Thursday, 16 February 2023

Untuk bahagia, kita tidak perlu memiliki segalanya.




Sudah menjadi fitrah atau keinginan setiap dari kita untuk merasa bahagia. Antara ciri individu yang bahagia ialah dia akan rasa tenteram, aman dan puas dengan kehidupan yang dia lalui pada setiap hari.

Ustaz kata, kebahagiaan itu datangnya dari hati dan untuk bahagia kita tidak perlu memiliki segalanya. Cukuplah dengan menghargai dan menikmati apa yang telah kita ada, tidak merungut atas apa yang tuhan takdirkan pada kita dan tidak pernah berangan untuk menjadi sesiapa.
Namun ramai di kalangan kita yang tersilap ketika medifinisikan erti kebahagiaan. Mereka merasakan bahagia itu akan hadir apabila kita dapat mencapai segala apa yang diingini.
Lantaran itulah ramai di kalangan kita berusaha berhabis-habisan mengejar pangkat, mencari nama, wang dan harta kekayaan. Tapi ‘end of the day’, dia hanya mendapat kepenatan. Yang medukacitakan lagi, dia masih tidak merasa bahagia.
Contohnya apa yang terjadi kepada maharaja Firaun. Walaupun hidupnya dilimpahi dengan harta kekayaan dan dikelilingi oleh hamba sahaya yang sedia berkhidmat pada bila-bila masa, namun disebabkan di dalam hatinya tebal dengan perasaan tidak berpuas hati dan rasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki, hidup beliau tidak pernah bahagia.
Malah beliau diburu oleh rasa takut dan risau. Takut kalau-kalau ada musuh yang akan merampas kekayaan dan takhta dari tangan beliau.
Sebaliknya, perkara ini tidak berlaku kepada Khalifah Umar Abdul Aziz. Walaupun beliau juga dikurniakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat namun beliau tetap hidup dalam serba sederhana dan bersyukur dengan anugerah tersebut.
Pernah diriwayatkan beliau hanya memakai pakaian yang harganya tidak melambangkan langsung kedudukan beliau sebagai seorang khalifah agung dan disegani. Jika di zaman sekarang, boleh diibaratkan seperti seorang Perdana Menteri yang memakai baju dan seluar yang dibeli di pasar malam atau di kedai bundle, walaupun beliau mampu untuk membeli baju berjenama Burberry yang harganya sama dengan sebulan gaji kita. Eh.. Tiber..🙂
Kesimpulannya, kebahagiaan itu bukannya bergantung kepada apa yang kita miliki tetapi terletak pada hati kita yang redha dan ikhlas menerima ketentuaan dari tuhan.
Kebahagian akan dapat dirasai apabila kita tahu menghargai apa yang dimiliki dan bersyukur kepada penciptanya.
Selagi kita mengejar kebahagiaan yang bersandarkan harta atau kebendaan, selagi itulah kita akan gagal mencari apa itu bahagia.
Salam Jumaat

Sunday, 5 February 2023

Bahagia Itu Tidak Perlu Ditunggu

 


Pada satu ketika, ada seorang pemuda yang telah lama mengembara. Dia mengembara dari satu daerah ke satu daerah, dari satu negeri ke satu negeri. Tujuan dia berkelana itu tidak lain dan tidak bukan, hanya kerana ingin mencari apa itu bahagia!

Sedang dia beristirehat di bawah sepohon pokok, seorang lelaki tua datang menghampirinya. lalu lelaki itu menegurnya, "Apa yang sedang kamu buat ini wahai anak muda?"

"Saya sedang beristirehat pakcik. Sudah bertahun saya mengembara dari satu daerah ke satu daerah."

"Untuk apa kamu mengembara wahai anak muda?" Tanya pakcik itu selanjutnya.

"Saya ingin mencari bahagia tetapi hingga kini saya masih belum menemuinya." Balas anak muda itu.

"Pakcik ini sudah hidup selama tujuh puluh tahun dan pakcik sudah jumpa apa itu bahagia. Jadi untuk memendekkan tempoh kamu dalam mencari, mahukah kamu ikut kaedah yang pakcik sarankan nanti?" Tanya orang tua itu

Dengan hati yang riang, pemuda itupun bersetuju.

