Wednesday, 8 March 2017

Laporan kewangan dan prestasi perniagaan

Entri: 49



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan.

Sedar tak sedar kita sudah melangkah ke bulan Mac, bulan ketiga dalam tahun 2017. Kebiasaannya, pada hujung   bulan ini, kebanyakan syarikat akan mula mengeluarkan penyata pendapatan syarikat mereka bagi suku pertama tahun 2017. Kepada klien dan followers, diharap anda juga dapat menyediakan laporan kewangan untuk tempoh tiga bulan kebelakangan ini. 

Mengapa aktiviti menyediakan laporan kewangan ini penting buat anda?


Ini adalah kerana laporan kewangan dapat mambantu anda membuat penilaian sama ada apa yang anda perolehi sepanjang menjalankan perniagaan semenjak dua bulan lalu mencapai target  yang ditetapkan atau pun tidak. Sekiranya apa yang diperolehi itu menepati sasaran, bolehlah anda tersenyum dan mengekalkan  momentum ini  untuk suku tahun berikutnya. Tetapi sekiranya apa yang diperolehi itu tidak tercapai sebagaimana yang diharapkan, bersedialah untuk anda membuat rombakan  strategi dan taktik. Gantilah dengan strategi dan  taktik baru.


Mengapa anda perlu membuat laporan kewangan setiap tiga atau empat bulan sekali? Tak bolehkah anda  tunggu  sehingga hujung tahun 2017 baru anda membuat laporan kewangan sedangkan perniagaan anda bukanlah perniagaan bertaraf korporat. Perniagaan anda hanya perniagaan kecil yang diusahakan secara sambilan di rumah.

Jawapannya adalah boleh. 

Anda boleh saja menunggu sehingga hujung tahun  baru anda mengira berapa jumlah untung rugi yang anda perolehi  sepanjang anda berniaga. Tapi  tindakan ini  adalah menyalahi prinsip pengurusan dan strategi.

Untuk memudahkan anda memahami betapa pentingnya  laporan kewangan itu kepada perniagaan anda, mari kita lihat contoh di bawah.

Sewaktu anda menuntut di universiti dahulu, anda pasti akan menghadapi  peperiksaan, sama ada  peperiksaan pertengahan semester ataupun peperiksaan akhir semester.  Tujuan peperiksaan ini dijalankan ialah supaya pihak universiti dapat menilai setakat mana penguasaan anda dalam mata pelajaran yang diambil pada semester tersebut.

Indikator yang biasa dilihat oleh pihak universiti ialah markah atau gred yang anda perolehi.   Sekiranya anda mendapat banyak gred 'C' atau 'D', anda mungkin akan dipanggil menemui pensyarah.  Beliau seterusnya  akan  menasihati anda supaya berusaha lebih tekun lagi  supaya anda lulus dalam peperiksaan akhir semester nanti. 

Di sinilah pentingnya peperiksaan pertengahan semester bagi seorang penuntut universiti. Tanpa peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir semester, pensyarah yang mengajar anda tidak dapat menilai sejauh mana penguasaan anda mata pelajaran yang diambil.  Sekiranya anda mendapat markah yang rendah, anda berpeluang untuk memperbaiknya nanti  sewaktu anda menduduki peperiksaan akhir semester.


Begitu juga ketika anda menjalankan perniagaan. Untuk menilai sama ada perniagaan anda maju atau sebaliknya ialah dengan melihat kepada laporan kewangan yang anda sediakan setiap tiga bulan sekali. Sekiranya laporan kewangan menunjukkan adanya peningkatan dalam jualan atau keuntungan yang diperolehi, ini menandakan bahawa strategi atau taktik yang anda laksanakan selama ini adalah berkesan. Begitu juga sebaliknya.


Jadi, jika anda rasa yang anda belum lagi mencapai target jualan yang anda tetapkan untuk suku pertama tahun 2017 ini, anda masih ada  masa 3 minggu lagi dari sekarang untuk meneruskan usaha anda  itu sebelum akaun suku pertama ditutup.

Apabila  tiba tarikh 31 Mac 2017, buatlah satu kunci kira-kira ringkas atau penyata kewangan dan lihatlah berapa hasil jualan atau  keuntungan yang anda perolehi.  Jika penyata kewangan itu menunjukkan adanya pertambahan dalam jualan dan keuntungan, teruskan dengan strategi dan taktik yang sedang anda praktiskan sekarang ini. Namun,  jika angka yang ditunjukkan dalam kunci kira-kira  itu tidak seperti yang diharapkan, sila duduk, renung dan periksa kembali di mana silapnya. Cuba rangka  satu startegi baru  yang mungkin boleh membantu. 

Sekian untuk entri kali ini.

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...