Sunday, 2 April 2017

Tiga Langkah mudah untuk menambah pendapatan keluarga



Bertemu kembali kita dalam blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan.

Hari ini hari kedua dalam bulan April 2017 dan apa yang menarik perhatian saya ialah berkenaan tajuk berita dalam akhbar The Star yang  melaporkan bahawa harga beberapa bahan keperluan asas seperti ayam dan sayuran hijau bakal  naik  lagi. Berita ini pasti  memberi lagi tekanan kepada pengguna yang sudah sedia tertekan.  


Bagi mereka yang bergaji besar atau mempunyai pasangan hidup yang juga bekerja, kesan kenaikan ini mungkin tidak  terasa sangat , tetapi bagaimana jika sebuah keluarga itu tidak mempunyai  pasangan yang bekerja? Maksudnya bagaimana jika sesebuah keluarga itu hanya si suami saja yang bekerja, sedangkan isteri hanya sebagai suri rumah sepenuh masa. 


Tentu ramai yang mula terfikir untuk berjimat tapi tidakkah anda terfikir macam mana lagi untuk  berjimat? 

Sebelum-sebelum ini pun kita dah berjimat. Contohnya, sejak tahun lepas lagi suami dah bawa bekal setiap hari ke tempat kerja, anak-anak yang  ke sekolah pun sama. Mereka akan bersarapan dulu di rumah sebelum ke sekolah dan turut juga membawa bekal untuk menjimatkan duit belanja. 
Aktiviti makan di luar pun sudah dihadkan. Jika dulu setiap minggu si suami akan membawa anak isteri makan diluar untuk menukar selera, tapi kini aktiviti makan di luar hanya sebulan sekali saja, iaitu ketika suami baru mendapat gaji. Hari-hari lain, isteri terpaksa masak saja di rumah walaupun sudah penat bekerja di pejabat.  Bercucuk tanam? Pun sudah dilakukan sejak beberapa tahun dulu untuk menjimatkan belanja dapur. Mereka yang tinggal di taman perumahan pasti mempunyai kebun mini di tepi  dan depan rumah. Malah ada yang membuat kebun mini di tepi rezab jalan raya di hadapan rumah masing-masing. Bagi mereka yang tinggal di rumah Flat atau apartment, ruang di koridor belakang sudah  penuh disusun dengan pasu dan bekas untuk tujuan menanam sayur.   


Hanya satu lagi langkah yang mungkin boleh dilakukan oleh anda bagi menghadapi kesan kenaikan kos ini, iaitu dengan menambah pendapatan. 
Tip  yang diberikan di bawah ini merupakan idea untuk mereka  yang sedang berfikir mahu buat apa bagi menambah pendapatan. 


1    Berniaga.

Banyak perniagaan kecil-kecilan yang boleh dilakukan dari rumah.  Pilihah perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar seperti  menjadi agen atau ahli  kepada syarikat jualan langsung (MLM)  atau anda boleh  menjadi dropship kepada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan produk.  Pilihlah syarikat yang dipercayai dan produknya senang untuk dijual.



Anda juga boleh mengeluarkan produk sendiri sekiranya anda seorang yang kreatif. Mungkin dengan menghasilkan barangan kraftangan atau pakaian boleh dijadikan sebagai  tapak untuk anda bermula. Yang penting ialah produk anda itu menepati cita rasa dan mempunyai kelainan dari produk yang sedia ada di pasaran.  

Rajin-rajinlah membaca majalah atau melayari laman web tertentu untuk melihat produk yang sudah ada dalam pasaran, dan fikir serta cari apa produk yang masih belum ‘meletup’.  Lakukan sedikit innovasi ke atas produk yang anda rasakan menarik  dan mulalah menjual kepada kenalan atau jiran terdekat.



2.    Menawarkan perkhidmatan .

Tidak dinafikan bahawa setiap orang mempunyai kelebihan tersediri.  Ada yang mempunyai ‘sentuhan penyembuh’ dan ada orang yang mempunyai kemahiran bertukang.  Bagi mereka ini, gunakan kebolehan yang dikurnaiakn itu untuk menambah pendapatan. 