"Baiklah, assigment pertama yang kamu kena buat ialah kamu pergi ke satu taman dan tangkap seekor rama-rama yang paling cantik. Nanti kamu tunjukkan rama-rama itu pada pakcik untuk pakcik nilaikan"

Lalu pemuda itu pun pergi ke taman.
Dia melihat beberapa ekor rama-rama sedang berterbangan dari sepohon bunga ke pohon bunga yang lain. Dia pun mengambil jaring dan mengejar rama-rama itu. Akhirnya dia menangkap seekor darinya.

Bila dia ingin memasukkan le dalam sangkar, dia terlihat seekor rama-rama yang lebih cantik terbang melintasinya. Lalu dia pun melepaskan semula rama-rama yang telah ditangkap tadi dan mengejar rama-rama yang sedang terbang itu pula.

Dalam beberapa minit, dia berjaya menangkap rama-rama kedua tadi dan ingin masukkannya ke dalam sangkar.

Namun sekali lagi dia terlihat seekor rama-rama lain yang lebih cantik dari rama-rama kedua. Lalu dia pun sekali lagi melepaskan rama-rama kedua yang berjaya ditangkap itu dan mengejar rama-rama yang cantik itu pula.

Kebetulan, pakcik tua itu juga pergi ke taman tetsebut kerana sudah lama dia menunggu anak muda itu tetapi belum dibawa rama-rama yang diminta olehnya tadi.

Melihat kelakuan pemuda tadi, pakcik itu pun menegurnya. "Mengapa kamu lepaskan rama-rama yang sudah ditangkap itu?"

"Saya ingin menangkap rama-rama yang paling cantik seperti yang pakcik suruh". Balas pemuda itu

"Anakku, sekarang tahulah saya mengapa kamu tidak menemui kebahagiaan yang kamu cari.
Kamu terlalu memikirkan kesempurnaan."

"Actually, setiap rama-rama yang tuhan cipta itu semuanya cantik . Mereka ada corak dan warna yang tersendiri. Jika kamu ingin mencari yang tercantik, kamu tidak akan temui sampai bila-bila."

Kemudian pakcik itu menyambung semula.

"Begitu juga dengan kebahagiaan. Kebahagiaan juga sama seperti kecantikan di mana ia adalah subjektif. Kamu tidak akan temui bahagia tetapi kamu boleh menikmatinya pada bila-bila masa mengikut cara kamu."

"Kamu ingat bila kamu dapat sesuatu yang diingini, kamu akan rasa bahagia tetapi bila kamu sudah dapat perkara itu, kamu akan melihat di sekeliling kamu dan ketika itu kamu akan dapati ada lagi yang lebih elok dan lebih bagus dari apa yang kamu miliki sekarang. Lalu kamu mula teringin memilikinya pula. Ini menyebabkan kamu rasa tidak bahagia selagi belum mendapatkannya."

Mendengar hal itu si pemuda itu pun terdiam. Kini dia mula faham apa itu bahagia.

.
Moral of the story yang ingin disampaikan dalam kisah ini ialah, bahagia itu tidak perlu dicari, dibeli dan ditunggu. Ia sudah pun berada di sekitar kita. Terpulang bagaimana kita menikmatinya.

Setiap apa yang kita lihat, setiap apa yang kita dengar, apa yang kita rasa perlu kita nikmati seadanya. Itulah yang akan membuatkan kita rasa bahagia. Kita tidak perlu menunggu sehingga semuanya berjalan dengan sempurna barulah ketika kita nak rasa bahagia. Cukuplah dengan mensyukuri apa yang kita ada dan tidak terlalu mengejar kesempurnaan.


Sekian..
Dr. Abam


Thursday, 2 February 2023

Sedekah Jumaat Pembuka rezeki?



Tentu kita pernah terjumpa hantaran atau ‘posting’ yang berbunyi begini di media sosial. Sama ada di Facebook, Instagram atau Tiktok, 'kalau kau nak duit banyak masuk, rajin-rajinlah bersedekah. Terutamanya pada waktu Subuh atau pada hari Jumaat. ‘

