Wednesday, 10 January 2018

Terima Kasih Cikgu





Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada penjenguk blog ini. Terkejut sekejap saya bila terbaca dalam laporan suratkhabar  semalam bahawa ada lagi satu kes saman di antara ibu bapa dan guru. 

Saya ingatkan kes Cikgu Azizan  tempohari merupakan kes terakhir, rupanya ada lagi satu kes yang berlaku. Kali ini di Pulau Pinang dan ia melibatakan cikgu Bahasa Inggeris, cikgu Noor Idzahril Ahmad yang dituduh dengan kesalahan memukul dan mencederakan murid.  

Tak tahu nak kata apa dah. Nampakya semakin hari semakin hilang rasa hormat masyarakat terutamanya ibu bapa kepada golongan pendidik. Sedangkan  guru merupakan watak penting  dalam penyebaran ilmu. Apalagi jika yang disebarkan beliau adalah ilmu agama. 

Guru ini diumpamakan seperti para pewaris nabi  dan  kedudukan mereka di hadapan Allah S.W.T. Malah Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda yang mafhumnya lebih kurang begini, “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti hak ulama” (HR. Ahmad dan dishahihkan Al Albani dalam Shahih Al Jami). 

Namun apa yang menyedihkan semakin kita menuju ke arah negara maju, semakin kita jauh ketinggalan di belakang. Terutamanya dalam soal adab dan moral.  Peredaran zaman dan kemajuan teknologi sudah membuatkan ramai di antara kita  berubah dan  keliru. Teknologi bukannya menjadikan kita lebih beretika sebaliknya  melahirkan ramai individu berhati kerikil. 

Guru kini tidak lagi disanjung dan dihormati seperti masa dulu malah guru kini  diperlekehkan lagi. Ini dapat di buktikan  apabila ada pelajar yang berani  melawan  dan mempersendakan guru, mencederakan guru, malah sudah ada yang menyaman gurunya di mahkamah sebagaimana  kes Cikgu Azizan dan Cikgu Noor Idzahril Ahmad ini. 

Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Untuk menjadi seorang orang yang berjaya di dunia dan di akhirat, kita tak boleh bergantung pada usaha kita semata-mata.  Kita sangat perlukan keberkatan ilmu daripada guru-guru yang mengajar kita. Kita juga perlukan keredhaan mereka.

Ini adalah kerana merekalah insan yang telah menunjukkan kita sesuatu. Merekalah  yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa mereka  siapalah kita pada hari ini.  Walaupun  kita telah  bergelar doktor, peguam, atau ahli muzik, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita berada di tadika, sekolah dan universiti.  Merekalah yang  telah membentuk kita menjadi seperti sekarang.

Oleh itu hormatilah mereka  dan ucaplah Terima Kasih epada mereka walaupun kita didenda atauditegur  bukannya dengan cara berjumpa peguam untuk menyaman  mereka! Setuju?

Sekian Wassalam

Tuesday, 9 January 2018

Budaya Viral di Media sosial




Perubahan besar telah terjadi kepada warga negara kita pada tahun 2000 apabila Perdana Menteri Dato’ sri Dr Mahathir ( sekarang Tun M) menyokong perkembangan teknologi maklumat (IT). Semenjak itu, berlumba-lumba syarikat telekomunikasi menawarkan jaringan internet kepada pelanggan mereka. Dan nyata selepas itu, kehidupan kita semua berubah 360 darjah.

Jika tahun-tahun 1980an dan 1990an dulu saya sengaja membayar tambang bas mini menggunakan duit kertas kepada konduktor bas semata-mata untuk mengumpul duit syiling bagi tujuan menelefon mak ayah di kampung atau 'bergayut' dengan kekasih hati di telefon awam yang berwarna ‘silver’ ataupun biru yang terletak di Bangunan Telekom di Jalan Lembah Pantai, . Kini pengalaman itu tidak dirasai lagi. 

Malah anak-anak kita yang lahir di zaman melenium ini mungkin tidak ramai yang tahu atau kenal akan telefon awam ini lagi kerana seawal usia 3 tahun anak tersebut sudah disogokkan dengan telefon pintar oleh ibu ayah untuk menonton cerita Upin dan Ipin melalui laman youtube bagi memujuknya sekiranya jika anak itu meragam atau menagis.

