Wednesday, 8 June 2016

SWOT Analisis



Entri 36

Teks: Usry Abdullah

Foto: Google image



Bertemu kembali dalam perbincangan berkenaan strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan

Setelah kita  membincangkan tentang kepentingan membuat pemantauan atau membuat analisispersekitaran, kini kita akan membincangkan satu lagi aktiviti  yang juga penting kepada mereka yang berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri. Iaitu membuat SWOT analisis.

Setelah anda membuat analsis persekitaran untuk melihat  tahap persaingan di dalam pasaran yang bakal anda sertai nanti dan membuat keputusan sama ada ianya selamat atau tidak untuk anda  meneruskan niat membuka perniagaan yang diingini, aktiviti seterusnya ialah membuat analisis tentang kekuatan dan kelemahan pernaigaan untuk anda mengetahui sejauh mana daya saing perniagaan anda di pasaran nanti. 

Analisis ini dinamakan SWOT analisis. Dengan membuat aktiviti SWOT analisis ini anda  akan mendapat maklumat tentang apa kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman untuk membantu anda membuat keputusan sama ada perniagaan yang bakal anda buka nanti mampu bersaing atau tidak. Ia juga membantu anda untuk memilih jenis  strategi yang bakal dilaksanakan serta macam mana pelan perniagaan anda nanti. 

Aktiviti membuat SWOT analisis ini juga penting kepada anda yang sedang menjalankan perniagaan kerana dunia perniagaan ini adalah merupakan dunia tanpa sempadan. Sesiapa saja yang berhajat untuk membuka perniagaan sendiri boleh berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai modal dan sumber cukup.  

Malah tidak ada sebarang sekatan di sisi undang-undang untuk mereka berbuat demikian asalkan perniagaan, produk atau pun perkhidmatan yang dijual juga tidak melanggar undang-undang atau memudaratkan pengguna. Mereka juga bebas untuk membuka seberapa banyak perniagaan yang mereka mahu dan di lokasi mana yang mereka suka. 
Dengan kata lain, walaupun sudah bertahun-tahun  anda melihat ada seorang makcik  membuka gerai menjual nasi lemak di hadapan sekolah tempat anak anda belajar. Setiap hari anda dapati pelanggan makcik tadi bertambah dan anda juga perasan bahawa di kawasan itu  hanya makcik itu seorang saja yang menjalankan perniagaan menjual nasi lemak.   

Oleh itu, jika pada satu hari anda pergi menemui beliau dan menyatakan hasrat yang anda berhasrat untuk membuka gerai menjual nasi lemak  tidak jauh dari gerai makcik tersebutmakcik itu perlu akur dan tidak boleh memarahi anda. Beliau juga tidak boleh menghalau anda  supaya pergi berniaga di tempat lain kerana dikhuatiri anda bakal  merampas pelanggannya.  

Malah makcik itu juga tidak boleh mengadu kepada mana-mana agensi kerajaan untuk menyekat atau menghalang anda dari membuka perniagaan menjual nasi lemak di lokasi yang sama tempat beliau berniaga. Sebagaimana beliau, anda juga mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang untuk menjalankan perniagaan di situ.  Mahu atau tidak, makcik tadi  perlu menerima kehadiran anda untuk turut sama berniaga mencari rezeki di lokasi tersebut. 

Cuma yang akan membezakan di antara perniagaan anda dengan perniagaan nasi lemak makcik tadi ialah apa kelebihan nasi lemak yang anda jual dan apa strategi perniagaan yang anda praktiskan. Anda dan makcik tadi sama-sama bersaing dengan kekuatan  tersendiri dan jika anda tidak mampu untuk menyediakan nasi lemak yang lebih sedap berbanding nasi lemak yang dijual oleh makcik tadi, anda akan gagal untuk menarik pelanggan mengunjungi gerai anda. Kesannya, perniagaan anda bakal mengalami kerugian dan jika keadaan ini berterusan, dalam jangka masa tertentu mungkin anda terpaksa menutup perniagaan anda tadi

Untuk turut sama berniaga dan bersaing dengan makcik tadi di kawasan tersebut, anda perlu kepada satu strategi dan pelan perniagaan yang sesuai supaya pelanggan sedar akan kehadiran anda dan  mereka sudi untuk mengunjungi dan membeli nasi lemak dari gerai anda. 

Di sinilah  perlunya anda mengkaji apa kekuatan yang anda ada sebelum membuat keputusan untuk turut sama berniaga di lokasi makcik tadi berniaga. Sebagaimana yang diungkapkan oleh General Sun tzu,

’ Peperangan akan menentukan nasib sesebuah negara itu sama ada negara itu menjadi sebuah negara yang gemilang ataupun bakal mengalami kehancuran dan kemusnahan yang teruk

Peluang  kedua- dua pihak untuk mencapai kemenangan adalah bergantung kepada kekuatan dan kelemahan  tentera masing-masing. Oleh itu, sebelum menggerakkan tentera ke medan pertempuran, adalah menjadi tanggungjawab general yang memimpin untuk  'duduk' dan membuat perbandingan terlebih dahulu akan kekuatan tentera beliau berbanding kekuatan tentera musuh

Mana-mana general yang mendapat skor yang tinggi semasa proses membuat perbandingan ini, pasukan itulah yang akan mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi pertempuran nanti'.
 