Hujah mereka ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang dikatakan diriwayat oleh Al-Bukhari, yang berbunyi, “Tidak ada hari yang mana para hamba itu berpagian padanya melainkan terdapat dua malaikat yang turun, lalu salah satu dari mereka berkata : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang melakukan infaq (sedekah)”. Manakala malaikat yang satu lagi berkata : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (dari sedekah).’’
Menurut mereka yang berpegang dengan hadis ini, setiap kali masuknya waktu subuh akan ada malaikat yang mendoakan agar rezeki kita mengalir dengan lancar jika kita bersedekah. Dan dalam masa yang sama juga ada malaikat yang mendoakan agar kita jatuh miskin, papa kedana kerana tidak mahu bersedekah!
.
Hari Jumaat adalah penghulu hari untuk minggu tersebut. Oleh itu ada yang mengatakan bahawa hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambaNya. Lalu timbul lah ‘school of thought’ yang menyarankan agar kita mengambil peluang pada hari itu dengan perbanyakkan amalan bersedekah.
.
Sikap pemurah dan gemar bersedekah adalah perbuatan yang terpuji. Tidak ada siapa yang boleh menyangkalnya.
Namun begitu jika kita bersedekah (sama ada sedekah Subuh atau sedekah pada hari Jumaat) tetapi dalam masa yang sama, sewaktu menghulurkan sedekah, kita berharap agar diberi balasan berupa kekayaan atau imbuhan duniawi, secara otomataiknya pendirian kita itu adalah salah!
Menurut beberapa ulamak, tidak ada sebarang ayat yang mengkhususkan perbuatan sedekah perlu atau wajib dilakukan pada waktu subuh atau pada hari Jumaat. Malah mengikut ijmak ulamak, kita boleh bersedekah pada bila-bila masa. Tak kira waktu subuh, Zohor, Asar atau Maghrib. Malah selepas waktu Isyak sekali pun kalau terasa nak bersedekah, silakan. Tidak menjadi halangan.

Pintu rahmat dan keampunan tuhan sentiasa terbuka. ‘Tweenty four hours’ !
Tak ada had masa untuk bersedekah tidak seperti tempoh untuk kita mengundi. Waktu untuk membuang undi ialah dari pukul 8.30pagi hingga 5.30 petang. Selepas waktu itu, pusat pembuangan undi akan ditutup. Meroyanlah macam mana sekali pun, kita sudah tak dibenarkan untuk membuang undi. Tunggu la 5 tahun lagi.

Okey.. So, we back to our topic.
Sebagaimana yang pernah Abam tulis dalam posting sebelum-sebbelum ini ( dah lupa tarikhnya, korang boleh scroll dalam Fb Abam), jika kita bersedekah kemudian kita mengharapkan balasan sesuatu dari tuhan, sama ada berupa kekayaan atau pun kesenangan dunia, sedekah kita itu tidak ikhlas.

Ia bertentangan dengan suruhan sebenar mengapa kita digalakkan bersedekah.
.
Kesimpulannya, kalau terasa nak berbagi rezeki, berbagilah pada bila-bila masa bukannya pada waktu atau pada hari tertentu saja. Lagi pun di dalam rezeki kita itu sebenarnya ada rezeki untuk orang lain juga. Jadi, eloklah sebahagian darinya diberi kepada mereka yang layak untuk menerimanya.

Monday, 30 January 2023

Hargai masa sewaktu bersama

 Satu petang di hari minggu.

"Ayah.. Boleh tak teman Isha naik basikal."
"Ayah penat la. Ayah nak rehat sambil baca paper je hari ni."
"Mm.. Okey."

Lalu dia pun masuk bilik, 'On' komputer dan main game online bersama kawan-kawannya.
Abam pun sambung semula membaca surat khabar.