Kepada anda yang berkebolehan mengurut  misalnya, jangan segan untuk menawarkan perkhidmatan urutan selepas bersalin atau penjagaan untuk orang bersalin yang sesuai degan kemahiran anda.  Anda tidak perlu membuat pendaftaran dengan SSM atau menyewa sebuah rumah kedai untuk perkhidmatan  ini. Cukuplah hanya lakukan di rumah atau pergi ke rumah pelanggan jika perkhidmatan anda diperlukan.  

Manakala bagi anda yang suka kepada kanak-kanak, perkhidmatan penjagaan anak atau ‘day care’ secara sambilan juga boleh difikirkan. Janganlah segan untuk menawarkan perkhidmatan anda kepada jiran atau saudara mara terdekat.



3    Menjadi penulis

Langkah yang paling mudah tetapi memakan masa serta memerlukan kesabaran ialah dengan menjadi penulis blog. 

Berblog seakan menjadi satu trend di kalangan masyarakat hari ini sebagai sumber pendapatan sampingan.  Mungkin ramai di kalangan anda yang malu untuk menulis. Saya sendiri pun sama. Sebelum memulakan langkah menjadi penulis blog, saya amat malu. Malu untuk memberitahu  rakan-rakan dan sahabat yang saya ada blog sendiri. Tetapi selepas saya ‘stalker’ blog beberapa blogger lain, saya mendapat semangat untuk berblog. Bermula dari situlah saya menulis dan membina followers.


Tulislah apa-apa saja artikel yang berkaitan dengan kemahiran atau bidang yang anda minati. Jika info yang anda berikan itu  menarik, ramai pembaca di luar sana yang akan mengunjungi dan membaca blog anda setiap hari. Apabila sudah ramai pengunjung yang mengunjugi blog anda, di sinilah anda boleh menukarkan mereka menjadi pelanggan anda. 

Peluang inilah yang selalu digunakan oleh kebanyakan blogger. Mereka mengambil peluang ini untuk menjual produk tertentu kepada pengunjung (followers) yang membaca posting di blog mereka. Anda boleh menjual ada produk sendiri ataupun produk syarikat lain di blog anda. 

Jika nama anda sudah dikenali ramai, pasti ada syarikat atau orang perseorangan yang akan menghubungi anda untuk menumpang memasang iklan produk atau perkhidmatan mereka di blog anda. Di sini juga anda boleh mendapat sumber kewangan. Untuk makluman, ramai blogger profesional dan amatur yang menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan hasil berblog. Jadi mengapa tidak anda!


Terdapat banyak lagi langkah lain yang boleh diambil oleh anda sebagai suri rumah untuk membantu menambahkan pendapatan keluarga bagi menghadapi kenaikan kos hidup. Apa yang pentig ialah, berani mencuba bukannya dengan hanya merungut. Kita kena proaktif bukannya reaktif kerana mengikut Miles and Snow (1978), syarikat yang mengamalkan strategi proaktif lebih cemerlang berbanding syarikat yang menamalkan strategi reaktif. Oleh itu, anda juga perlu proaktif untuk menambah pendapatan sebelum kesan kenaikan kos ini menghimpit kehidupan anda.

Sekian untuk kali ini

Friday, 31 March 2017

Destructive technologi, Perlu ikut atau tidak?



Salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi Pemasaran dan pengurusan perniagaan.  Nampaknya kita sudahpun  berada di hujung bulan Mac dan genaplah tiga bulan kita berada di tahun 2017. 

Bagiamana dengan prestasi perniagaan anda? Sudahkah anda membuat laporan kewangan seperti yang disarankan dalam entri sebelum ini? Jika sudah, bagaimana pencapaian untuk sepanjang suku pertama tahun ini? Adakah ia menepati sasaran? Jika ya, tahniah buat anda dan teruskan usaha untuk mencapai target pertengahan tahun pula dan jika tidak menepati sasaran, fikir dan rancanglah dengan teliti bagaimana untuk meningkatkan prestasi perniagaan anda bagi tempoh 3 bulan dari sekarang. Langkah  bagaimana untuk membuat perancangan boleh  anda dapati dalam entri –entri terdahulu di dalam blog ini. 