Berdasarkan kata-kata Sun tzu ini, dapat disimpulkan bahawa untuk memenangi sesebuah peperangan, general yang mempimpin pasukan tersebut perlu mengenali akan kekuatan tentera beliau dan mencari apa kelemahan pihak musuh supaya senang untuk  mengarahkan tentera beliau membuat serangan.  

Begitu juga dengan menjalankan perniagaan. Sebelum anda meneruskan niat untuk menjalankan perniagaan menjual nasi lemak di lokasi atau di kawasan yang sama dengan makcik tadi, anda perlu tahu   apa kekuatan dan  kelemahan anda terlebih dahulu serta apa peluang dan ancaman yang terdapat dalam pasaran atau lokasi yang bakal anda beroperasi nanti. 

Kekuatan ialah 'apa yang anda boleh lakukan atau 'perform'dengan baik' berbanding makcik tadi. Adakah sambal anda memang sedap berbanding makcik tadi. Adakah resipi nasi lemak anda memang berlainan dari peniaga lain yang berhampiran dengan lokasi anda beroperasi. Jika jawapannya adalah 'Ya'. Maka inilah kekuatan yang anda ada dan anda boleh meneruskan perancangan untuk menjual nasi lemak di lokasi yang dirancang. 

Namun jika anda dapati resipi nasi lemak anda hanyalah resipi biasa-biasa saja, maka itu dikira sebagai  kelemahan  anda. maksud kelemahan ialah 'sesuatu yang anda tidak boleh buat atau 'perform' dengan baik'.  

Dalam senario tadi katakan anda cuma tahu mebuat resipi nasi lemak yang biasa-biasa saja berbanding makcik yang telah lama beroperasi di situ. Sambal nasi lemak yang anda masak juga rasanya adalah biasa-biasa atau hanpir sama dengan rasa sambal yang dimasak oleh peniaga lain.  

Oleh itu jika anda ingin juga meneruskan niat membuka gerai menjual nasi lemak bersebelahan dengan gerai makcik tadi, anda perlu terlebih dahulu memperbaiki kelemahan ini dengan belajar memasak  nasi lemak yang lebih sedap atau resipi sambal yang berlainan berbanding makcik tadi. 
 
Sebagaimana proses membuat analisis persekitaran perniagaan yang kita bincangkan dalam entri-entri sebelum ini, proses membuat analisis SWOT  juga memerlukan anda membuat 'audit' ke atas faktor-faktor tertentu yang terdapat di dalam dan di luar organisasi untuk anda mencari apa kelebihan dan kekurangan yang ada serta apa peluang atau ancaman yang bakal mengganggu perniagaan anda nanti. 

Proses ini juga adalah rumit. Sebarang kesilapan dalam membuat analisis SWOT ini akan menyebabkan perniagaan anda tidak mampu untuk bersaing. Malah jika anda tersalah membuat analsis, ia boleh menyebabkan anda tersilap dalam membuat pelan perniagaan dan mengamalkan strategi perniagaan yang salah.  

Sekian untuk kali ini, Jumpa lagi dalam perbincangan seterusnya di entri yang akan datang. Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh muslimin yang melayari blog ini. 

6 comments:

usryabdullah said...

InsyaAllah. jadi.Tunggu buku saya siap.

Azirahman said...

info menarik..tq

usryabdullah said...

Terima kasih. Blog saya ini diujudkan untuk membantu mereka yang berminat untuk membuka perniagaan sendiri. Blog ini adalah sebagai sumbangan ikhlas dan perkongsian ilmu. Namun apa yang ditulis dalam blog ini tidak lengkap seperti buku uang saya terbitkan. Dan buku yang saya terbitkan juga mungkin tidak mudah untuk difahami tanpa bantuan blog ini.
Untuk mereka yang telah membeli buku saya, diharap dapat rujuk blog ini untuk penambahan ilmu.

Jejari Menaip said...

thanks for sharing.. minat juga berniaga.. :D

usryabdullah said...

Terima kasih. 9/10 daripada rezeki adalah melalui perniagaan. Tak perlu buat secara besar-besaran. Buat secara kecil-kecilan untuk 'test' market.

Jika inginkan maklumat asas, tuan boleh baca perkongsian dalam blog ini start dari entri 'Peniaga kecil sehingga ke SWOT analisis' untuk mendapat 'feel'.
Namun info yang terdapat dalam blog ni hanya membincangkan secara luaran saja bukan secara mendalam dan ia bertindak sebagai isi tambahan / penerangan dari point-point yang dibincangkan dalam buku saya.

Tujuan saya membangunkan blog ini ialah supaya mereka yang membeli buku saya memdapat pemahaman yang secukupnya berkenaan topik yang dibincangkan dalam buku tersebut.
Di samping itu Saya juga mahu mereka betul-betul mahir dan dapat menggunakan apa yang dipelajari itu untuk dipraktiskan dalam perniagaan mereka. Ini adalah kerana tidak ada orang yang dapat membantu mereka melainkan diri mereka sendiri. saya hanya mampu memberi ilmu berdasarkan pengalaman dan pembelajaran. Selebihnya adalah bergantung kepada tindakan individu tersebut.

Wassalam.

Akupenghibur.com said...

penerangan yg bagus.. swot memang penting

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...