Dengan perkembangan internet ini juga masyarakat pada hari ini boleh berhubung dan bergabung di dalam media sosial. Terdapat pelbagai platform disediakan oleh syarikat penyedia laman sosial untuk tujuan ini misalnya, Facebook, Twiter,skype,dan instagram. 

Dengan menggunakan laman sosial tersebut kita boleh berkolaborasi, berinteraksi sama ada dengan kawan lama mahupun dengan individu yang kita hanya kenal di dunia maya. Anda boleh bertukar cerita, maklumat dan sekarang ini ramai yang menggunakan media sosial ini untuk menjalankan bisnes.

Ada yang menjadikan media sosialnya sebagai rakan untuk mencurahkan perasaan dan ada yang menggunakan media sosial ini sebagai tempat untuk berkomunikasi antara sahabat juga ahli keluarga. Namun dalam kemajuan dan keseronokan kita menggunakan media sosial ini tanpa disadari kita terlupa batasan iaitu berkongsi berita palsu dan isu yang boleh mengaibkan seseorang. 

Misalnya dua tiga hari lepas telah tular video seorang penunggang motosikal tanpa pakaian di laman sosial. Kejadian itu dikatakan berlaku di Teluk Intan dan penunggang tersebut dikatakan seorang yang tidak waras atau dengan kata lain mempunyai masalah mental. Daripada kita menjadikan video penunggang tersebut sebagai bahan untuk viral, adalah lebih baik individu yang mengambil video penunggang bogel tadi sekadar menghubungi pihak berwajib. Sekurang-kurangnya dia telah berbakti kepada seorang insan yang tidak bernasib baik. 

Kita juga sebagai pengguna laman sosial, jika ada menerima video sedemikian sepatutnya merasa bersyukur kerana kita tidak seperti individu dalam video tersebut. Tunjukkanlah rasa simpati kita dengan tidak berkongsi video sedemikian kerana perbuatan seperti itu adalah sama seperti kita membuka aib seseorang. 

Sikap ini adalah bertentangan dengan peribadi kita yang mengaku sebagai seorang muslim. Banyak hadis yang melarang kita menyebarkan atau membuka aib seseorang misalnya sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR. Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Oleh itu tidak ada cara lain yang dapat menghentikan masalah ini keculi diri kita sendiri. Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab dan jadikan media sosial sebagai tempat untuk memupuk perasaan simpati dan kasih sayang sesama insan.

Sunday, 7 January 2018

Orang yang muflis di dunia dan akhirat



Assalamualaikum dan selamatbertemu kembali.
Minggu kedua di tahun baru 2018. Cepat betul masa berlalu. Rasanya baru semalam kita menyambut tahun baru 2018.

Kali ini saya nak kongsikan berkenaan satu sikap yang tidak baik, iaitu sikap suka menganiaya orang. Ini biasanya terjadi di kalangan kita yang mempunyai kuasa. Tak kira lah kita seorang ketua kampung, JKK, atau pun boss di sebuah pejabat. Semoga posting ini memberi peringatan kepada kita semua agar mengikis sikap yang tidak baik ini.


Ada satu ketika, Rasulullah telah bertanya kepada para sahabat baginda, Kamu semua fahamkah apa  yang dinamakan orang yang muflis? Lalu salah seorang dari sahabat baginda menjawab, iaitu seorang yang miskin tidak berharta sehingga tidak mempunyai satu dirham pun di dalam simpannyai. 


Lalu Rasulullah bersabda lebih kurang begini, orang yang musfis di dunia dan akhirat ialah dikalangan umatku yang datang menghadap Allah SWT pada hari tersebut  dengan membawa banyak pahala  solat, puasa, zakat, dan  haji tetapi dalam masa yang sama dia juga  membawa banyak dosa seperti  menipu, memfitnah , membunuh dan mengambil  harta orang sesuka hati.  