Kali ini saya ingin bercerita berkenaan ‘ distructive technology’.  Saya terpanggil untuk menulis berkenaan isu  ini kerana semakin ramai di kalangan teman dan rakan yang menjalankan perniagaan telah menerima kesan ‘distructive technology’ ini. Terutamanya yang menjalankan perniagaan menjual peralatan elektronik dan berkaitan  telefon.


Apa yang dimaksudkan dengan ‘distructive technology’?  Biasanya kita selalu mendengar istilah innovasi atau pembangunan teknologi. 


Kemajuan, innovasi atau ‘upgrade’ ialah keadaan di mana  timbulnya satu teknologi terkini yang  akan memberi kesan postif kepada kedua-dua pihak iaitu pihak  pengguna dan peniaga. 
Contohnya, sekitar tahun 1990an atau tahun 2000  dahulu,  anda terpaksa  memandu kereta atau menaiki bas  ke pasaraya atau butik  jika teringin untuk membeli baju. Namun, apabila timbulnya teknologi maklumat dan kehadiran internet, anda tidak perlu berbuat begitu lagi. Anda hanya perlu membuka ‘lap top’ atau komputer  di dalam bilik di rumah atau di pejabat dan melayari  kedai ‘online’  tertentu dan seterusnya membuat pesanan dan pembayaran, juga  menggunakan ‘online banking’. 


Selang beberapa hari, barang yang dipesan itu akan tiba di rumah atau di pejabat anda. Dihantar oleh  pekerja  Pos laju atau  perkhidmatan ‘courier’.  Manakala dari sudut peniaga pula, jika sebelum ini mereka terpaksa menyewa kedai atau butik untuk mempamerkan produk yang dijual, namun dengan kemajuan dalam teknologi, mereka hanya perlu menyimpan stok di dalam bilik di rumah mereka  Mereka hanya perlu membuka sebuah kedai di alam maya dan memuat naik gambar dan ciri-ciri produk tersebut ke  Page atau blog mereka. 


Manakala konsep ‘distructive technology’ pula ialah  teknologi  baru yang dicipta untuk menggantikan teknologi yang sama dan sedang diguna oleh kita  pada hari ini.  Biasanya dicipta oleh pesaing dengan tujuan untuk merampas pasaran. Ia seterusnya  memberi kesan negatif kepada sesebuah syarikat  atau perniagaan  yang menggunakan tenologi tersebut dan seterusnya menyebabkan perniagaan itu hilang  daya saingnya. Jika tidak segera diatasi mungkin akan  menyebabkan perniagaan tersebut  boleh ditutup. 


Contohnya, apabila applikasi uber diperkenalkan,  penumpang boleh mendapatkan khidmat kereta penumpang  dengan lebih murah dan cepat berbanding perkhidmatan yang disediakan oleh pemandu teksi biasa.  Malah penumpang juga  boleh memilih jenis kereta yang berjenama berbanding  menggunakan teksi yang kebanyakannya terdiri daripada kereta buatan  tempatan. 


Begitu juga dalam industri perkhidmatan insuran. Jika  sebelum ini ramai pemilik kenderaan yang ingin memperbaharui  insuran kereta  terpaksa pergi mencari  agen insuran kerana hanya agen insuran saja yang boleh memasuki laman sesawang syarikat insuran yang diingini. Namun  kini tidak lagi. Pemilik kenderaaan  sudah boleh memperbaharui insuran kenderaan  mereka secara terus dengan syarikat insuran.  Kesannya, ramai agen insuran mula kehilangan pelanggan.  


Setiap hari ‘Destructive teknology’ ini semakin berkembang dan menghampiri kita. Setiap negara mengalaminya dan ia bakal  merubah cara hidup dan corak pembelian  pengguna pada masa akan datang.  Dengan kehadiran ‘distructive technology’ ini, pelanggan menjadi semakin bijak dan memilih. Oleh itu, sekiranya  peniaga  tidak bersedia untuk berubah seiring dengan perubahan  ini, satu hari nanti perniagaan mereka  akan menjadi tidak releven dan bakal terkeluar dari pasaran tak kira sama ada mereka menjalankan perniagaan secara konvesional atau atas talian. 


