Monday, 8 August 2016

Perniagaan kecil yang menjana pulangan besar (1)

Entri: 40
Teks: Usry Abdullah
Foto: Usry Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog 'Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan'. Perkongsian kali ini adalah mengenai perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan tetapi mampu menjana pulangan yang besar. 

Saya  tertarik dengan model perniagaan sebegini  bukan sahaja kerana ia adalah sebuah perniagaan yang ringkas tetapi dalam masa yang sama ia mampu menjana hasil yang lebih berbaloi berbanding  perniagaan yang diusahakan secara secara besar-besaran. Lantaran keunikan ini  saya menjuruskan kajian thesis saya dalam kategori peniaga kecil ini. Di samping mengkaji keunikan  dan strategi yang mereka praktiskan, Saya juga ingin membuka minda golongan bumiputera supaya mengubah persepsi mereka  terhadap perniagaan ini.

Jika kita perhatikan,  ramai golongan peniaga kecil yang mampu hidup mewah. Malah ada yang berjaya menjadi jutawan senyap. Sepanjang 13 tahun pengalaman saya  bergaul dengan masyarakat Cina juga mendapati majoriti dari kalangan mereka suka menjalankan perniagaan kecil-kecilan berbanding makan gaji. 

Mereka tahu bahawa di sebalik perniagaan kecil yang diusahakan itu mereka berpeluang menjana pendapatan  sehingga 20 hingga 30 kali ganda  walaupun terpaksa menunggu masa yang agak lama sedikit. Lantaran itulah kita lihat ramai di kalangan kaum Cina ini  hidup mereka lebih senang dan  mampu memandu kereta berjenama  selepas 2-3 tahun menjalankan perniagaan. Sedangkan kaum bumiputra yang bekerja dengan majikan  masih lagi berada di takuk yang sama. Ada yang  masih memandu kancil 660 yang dibeli tahun 2005 dahulu tak bertukar-tukar, kerana tidak mampu untuk membayar 'instalment' bulanan sedangkan rakan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri sebagai penjual jagung rebus di tepi jalan  memandu Toyota Camry setiap kali balik kampung menjenguk keluarga.

Untuk entri kali ini saya ingin  berkongsi  satu perniagaan kecil yang mampu menjana pendapatan sehingga 30 kali ganda dari modal yang anda laburkan. Perniagaan ini   juga mudah dan ringkas. Apa yang  penting ialah  anda perlu mempunyai kemahiran untuk memproses dan produk anda itu mesti menepati cita rasa pelanggan.  

Perniagaan ini boleh dijalankan di tempat-tempat strategik seperti di hadapan stesyen bas, taman permainan, depan pusat beli belah, pasar malam,  pasar minggu atau pun  pasar tani. Malah perniagaan ini juga boleh dijalankan di hadapan taman perumahan tempat anda tinggal. sama ada secara sepenuh masa atau secara samilan. Perniagaan yang dimaksudkan ialah  perniagaan menjual air kacang soya dan taufu fah.

Saya sempat berkenalan dengan seorang peniaga yang telah lama menceburkan diri dalam perniagaan menjual air kacang soya dan taufu fah  ini. Beliau telah menjalankan perniagaan ini semenjak 15 tahun yang lalu.  

Dari pemerhatian dan temubual dengan beliau, hanya dengan menjual  dua jenis produk ini saja  beliau  mampu memiliki sebuah rumah teres dan dua  buah kereta di samping menangggung yuran pengajian anaknya yang belajar di sebuah universiti tempatan.  Apa yang menariknya ialah beliau hanya membuka  perniagaan menjual air soya dan taufu fah ini sekitar jam 11pagi dan berakhir sekitar pukul 5 petang setiap hari.  Iaitu selama 6 jam sahaja dalam sehari, namun pendapatan yang diperolehi adalah di antara RM300 hingga RM350 sehari, mengalahkan pendapatan seorang 'junior eksekutif'  yang bekerja di sebuah pejabat swasta yang memerlukan beliau  masuk pejabat tepat jam 9 pagi dan keluar pejabat pada pukul 6 petang.

Menurut beliau, perniagaan menjual air soya dan taufu fah ini sebernya tidak memerlukan modal yang besar kerana kos untuk menghasilkan 10 liter air soya  hanya memerlukan 1 kilogram kacang soya (yang terpilih)  dan  2 kilogram gula serta sepeket  kiub ais. Namun apabila siap diproses, 10 liter air soya  ini akan menghasilkan pendapatan  sebanyak RM150 sehari sedangkan kos keseluruhan termasuk menggaji seorang pembantu  adalah sekitar RM70 sehari.

Manakala untuk sekilo soya yang sama dan kemudiannya  diproses menjadi taufu fah pula akan menghasilkan  sekitar 100 mangkuk taufu fah dan  boleh  menjana  pulangan sebanyak RM180 sehari.

Hanya bermodalkan tak sampai RM100 sehari, peniaga air kacang soya dan taufu fah ini mampu menjana pendapatan sehingga 3 kali ganda sehari.

Namun begitu sebagaimana yang sering ditekankan dalam setiap tulisan saya,  sebelum seseorang usahawan itu boleh menjalankan perniagaan ini, perkara utama yang perlu ditekankan ialah aktiviti membuat persediaan atau perancangan terlebih dahulu.  Jika perancangan dilakukan dengan baik, peluang untuk memperolehi kejayaan adalah besar dan begitu sebaliknya.

Di samping itu, sebelum memulakan perniagaan menjual air soya ini juga bakal usahawan dinasihatkan supaya menghadirkan diri ke kursus memproses air kacang soya dan taufu fah yang dianjurkan. Sama ada oleh agensi kerajaan seperti Mardi ataupun oleh pihak swasta. Ini adalah untuk mendapat ilmu yang sepenuhnya bagaimana cara memproses kacang soya untuk  dijadikan air soya dan taufu fah mengikut piawaian dan mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

Sekian untuk kali ini.





4 comments:

raihanah said...

banyak tu kalau 3x ganda daripada modal untuk sehari. kalau berniaga 20hari dapat rm4000 untung bersih

usryabdullah said...

Malah lebih dari RM4000 sebulan jika puan menjual air soya dan taufu fah serentak. Kisah ini saya 'extract' dari thesis PhD yang saya sedang buat sekarang (sambil buat survey berkenaan perkara lain, saya sembang-sembang dengan owner pasal perkara sebegini). Mana tahu jika ada belia atau beliawanis yang masih tercari-cari peluang bisnes. Boleh mereka fikirkan.

Untuk lebih kepastian, puan juga boleh cuba mendaftar dan sertai kelas/ kursus membuat air soya dan taufu fah yang dianjurkan oleh Mardi atau syarikat swasta. Di sana puan boleh sembang-sembang dengan peserta dan puan akan dapat jawapannya.

Apa-apa pun, sebelem membuka apa-apa perniagaan, puan perlu bersedia dan membuat perancangan. Insya Allah kejayaan milik puan.

Akupenghibur.com said...

3 kali ganda.. memang menguntungkan.. terima kasih atas artikel yang baik sekali

usryabdullah said...

Terima kasih atas komen. Jika berminat, tuan boleh mendaftar untuk mengikuti kursus keusahawanan bagaimana memproses air soya dan taufu fah (sama ada dengan pihak Mardi atau syarikat swasta yang menganjurkan). Pelajarinya dengan mereka yang berpengalaman supaya tuan mahir akan selok belok perniagaan ini sebelum membukanya.

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...