Maka pada  hari perbicaraan nanti, Allah akan pindahkan semua pahala yang dia bawa semasa di dunia dulu untuk dibayar gantirugi pada individu yang dia fitnah, bunuh, rampas harta dan tipu tadi  sehingga habislah  pahala yang dia bawa semasa meninggal dunia dahulu. Dalam artikata yang lebih mudah, pahalanya kini  tinggal ‘0’.

Jika masih ada lagi kesalahan dia dengan individu lain dan masih belum selesai lagi perbicaraannya itu sedangkan pahalanya sudah tinggal ‘0’, maka Allah akan mememerentahkan  dia  mengambil pula dosa individu yg dia telah aniaya itu  sehingga akhirnya dia yang pada mulanya menjadi calon ahli syurga telah bertukar status menjadi calon ahli neraka.


Kezaliman ini terbagi dua, iaitu pertamanya ialah menzalimi diri sendiri, dan yang kedua pula menzalimi orang lain. Menzalimi diri sendiri ada dua bentuk, iaitu syirik dan perbuatan dosa atau maksiat. Manakala menzalimi orang lain pula adalah menyakiti perasaan orang lain/aniaya, mensia-siakan atau tidak menunaikan hak orang lain yang wajib ditunaikan.  


Oleh itu, setelah kita mengetahui bahayanya perbuatan zalim yang dapat membuat kita menjadi seorang hamba yang muflis di akhirat kelak, marilah kita selalu menjaga diri kita,  agar tidak berbuat zalim terhadap sesame manusia. 


Bagaimana jika kita buat aniaya pada haiwan?  sila tinggalkan komen jika sudi berkongsi ilmu kalian untuk manafaat bersama.

Jumpa lagi di lain entri

Friday, 5 January 2018

Anak Masuk darjah Satu dan Dwi Language Programme


Kali ini nak  bercerita tentang anak yang masuk darjah satu. 
Maklumlah, ibu bapa mana tak teruja teruja bila anak mereka mula memasuki ke alam persekolahan. Begitu juga dengan kami. 

Disebabkan keterujaan itu, sebaik saja sekolah cuti akhir tahun bermula pada pertengahan bulan November 2017 yang lalu, isteri saya dah sebok mengajak saya pergi ke pusat beli belah untuk membeli pakaian sekolah. 
"Tak nak bersesak di saat akhir",  Itulah katanya bila saya menanyakan isteri mengapa dia membuat persiapan sekolah terlalu awal.  

Saya pula  risau takut-takut sikecil ni akan membesar  lagi sebelum sekolah dibuka dan  baju sekolah  menjadi ketat. Tentu dia tak selesa memakainya bila sekolah dibuka nanti.  Tapi itulah, naluri seorang ibu. Dia tahu setakat mana tahap tumbesaran anaknya.
Bila hari pertama sekolah dibuka, comel je tengok si kecil ni bergaya dengan pakaian sekolah dia.



Sekolah tempat anak saya belajar masih mengekalkan konsep Dwi language Programme (DLP) dan kami pun memang bersetuju dengan konsep tersebut. 
Saya rasa keputusan kerajaan  untuk mengekalkan sistem DLP ni juga adalah satu keputusan yang tepat dan berpandangan jauh.  Ini adalah kerana pada zaman kemajuan teknologi ini, kemahiran dan pengusaan berbahasa Inggeris amatlah dituntut.

Walaupun pada mulanya Bahasa Inggeris ini hanya diajar untuk mata pelajaran sains dan matematik sahaja, tetapi sekurang-kurangnya secara tidak langsung bila anak kita belajar kedua-dua subjek ini, ia dapat membantu anak kita memahami penggunaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek tersebut.

Lagipun kita semua tahu bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Tanpa Sains dan matematik, inovasi dan penemuan baru tidak berlaku.. Dan kebanyakan maklumat berkenaan kedua-dua bidang ini  banyak ditulis dalam bahasa Inggeris. 

Oleh itu sekiranya anak kita tidak mahir berbahasa Inggeris, pasti dia akan ketinggalan. Terutamanya apabila  dia menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi nanti (IPTA atau IPTS). Di saat itulah dia akan tahu betapa berutungnya dia belajar kedua-dua subjek tadi dalam bahasa Inggeris semasa di bangku sekolah dulu. 