.
Inilah kebanyakan dari kita. Setelah enam hari kita berkerja dan menghabiskan masa di pejabat, jadi pada hari minggu sajalah masa untuk kita manjakan diri atau dalam istilahnya ber 'me time'. Melakukan aktiviti penyembuhan diri atau 'healing'. Abam juga tidak berkecuali.
Pada hari minggu beginilah ada yang ambil kesempatan untuk qada tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari. Seharian tak keluar rumah. Sarapan pagi, makan tengahari dan kalau 'poket tebal', makan malam pun kita main oder je melalui applikasi Food Panda atau Grab.
Bagi kaki pancing pula, pagi-pagi lagi mereka sudah keluar bersama kawan-kawan. Selepas bersarapan lebih kurang di kedai mamak, mereka pun meredah hutan mencari lombong tinggal atau pergi ke kolam-kolam pancing berbayar, semata-mata melayan hobi nan satu itu sambil merehatkan minda.
Begitu juga dengan kaki golf, peminat sukan berbasikal atau sukan-sukan yang lain. Masing-masing memanafaatkan hari minggu dengan aktiviti tersebut bersama rakan-rakan.
Namun kita lupa, dalam masa yang sama ada insan yang sedang berharap agar hak mereka juga dipenuhi.
Setelah seminggu dia dipinggirkan kerana kesebokan kita mencari nafkah, harapan mereka, pada hari minggu begini adalah sedikit masa untuk dia melakukan aktiviti bersama orang tua sambil bercerita perihal sekolah, kawan, cikgu atau pun tentang harga makanan yang dijual di kantin.
Namun disebabkan tuntutan kerja dan diri sendiri, kita tidak punya masa yang banyak untuk bersama dengan sidia. Termasuklah pada hari minggu atau ketika cuti umum. Sehingga ada yang rasa diri mereka semakin terabai.
Ingat kawan.. What goes around comes around. What you give you get back. Ini adalah salah satu dari hukum alam.
Kehidupan kita ini terlalu singkat dan masa mereka juga singkat. Bila mereka semakin membesar tempat kita akan diisi oleh rakan sebaya. Beberapa tahun kemudian dia menjadi dewasa. Ketika itu dia mula ada komitmen sendiri. Mungkin sudah ada kerja dan berkeluarga. Secara beransur-ansur mereka mula menjauh dari kita dan pada masa itu baru kita rasa yang kita pula yang sedang dipinggirkan.
Justeru, berilah sedikit masa pada mereka sementara diri kita ini masih diperlukan. Jangan apabila mereka sudah dewasa baru kita menyesal kerana tidak sempat meluangkan masa berharga bersama mereka. Jangan jadi seperti sesetengah ibu bapa yang walaupun ada, namun diibaratkan seperti tidak ada!
.
Atas rasa bersalah dan supaya Abam tidak menyesal kemudian hari. Lalu...
"Gendut... Jom! Kita ronda kampung dengan basikal".
"Yea.. Okey."
Dia pun berlari ke luar rumah mendapatkan basikalnya.

Saturday, 28 January 2023

Setiap apa yang berlaku itu tidak sia-sia.

Ini ada satu kisah untuk renungan kita bersama..

Pada satu zaman, di negeri Pasir Berdengung ada seorang raja yang bernama Raja Masdo. Baginda memerintah dengan adil. Beginda dibantu oleh barisan menteri yang pandai dan tahu buat kerja. Bukan macam sesetengah menteri kita yang ada sekarang ni. Sembang je kencang tapi hasilnya hampeh! Bak kata bebudak tiktok, hasilnya ke laut...Eh.. Tiber.

Baginda juga mempunyai seorang doktor peribadi merangkap Setpol kepada beliau. Segala urusan atau aktiviti harian baginda disusun dan ditapis oleh setpol ini. Termasuklah soal kesihatan.


