko untuk kita menghidap penyakit yang disebutkan tadi dapat dikurangkan.
Dan salah satu daripada ikhtiar yang diamalkan oleh masyrakat kita sejak kebelakangan ini ialah dengan  mengambil makanan yang berasaskan makanan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis atau lebih di kenali sebagai ‘makanan sunnah’.

Pengambilan makanan tambahan atau produk yang menggunakan ‘trade mark’ makanan sunnah ini telah menjadi trend di kalangan masyarakat kita  sekarang ini sebagai salah satu daripada alternatif untuk menjaga kesihatan dan menghindarkan diri dari terkena penyakit kronik. Persepsi masyarakat terhadap makanan yang diambil oleh Rasulullah dan makanan yang terdapat dalam Al-Quran ini begitu positif kerana mereka menganggap ianya adalah makanan yang terbaik.

Namun, sejauh mana makanan sunnah ini memberi kesan positif dapat membantu kita menghindari diri  dari dihinggapi penyakit masih lagi menjadi perbahasan sesetengah pihak. Beberapa persoalan sering diperdebatkan di kalangan masyarakat, ahli akademik dan pengamal perubatan. Jadi,  untuk mengisi kekosongan dan menjawab persoalan-persoalan itu, di entri akan datang kita akan membincangkan lebih lanjut tentang makanan sunnah ini.

https://usryabdullah.blogspot.com/p/blog-page_0.html

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...