Begitu juga apabila anak kita sudah menamatkan pengajian dan memasuki alam pekerjaan. Kebanyakan syarikat besar atau Multitnational (MNC) memerlukan pekerja mereka mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, terutamanya pekerja yang berpangkat eksekutif dan pengurusan. Sekiranya anak kita tidak mahir berbahasa Inggeris, peluang untuk dia berkhidmat dengan syarikat-syarikat ini adalah tipis. 

Oleh itu, kita perlu mendedahkan anak kita  dengan bahasa Inggeris ini sedari awal lagi. Jika aspek DLP ini dimansuhkan, maka anak-anak kita tidak lagi berpeluang untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana dalam seminggu mungkin beberapa jam saja subjek Bahasa Inggeris ini diajar di sekolah. Ini akan menyebabkan anak-anak kita ketinggalan.

Walaupun saya menyokong pengekalan DLP ini, tetapi ini tidak bermakna saya tidak mengakui akan kepentingan anak kita menguasai Bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan negara. Ia tetap diagungkan sampai bila-bila cuma dalam masa yang sama Bahasa Inggeris juga perlu dipelajari sama agar kita tidak tertinggal di belakang.

Sebagai penutup soretan kali ini,  saya belanja satu lagi gambar sikecil saya untuk tatapan bersama



Tuesday, 2 January 2018

2018 yang dinanti.



Selamat Tahun Baru 2018. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat tahun baru kepada penjengok blog Strategi perniagaan dan Pengurusan Pemasaran  kerana hari ini baru hari kedua.  Kanak-kanak sekolah pun baru saja masuk darjah satu . Semoga tahun 2018 ini memberi satu harapan baru buat kita semua. 

Tahun 2017 telah meninggalkan 1001 kisah suka duka kepada kita,  terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam  dunia perniagaan. Pada tahun lepas, ramai di kalangan peniaga yang menghadapi kesukaran dan  mencapai target jualan.  Tak kira peniaga yang menjalankan perniagaan secara ‘off line’ atau pun yang menjalankan perniagaan secara atas talian. 

Kesan dari kejatuhan nilai matawang negara dan ketidak tentuan harga petrol dan disel telah menyukarkan lagi perniagaan yang diusahakan itu untuk mengekalkan kesinambungannya. Kesan  dari  ketidak tentuan harga bahan api ini sedikit sebanyak telah menyebabkan harga produk yang dibeli dari pembekal atau pemborong menjadi mahal pada setiap bulan. Dan mahu atau tidak, pihak peniaga terpaksa  pula menjualnya dengan harga yang sedikit mahal kepada pembeli. Ini seterusnya membuatkan golongan  pengguna mula menjauhi perniagaan mereka atau mengurangkan kuantiti barang yang dibeli dan seterusnya  menyebabkan ramai peniaga mula mengalami kemerosotan dalam jualan.

Situasi ini bukan saja dirasai oleh peniaga kecil yang menjual pisang goreng di tepi-tepi  jalan atau mereka yang menjual  aksesori telefon bimbit di pasar malam sahaja. Tetapi ia turut dirasai oleh majoritu  peniaga yang menjalankan perniagaan  kedai runcit, pasaraya, automotif dan perkhidmatan perhotelan.  Malah buat pertama kalinya ia turut dirasai oleh  mereka yang berkecimpung dalam dunia  perawatan kesihatan . 

Tahun 2017 menyaksikan penutupan  beberapa  syarikat besar bertaraf multinasional (MNC) seperti Rubicon Technology Inc, Seagate Technology PLC, British American Tobacco (BAT), Samsung, Amphenol Corp, Fairchild Semiconductor International Inc, STR Holdings Inc dan SunEdison Semiconductor Ltd. Penutupan syarikat-syarikat besar ini telah menyebabkan seramai  6,142 kehilangan pekerjaan dan kerajaan kerugian sebanyakRM5.4 bilion FDI. 