Pada satu hari minggu, baginda teringin untuk pergi berburu di dalam hutan. Baginda pun mengajak setpol baginda masuk ke hutan bersama.
Nak dijadikan cerita, sewaktu berehat di bawah sepohon pokok, seekor semut telah menggigit jari kelengking baginda. Keesokan harinya, jari baginda telah bengkak. Lalu baginda pun tunjuk pada doktor peribadi merangkap setpol tadi. Lalu doktor itu pun inject 2cc injection Piriton dan menyapu Hydrocort krim di bahagian tersebut.
Beberapa hari berlalu, nampaknya jari baginda semakin teruk. Nanah telah keluar dari tempat tersebut dan jari baginda mula 'gangrene'. (Ini bukan sebarang semut ni. Ni mesti semut Ketah ni..)
Lalu baginda memanggil sekali lagi doktor peribadi tadi. Memandangkan jari baginda semakin teruk dan tidak dapat diselamatkan, doktor menasihati baginda untuk menjalani proses pemotongan jari. Jika dibiarkan, nanti baginda boleh dapat 'septicemia'.
Lalu baginda pun berkata," Kalau beta potong jari, mesti beta akan cacat. Ini tentu tidak baik untuk imej beta."
"Itu patik tidak boleh komen tuanku. Baik atau buruk tu bukan kita yang tentukan. Mesti ada 'something' yang tuhan nak tunjuk pada tuanku"
"Something? Tak usahlah kamu nak berdalih, disebabkan kesilapan kamu merawat beta, sekarang beta bakal kehilangan jari. Oleh itu kamu juga perlu dihukum. Sekarang, kemas semua pakaian kamu dan dengan perintah beta..GET OUT dari istana ini!"
Dipendekkan cerita, setpol tadi pun kemas barang dan keluar dari istana. Dia berjalan menuju ke kampungnya untuk memulakan hidup baru di sana.
Manakala raja Masdo pula tinggallah di istana dan memerintah seperti biasa. Kali ini baginda tidak ada lagi setpol untuk mengiring baginda.
On 'one fine day', baginda teringin nak berburu semula. Disebabkan tidak ada setpol, lalu baginda pun keluarlah berburu seorang diri.
Disebabkan baginda tak bawa peta, entah macam mana baginda telah tersesat jauh ke dalam hutan dan nasib semakin buruk bila baginda tertanggkap oleh sekumpulan orang primitif. Baginda telah ditawan dan bakal dijadikan korban untuk upacara keagamaan mereka.
Bila tiba harinya, baginda Masdo pun dibawa ke hadapan ketua puak primitif tadi yang sudah siap sedia dengan pisau sembelihan. Sebelum menjalankan upacara, seperti biasa ketua puak primitif tadi akan membuat 'spot check' ke atas mangsa yang bakal dikorbankan.
Tiba-tiba dengan nada yang marah dia berkata kepada pengikutnya," Macam mana korang buat kerja ni? Mangsa yang korang tangkap tak cukup syarat. Jari kelingking dia sudah 'kubung'.. Eh.. Kudung! Dewa kita mana terima korban yang cacat. Sudah.. Lepaskan dia dan pergi cari mangsa lain!"
Mendengar kata-kata ketua puak primitif itu, raja Masdo menarik nafas lega. Tak sangka rupanya, hanya disebabkan baginda telah kehilangan satu jari, nyawa baginda selamat dari menjadi korban pada hari ini.
Lalu berjalanlah baginda di dalam hutan sorang diri berhari-hari lamanya. Sehinggalah baginda terjumpa satu jalan yang pernah dilalui oleh pasukan pembalak haram. Baginda pun ikut jalan itu dan akhirnya sampailah baginda ke sebuah desa.
Sedang baginda merayau tak tahu arah, baginda disapa oleh seseorang dari belakang. Rupanya, orang itu ialah bekas doktor peribadi merangkap setpol baginda dulu. Lalu dia pun membawa baginda Masdo ke rumah dan diberi pakaian dan makanan.
Setelah melihat yang raja Masdo ini sudah hilang penatnya, doktor peribadi tadi pun bertanyakan khabar apa yang telah berlaku. Lalu berceritalah baginda apa telah baginda lalui.
"Terima kasihlah doktor, jika tidak kerana jari beta yang hilang ini, sudah tentu beta menjadi korban sembahan kaum primitif itu". Baginda Masdo mengakhiri kata-katanya.
Lalu doktor itu pun berkata," Seperti yang patik bagitahu dulu, walaupun tuanku hilang jari tapi mungkin ada 'something' yang tuhan nak bagi pada tuanku. Sekarang tuanku telah mengalaminya. Bersyukurlah kepada tuhan yang maha mengetahui."
.
Moral of the story, mungkin sesuatu yang berlaku pada kita hari ini tidak baik buat kita tapi setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Tuhan maha tahu bagaimana untuk mengatur hidup kita.
Jadi, usahlah kita terlalu sedih, 'down' atau marah jika ada perkara yang tidak baik menimpa kita hari ini. Terima semua itu dengan hati yang redha. InsyaAllah satu hari nanti pasti ada 'something' yang baik bakal dituai sebagai ganjarannya. Tuhan itu tidak pernah menzalimi hambaNya.

Wednesday, 25 January 2023

Recharge energi positif ke dalam diri

Pada satu hari seorang murid datang bertemu gurunya. Lalu murid itu pun berkata,
"Wahai guruku, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku ini. Pada masa ini aku rasa tidak tenteram, fikiranku kusut dan tidurku juga tidak senyenyak dulu".
Setelah termenung sekejap, guru itu pun berkata," Jika kamu merasa tidak tenteram, cubalah pergi ke beberapa tempat ini, iaitu tempat di mana orang membaca al-Quran. Kamu boleh mengikut mereka membacanya sekali atau sekadar mendengar saja."
"Kedua, kamu juga boleh menghadiri majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada Allah SWT dan akhir sekali kamu boleh mencari satu tempat yang sunyi dan damai seperti di tepi sungai atau tasik. Duduklah di situ dan perhatikan akan kehebatan ciptaan Allah. Inilah yang paling mudah."