Langkah pertama  yang boleh diambil  oleh peniaga yang menerima kesan 'destructive technology' ini  ialah  dengan  menerima kenyataan bahawa ‘destructive technology ‘ sudahpun  masuk  ke dalam industri yang mereka  ceburi. 

Seterusnya mereka perlu membuat pemantauan dan membuat pengubah suaian  strategi dan model perniagaan mereka seiring dengan kemajuan teknologi tersebut. Bermula hari ini, cuba  ‘update’ diri anda dengan maklumat terkini  berkenaan industri  yang anda ceburi dan ubah suai strategi yang sedang dipraktiskan agar ianya selari dendan perkembangan teknologi terkini sesuai dengan saranan pepatah Inggeris yang berbunyi,‘Upskill, adapt, or you will lose out!’

Wednesday, 8 March 2017

Laporan kewangan dan prestasi perniagaan

Entri: 49



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog Strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan.

Sedar tak sedar kita sudah melangkah ke bulan Mac, bulan ketiga dalam tahun 2017. Kebiasaannya, pada hujung   bulan ini, kebanyakan syarikat akan mula mengeluarkan penyata pendapatan syarikat mereka bagi suku pertama tahun 2017. Kepada klien dan followers, diharap anda juga dapat menyediakan laporan kewangan untuk tempoh tiga bulan kebelakangan ini. 

Mengapa aktiviti menyediakan laporan kewangan ini penting buat anda?


Ini adalah kerana laporan kewangan dapat mambantu anda membuat penilaian sama ada apa yang anda perolehi sepanjang menjalankan perniagaan semenjak dua bulan lalu mencapai target  yang ditetapkan atau pun tidak. Sekiranya apa yang diperolehi itu menepati sasaran, bolehlah anda tersenyum dan mengekalkan  momentum ini  untuk suku tahun berikutnya. Tetapi sekiranya apa yang diperolehi itu tidak tercapai sebagaimana yang diharapkan, bersedialah untuk anda membuat rombakan  strategi dan taktik. Gantilah dengan strategi dan  taktik baru.


Mengapa anda perlu membuat laporan kewangan setiap tiga atau empat bulan sekali? Tak bolehkah anda  tunggu  sehingga hujung tahun 2017 baru anda membuat laporan kewangan sedangkan perniagaan anda bukanlah perniagaan bertaraf korporat. Perniagaan anda hanya perniagaan kecil yang diusahakan secara sambilan di rumah.

Jawapannya adalah boleh. 

Anda boleh saja menunggu sehingga hujung tahun  baru anda mengira berapa jumlah untung rugi yang anda perolehi  sepanjang anda berniaga. Tapi  tindakan ini  adalah menyalahi prinsip pengurusan dan strategi.

Untuk memudahkan anda memahami betapa pentingnya  laporan kewangan itu kepada perniagaan anda, mari kita lihat contoh di bawah.

Sewaktu anda menuntut di universiti dahulu, anda pasti akan menghadapi  peperiksaan, sama ada  peperiksaan pertengahan semester ataupun peperiksaan akhir semester.  Tujuan peperiksaan ini dijalankan ialah supaya pihak universiti dapat menilai setakat mana penguasaan anda dalam mata pelajaran yang diambil pada semester tersebut.

Indikator yang biasa dilihat oleh pihak universiti ialah markah atau gred yang anda perolehi.   Sekiranya anda mendapat banyak gred 'C' atau 'D', anda mungkin akan dipanggil menemui pensyarah.  Beliau seterusnya  akan  menasihati anda supaya berusaha lebih tekun lagi  supaya anda lulus dalam peperiksaan akhir semester nanti. 

Di sinilah pentingnya peperiksaan pertengahan semester bagi seorang penuntut universiti. Tanpa peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir semester, pensyarah yang mengajar anda tidak dapat menilai sejauh mana penguasaan anda mata pelajaran yang diambil.  Sekiranya anda mendapat markah yang rendah, anda berpeluang untuk memperbaiknya nanti  sewaktu anda menduduki peperiksaan akhir semester.


