Saturday, 28 March 2020

Bantu Kerajaan Menyelesaikan Masalah Ekonomi dengan Mengunci diri di rumah



Semalam abam ada tulis berkenaan kesan negatif  akibat penyakit COVID 19.

Sebenarnya, bukan negara kita saja yang terkesan akibat penyebaran wabak ini, malah seluruh dunia juga merasa kesannya.
Penyebaran penyakit ini telah menyebabkan pasaran kewangan dunia menjadi 'out of control' walaupun beberapa langkah rangsangan kecemasan telah dilaksanakan oleh berpuluh-puluh bank pusat di seluruh Eropah, Amerika, Asia dan Australia.
Pasaran saham dunia dalam keadaan 'chaos'. Begitu juga dengan harga bon dan komoditi, yang menggambarkan jangkaan kerosakan ekonomi yang teruk bakal dirasai akibat wabak ini. Lebih tiga daripada empat ahli ekonomi berkata, perkembangan ekonomi global sekarang telah berakhir dan dunia sedang menuju ke arah kemelesetan.
Di negara kita, kerajaan Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah perlu untuk mengawal penyebaran penyakit ini agar ia tidak memberi impak negatif kepada ekonomi negara. Salahg satunya ialah dengan mengarahkan perintah kawalan pergerakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini (MCO). Dan untuk mengurangkan impak atau kesan MCO ini kepada rakyat, terutamanya kesan yang berkaitan kos sara hidup, PERIHATIN Covid-19 telah diumumkan.
Namun, sebagaimana yang kita maklum bantuan ini hanyalah bersifat sementara saja. Ianya secara 'one off' atau sekali bayar. Mungkin untuk bulan April dan Mei 2020 nanti, Makcik Kiah dan keluarganya bolehlah bernafas lega sebab ada sumber kewangan.  Dapatlah mereka beli bahan mentah untuk kelangsungan hidup. Tetapi apa jadi jika bulan Jun atau Julai masalah ini ( Covid 19) masih belum selesai dan kerajaan terpaksa melanjutkan lagi tempoh MCO?
Ketika itu Makcik Kiah dan keluarganya akan mengalami 'depression' kerana wang bantuan telahpun habis dibelanja  dan mereka hanya bergantung kepada pencen suami untuk menampung perbelanjaan seharian. 
Dalam masa yang sama ekonomi negara akan menjadi semakin sukar kerana aktiviti ekonomi tidak lagi berjalan dengan sempurna. Kalau ikut istilah ekonomi, ekonomi negara  pada ketika itu beroperasi dalam keadaan 'tidak guna tenaga penuh'. Kilang dan perusahaan mungkin akan beroperasi secara terhad malah ada yang masih 'lock down'. Silap-silap ada yang tutup terus operasi mereka. Ini akan menyumbang kepada pengangguran. Begitu juga dengan pendapatan kerajaan. Situasi ini akan menjejaskan pendapatan kerajaan kerana kutipan cukai akan merosot.
Oleh itu, Pakej PERIHATIN COVID19 mungkin tak dapat dilancarkan lagi untuk kali kedua bagi membantu kita walaupun ketika itu semakin ramai rakyat yang menghadapi masalah kewangan. Malah silap hari bulan kerajaan pula terpaksa meminta bantuan dari rakyat dengan memperkenalkan dasar baru, seperti mengembalikan semula GST atau menaikkan harga petrol untuk mengisi perbendaharaan negara. Ketika itu bukan saja Makcik Kiah yang akan susah, Kak Timah, Mek Jarah, Abang Dollah dan Pakcu Harun pun akan turut terkesan sama.
Jadi bagaimana  kita dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi ini?
Jawapannya ialah dengan mengunci diri di rumah. Lindungi diri dan ahli keluarga kita daripada "musuh yang tidak kelihatan" ini.

Walaupun aktiviti mengunci diri di rumah ini sukar kerana ia menghalang kebebasan harian kita tetapi ia memberi sumbangan besar kepada negara. Kita dapat mengelakkan tempoh MCO ini berpanjangan kerana semakin lama tempoh MCO ini dikuatkuasa, semakin sukar bagi kerajaan untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara. 

No comments:

Antara Bawang dan Membawang

Istilah ‘Mak cik Bawang’ menjadi trending empat, lima tahun lepas dan ia semakin ‘ advance ’ dari masa ke semasa, seiring dengan kemajuan ...