***
Dari kisah itu, boleh dikatakan sekiranya ketika ini kita sedang gelisah, tidak tenang, serabut atau orang panggil sedang 'down', bolehlah cuba tips yang diberikan oleh guru kepada muridnya itu.
Pergi ke tempat yang dimaksudkan sama ada majlis bacaan al-Quran, majlis ilmu atau sekadar ber'me time' di tempat yang damai seperti di tepi sungai atau laut.

Duduk dan hayatilah suasananya.



Ramai memperkatakan yang tempat damai seperti di tepi sungai atau laut ini banyak menyumbang kepada kesihatan manusia. Terutamanya yang berkait rapat dengan emosi.
Kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi juga mendapati persekitaran yang kondusif, tenang, nyaman dan bersih akan melahirkan tingkah laku yang normal. Manakala persekitaran yang ada gangguan pula akan menimbulkan kesan negatif ke atas pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang.
Di dalam al-Quran juga ada beberapa ayat yang menjelaskan tentang persekitaran yang baik penting dapat membantu menstabikan emosi kita.
Misalnya ayat dalam surah Maryam yang bermaksud" “Lalu ia diseru dari arah sebelah bawahnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai”.(Surah Maryam: ayat 24)
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah menciptakan sebatang anak sungai untuk Sayyidatina Maryam ketika beliau hendak melahirkan anaknya bagi menggembirakan hatinya yang sedang dalam kesedihan.
Anak sungai yang dinyatakan dalam ayat tersebut adalah sebagai gambaran bahawa keindahan alam dapat memberi ketenangan kepada Sayyidatina Maryam.
Di sini jelas menunjukkan bahawa jika kita sering berkunjung dan menikmati keindahan alam seperti pemandangan di tepi laut atau sungai, bunga bungaan di taman, burung-burung dan unggas di hutan akan memberi ketenangan dan mampu menghilangkan tekanan dalam diri kita.
Tempat yang mempunyai unsur positif ini juga akan membantu kita menjana kecerdasan spiritual dan emosi. Seterusnya membantu kita menjadi individu yang lebih produktif.
Justeru, jika anda merasa 'down', 'dismotivated', tidak tenang,serabut ataupun gelisah, cubalah 'recharge' emosi anda dengan mengunjungi tempat-tempat yang disebutkan tadi.
Selamat beramal.

Sunday, 22 January 2023

Tidak Semua orang akan jadi kawan kita.





Orang kata, dalam hidup ini kita kena ada kawan. Tanpa kawan kita boleh diumpamakan seperti 'kera sumbang'. Kera sumbang ni sikapnya ialah tidak tahu berkawan dan suka menyendiri serta pentingkan diri.

Tapi tidak semua orang kita boleh jadikan mereka sebagai kawan. Kita kena terima hakikat bahawa tidak semua orang yang kita temui itu ikhlas berkawan dengan kita.

Kiraanya mudah. Dalam sepuluh orang yang kita jumpa, lima orang daripadanya tidak 'ngam' dengan kita. Jadi mereka tidak termasuk dalam senarai kawan kita.
Dalam lima orang tadi, tiga orang pula berkawan dengan kita atas sebab-sebab tertentu. Sampai satu ketika, mereka akan 'betrial', atau lebih kejam lagi menikam kita dari belakang.
Yang berbaki dua orang itulah mungkin yang benar-benar akan menjadi sahabat kita. Tempat kita mencurahkan masalah dan berkongsi rasa.

Kita akan tahu siapa kawan yang sebenar bila kita ditimpa kesusahan.

Ketika itu baru kita tahu siapa yang sekadar kawan dan layak dipanggil sahabat. Ketika inilah ramai orang yang kita kenal akan cuba menjauhkan diri dari kita. Malah, bukan saja kawan, silap haribulan adik beradik pun sama. Hilang entah ke mana.

Justeru, tak perlu la kita nak berbangga memiliki ramai kawan sekarang ini.Tunggu ketika kita sedang berduka atau dalam kesusahan. Ketika itu cuba hitung berapa kerat kawan yang masih ada bersama kita?
Sebab itu ada orang kata, lebih baik kita punya seorang dua saja kawan tempat kita berkongsi masalah berbanding punya ramai kenalan tapi akan menjauhkan diri apabila kita ditimpa musibah.

Jadi, tak usah takut atau panik jika hari ini kita tiba-tiba kehilangan ramai kawan.

Deepavali 2024

Setiap tahun mesti datang beraya rumah Aci ni sebab dulu Aci ni berjiran dengan mak mertua saya masa mereka sama-sama tinggal du kuarters JK...