Begitu juga ketika anda menjalankan perniagaan. Untuk menilai sama ada perniagaan anda maju atau sebaliknya ialah dengan melihat kepada laporan kewangan yang anda sediakan setiap tiga bulan sekali. Sekiranya laporan kewangan menunjukkan adanya peningkatan dalam jualan atau keuntungan yang diperolehi, ini menandakan bahawa strategi atau taktik yang anda laksanakan selama ini adalah berkesan. Begitu juga sebaliknya.


Jadi, jika anda rasa yang anda belum lagi mencapai target jualan yang anda tetapkan untuk suku pertama tahun 2017 ini, anda masih ada  masa 3 minggu lagi dari sekarang untuk meneruskan usaha anda  itu sebelum akaun suku pertama ditutup.

Apabila  tiba tarikh 31 Mac 2017, buatlah satu kunci kira-kira ringkas atau penyata kewangan dan lihatlah berapa hasil jualan atau  keuntungan yang anda perolehi.  Jika penyata kewangan itu menunjukkan adanya pertambahan dalam jualan dan keuntungan, teruskan dengan strategi dan taktik yang sedang anda praktiskan sekarang ini. Namun,  jika angka yang ditunjukkan dalam kunci kira-kira  itu tidak seperti yang diharapkan, sila duduk, renung dan periksa kembali di mana silapnya. Cuba rangka  satu startegi baru  yang mungkin boleh membantu. 

Sekian untuk entri kali ini.

Sunday, 26 February 2017

Cabaran sosial di awal tahun 2017

Entri:
Teks: Usry Abdullah
Foto: Google image

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pengunjung blog strategi pemasaran dan pengurusan perniagaan. Sedar tak sedar sudah dua bulan kita berada di tahun baru 2017, tahun yang mengikut kata pakar ekonomi, tahun yang penuh dengan ketidak tentuan. Tahun yang penuh dengan cabaran. Ia dapat dirasai oleh kita semua semenjak hari pertama kita melangkah ke tahun 2017 lagi.

Dalam sektor ekonomi, kita telah dikejutan  dengan tindakan luar jangka yang dilaksanakan oleh kerajaan,  iaitu menaikkkan harga  petrol dan disel sebanyak dua bulan berturut-turut setelah sekian lama ia berada di paras yang 'mampu beli' (reasonalble price). Tindakan ini telah dan sedang memberi kesan kepada golongan pengguna dan sektor perniagaan. Ia telah menyebabkan kos menguruskan perniagaan semakin meningkat dan  kuasa beli pengguna menjadi semakin menurun.

Manakala dalam aspek sosial pula, pelbagai kejutan juga telah berlaku . Belum pun reda dengan kes remaja yang memanjat papan tanda 'IPOH' yang menjadi viral dalam laman sosial, minggu lepas kita dikejutkan pula dengan tragedi kemalangan yang melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain basikal pada pukul 3 pagi telah dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kereta sehingga mengakibatkan kematian.

Apabila membaca berita-berita sebegini, seperti biasa ramailah di kalangan nitizen mula campur tangan. Misalnya, dalam kes remaja yang memanjat papan tanda 'IPOH'. Ada yang menyalahkan kumuplan remaja  terbabit kerana melakukan aksi yang merbahaya tanpa dilengkapi peralatan yang sepatutnya dan ada pula  nitezen yang menyokog  di atas keberanian mereka mengambil risiko. 

Begitu juga dengan kes kemalangan yang melibatkan basikal dan kereta  tempohari. Ramai yang menyalahkan ibu bapa kepada kanak-kanak yang terlibat kerana membiarkan anak-anak mereka keluar bermain basikal sehingga lewat malam. Manakala satu pihak lagi pula memberi komen yang meletakkan kesalahan ke atas si gadis tersebut. Kononya buat apa  si gadis itu keluar memandu kereta pukul 3 pagi. Namun apa yang pasti, keluarga mangsa telah kehilangan anak kesayangan mereka manakala si gadis pula masih dalam keadaan trauma dan tertekan.