Manakala sektor peruncitan pula  kita  menyaksikan penutupan  beberapa supermarket atau pasaraya besar.  Ia bermula dengan penutupan 3 cawangan AEON BIG  pada bulan Februari 2017. Cawangan AEON BIG Kota Damansara, River City (Jalan Ipoh) dan  Bangsar South  ditutup kesan dari kekurangan daya beli pengguna, persaingan sengit  dan kos operasi yang semakin meningkat.  Kemudian siri penutupan pasaraya besar ini diakhiri dengan  penutupan  5 cawangan Giant supermarket  pada bulan Okober 2017. Juga dengan alasan yang sama.  Cawangan yang terlibat ialah di Giant  Sri Manjung, Sungai Petani, Shah Alam, Sibu dan Selayang Lama. 

Seterusnya,  semua  rangkaian kedai Rayat 1 Malaysia juga mengalami nasib seperti mana  Giant Supermarket dan AEONBIG ini. Walaupun rangkaian kedai 1 Malaysia  ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan mendapat sambutan dari kalangan penduduk, namun  sebanyak 185 buah kedai Rakyat 1 Malaysia  terpaksa  ditutup secara rasmi pada bulan September 2017 yang lalu.  Ini menyebabkan ramai penduduk yang sebelum ini dapat membeli barang kegunaan harian dengan harga murah  terpaksa membeli barangan yang sama  di kedai-kedai runcit biasa atau pasar mini yang harganya tentu melebihi 30% daripada harga barang yang dijual di Kedai Rakyat 1 Malaysia.

Malah yang paling mengejutkan kita  ialah buat pertama kali dalam sejarah, sebanyak 500 buah klinik swasta di seluruh negara dilaporkan telah ditutup  setakat peretengahan tahun  2017 yang lalu  kerana tidak pemiliknya sudah tidak  lagi mampu untuk menampung kos operasi  yang semakin meningkat dan perubahan sikap pengguna.

Jika sebelum ini orang ramai lebih selesa mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, kini akibat dari tekanan kos sara hidup, mereka tidak lagi mengunjungi klinik swasta sebaliknya mereka lebih rela bersesak dan menunggu lama di klinik-klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Manakala dalam sektor hartanah pula,  pada 18 November 2017 yang lalu, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada pemaju dan mereka yang terlibat dalam urusan jual beli hartanah supaya berhati-hati kerana jualan pasaran hartanah di dapati semakin merosot.  Banyak rumah-rumah yang dibina oleh pemaju tidak terjual. 

Kepada peniaga yang mungkin menjangka perniagaan anda bakal  menghadapi masalah, bolehlah mencari mana-mana kelas atau bengkel pengurusan kerana tahun 2018 ini dijangka  keadaan ekonomi negara semakin mencabar.  Sekarang masih lagi awal tahun, masih belum terlambat untuk anda bertindak. 

Ini adalah kerana  mengikut kajian sebuah syarikat perunding (Nielsen) yang dilakukan pada bulan November 2017, menunjukkan bahawa tahap keyakinan pengguna terhadap kemampuan ekonomi negara serta keyakinan mereka untuk berbelanja  adalah rendah.  Kesan ini pasti akan  menyumbang kepada kemerosotan  jualan  pada tahun 2018 ini.

 

Sunday, 17 December 2017

Jujurlah dalam perniagaan



Isu kenaikan harga barang nampaknya sudah menjadi perkara biasa bagi kita semua. Isu ini adalah isu lama dan ia bukan saja dialami oleh golongan pengguna yang tingggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya, Shah Alam, dan Johor Baharu sahaja malah tempiasnya juga sudah mula dirasai oleh mereka yang tinggal di kawasan pedalaman seperti  Jeli, Gua Musang, Ijok atau pun Lenggong. Malah sejak kebelakangan ini golongan artis juga tidak terkecuali. Ramai yang mula meluahkan perasaan tidak puas hati mereka di laman sosial berkenaan isu ini.


Salah satu sebab mengapa terjadinya kenaikan ini adalah kesan dari kenaikan dalam kos  pengeluaran  yang  dialami oleh golongan peniaga.  Antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos ini ialah ketidak tentuan harga petrol dan disel.  Kesan dari kenaikan harga petrol dan disel ini  kemudiannya menyumbang kepada kenaikan  dalam kos pengangkutan dan untuk mengekalkan margin keuntungan mereka, pihak peniaga terpaksa melepaskannya kepada golongan pengguna iaitu dengan cara menaikkan harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.