Masalah sosial seperti ini  berlaku di mana-mana, termasuk di luar negara. Malah masalah sosial di sana lebih dasyat lagi. Oleh itu, tindakan membuat komen di laman sosial dengan menyalahkan pihak yang terlibat tidak dapat membantu menyelesaikan apa yang berlaku. Sebaliknya apa yang boleh dilakukan oleh kita ialah sama-sama duduk berbincang dan merangka  strategi tertentu agar kejadian seperti ini tidak berulang kembali di masa akan datang.

Dalam menangani masalah sebegini, kita tidak boleh berharap kepada pihak berkuasa sahaja untuk menangani atau membuat pemantauan. Sebaliknya sebagai ibu bapa, kita juga perlu memainkan peranan dengan melengkapkan anak-anak  dengan nilai-nilai postif supaya mereka tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Dengan ini mereka sendiri dapat bertidak mengikut rasionalisasi masing-masing bukannya mengikut kata hati atau pengaruh rakan sebaya.

Mengikut kajian psikologi, majoriti kanak-kanak yang melalui tahap umur remaja  akan mengalami situsi 'konflik identiti'. Ini adalah lumrah biasa bagi seorang remaja di mana mereka akan mengalami perubahan sikap dan identiti setelah mereka mencapai akil baligh atau istilah lainnya 'puberty'.  Jika dahulunya mereka seorang yang pendiam, mereka bertukar menjadi agresif dan jika dulunya mereka penakut, kini mereka menjadi seorang yang berani mengambil risiko dan  suka mencuba sesuatu yang baru.

Perubahan ini  terjadi  kerana bahagian otak yang mengawal kewarasan mereka masih belum matang sepenuhnya.  Pada peringkat ini, perasaan ingin tahu atau ingin mencuba sesuatu yang baru adalah lebih kuat mempengaruhi pemikiran mereka berbanding perasaan untuk berfikir apa akibat yang akan dialami pada diri mereka kesan dari tidakan tersebut. Keadaan ini dikenali sebagai 'ego' melebihi 'super ego'.

Oleh itu, ibu bapa perlu lebih banyak meluangkan  masa bercakap, bergaul, berkawan dan bertanyakan masalah mereka dari hati ke hati setiap hari. Dengan ini anak tersebut akan merasakan yang diri mereka masih lagi disayangi dan diberi perhatian walaupun usia mereka sudah memasuki alam remaja. Dan yang lebih penting ialah mereka masih merasakan bahawa mereka masih ada tempat untuk meluahkan perasaan. Dengan  ini ia dapat mengelakkan mereka dari keluar dan mencari rakan sebaya untuk mengisi 'kekosongan' atau berongsi perasaan.

Selain itu, untuk menghindarkan dari masalah sosial ini  juga ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak remaja mereka menganggotai mana-mana kelab atau aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Antaranya ialah seperti menyertai kelab sukan memanah, memasuki persatuan seni bela diri dan seumpanya. Dengan ini mereka mempunyai lebih masa untuk membuat aktiviti yang berfaedah.

Aktiviti sebegini dapat memenuhi telaga hati dan minda mereka dengan akhlak yang baik hasil dari ajaran guru atau 'coach' yang mengelolakan aktiviti atau kelab tersebut. Lama-kelamaan sifat positif akan melekat di dalam jiwa mereka dan membantu mereka menjadi lebih matang. Dengan ini mereka menjadi semakin waras ketika membuat sesuatu tindakan.

Kedua-dua langkah yang dibincangkan itu juga  bertepatan dengan prinsip pengurusan yang diasaskan oleh Barney (1993). Mengikut beliau, untuk menjadikan sesebuah organisasi itu kuat dan mampu menghadapi persaingan,  pengurus  perlu mencipta satu 'internal strategic factor'  bagi syarikatnya.  Apabila sesebuah syarikat atau organisasi itu mempunyai 'internal strategic factor', syarikat tersebut akan mampu menghadapi apa saja cabaran yang terdapat di dalam pasaran yang mereka sertai itu.

Begitu juga halnya dalam mengurus anak-anak remaja. Untuk memastikan jiwa mereka kuat dan mampu menghadapi cabaran semasa, ibu bapa perlu membina kekuatan dalaman di dalam diri anak-anak tersebut. Dengan ini, mereka akan mampu untuk menghadapi cabaran sosial yang semakin tidak menentu sekarang ini.





Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...