Namun begitu, yang menjadi isu kali ini ialah kenaikan harga yang dikenakan oleh peniaga ini tidak seiring dengan kualiti  produk atau perkhidmatan yang mereka jual. Misalnya, baru-baru ini kecoh di laman sosial seperti facebook atau pun blog tentang sikap  sesetangah peniaga yang menjual karipap dengan harga yang mahal tetapi  isi dalamnya  hampir kosong atau 90% kosong sehingga  digelar sebagai ‘karipap angin’ atau ‘karipap oksigen’.  


Tindakan mereka ini bukan saja mengundang kemarahan pengguna tetapi ia juga bakal mengundang  masalah kepada perniagaan beliau sendiri. Malah tindakan ini juga melanggar prinsip pengurusan perniagaan.  Kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah salah satu daripada faktor  kritikal yang  menyumbang kepada kemajuan ataupun kegagalan perniagaan yang anda usahakan. 

Sebenarnya golongan pengguna juga seperti anda dan mereka juga faham dengan masalah kenaikan kos yang anda alami. Jadi mereka masih boleh menerima kenaikan harga karipap yang anda jual dengan senang hati seandainya kualiti karipap tadi masih lagi mengekalkan kualitinya sama ada dengan tidak mengurangkan isi dalamnya ataupun mengecilkan saiznya. Apa yang merka inginkan ialah produk  itu masih berbaloi dengan harga yang dibayar atau dalam bahasa inggerisnya  disebut sebagai ‘worth for money’.


Sekiranya mereka mendapati apa yang dibayar itu  tidak setimpal dengan apa yang mereka perolehi,  pengguna  mula meninggalkan anda dan akan beralih kepada peniaga lain yang menjual produk atau perkhidmatan yang sama.  Dan  bukan setakat itu saja. Mereka juga akan bercerita kepada rakan dan kenalan yang lain tentang anda dan sekiranya isu ini menjadi viral, reputasi anda akan jatuh dan pelanggan lain juga mula menjauhi anda.  

Sikap tamak atau tidak jujur ini juga sebenarnya bertentangan dengan amalan perniagaan yang disarankan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Baginda amat tidak menyukai kepada peniga yang tidak jujur  seperti menawarkan barang yang kualiti rendah dan tidak setimpal dengan harga yang dibayar oleh pembeli. Kisah ini mungkin anda pernah baca di dalam buku-buku agama, di mana pada suatu peristiwa baginda Rasulullah telah menegur seorang peniaga yang mencampurkan buah yang hampir rosak dengan buah yang elok dan menjualkannya di pasar.  


Jadi jelaslah di sini bahawa tindakan mengekalkan kualiti produk yang dijual itu akan memberi kesan positif kepada perniagaan anda untuk jangka panjang.  Walaupun mungkin anda hanya dapat mengaut keuntungan yang sedikit namun tindakan ini  akan mengekalkan kesetiaan pengguna untuk terus berurusniaga dengan anda. Manakala tindakan mengurangkan kualiti ke atas produk yang dijual dan tidak 'senilai' dengan harga yang dibayar oleh pembeli  bukan saja bersalahan dengan prinsip pengurusan perniagaan moden malah ia juga betentangan dengan sunnah Rasullah. 


Tidak ada ruginya anda menjaga kualiti barangan atau perkhidmatan yang dijual itu  walaupun mungkin dengan berbuat demikian anda hanya mendapat keuntungan yang sedikit. Selain ia dapat menjamin kesinambungan perniagaan yang anda jalankan, tindakan ini juga merupakan satu sunnah, di mana anda bakal mendapat pahala dan keuntungannya boleh nikmati di akhirat kelak. Jadi walaupun anda sedang menghadapi masalah kenaikan dalam kos pengurusan, sebolehnya berazamlah untuk berniaga dengan jujur dan menjaga kualiti produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Sekian.
Kongsikan jika bermanafaat

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...