Thursday, 4 November 2021

Terima kekurangan diri dan manafaatkannya

 


Tuhan telah menciptakan manusia ini dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tidak semua orang memiliki kesempurnaan. Oleh itu kita kena belajar untuk mensyukuri kelebihan yang diberi dan bersabar tehadap kekurangan yang kita ada.
Seperti kisah yang abam nak kongsi pagi ini.
.
.
.
Kononnya, pada zaman dahulu ada seorang tua yang tinggal di dalam sebuah pondok yang terletak di atas bukit. Memandangkan kedudukan rumahnya tidak ada sumber air, beliau terpaksa mengangkut air dari perigi yang terletak di kaki bukit tersebut. Setiap hari beliau akan mengangkut air dari perigi ke rumahnya menggunakan dua buah tempayan.
Pada satu hari, sedang beliau mengangkut air, tiba-tiba kakinya tersadung dan beliau terjatuh. Habis tempayannya tergolek ke bawah. Beliau kemudiannya pergi mendapatkan semula tempayannya untuk mengangkut air semula. Malangnya, salah satu dari tempayannya telah retak. Namun disebabkan beliau tidak mempunyai 'bajet' untuk beli tempayan baru, orang tua itu tetap menggunakan tempayannya yang retak tadi.
Jika sebelum ini orang tua itu dapat membawa balik dua tempayan air pada setiap hari tetapi sekarang dia hanya dapat membawa balik air sebanyak satu setengah tempayan saja ke rumahnya disebabkan oleh tempayan yang retak itu hanya mampu membawa pulang separuh saja air di dalamnya. Air yang selebihnya akan tercicir di sepanjang jalan kerana ia melelh keluar melalui rekahan yang terdapat pada tempayan tadi.
Ini menyebabkan tempayan retak mula merasa malu akan ketidaksempurnaannya.
Lalu tempayan retak itu berkata kepada orang tua itu, " Aku berasa malu dengan diriku dan ingin memohon maaf kepadamu, ".
"Kenapa?" tanya orang tua itu. "Kenapa kamu berasa malu?"
"Saya hanya mampu membawa setengah dari air yang jumlah yang sepatutnya saya bawa disebabkan adanya retakan pada badan saya. Ia telah membuat air yang dibawa itu menetes di sepanjang jalan menuju ke rumah kita. Disebabkan kecacatan aku, kamu tidak lagi dapat membawa balik air yang banyak ke rumah kita ini " kata tempayan itu.
Orang tua itu berasa kasihan kepada tempayan retak tadi dan dia pun berkata, " Jika kita balik dari mengangkut air esok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan, ".
Keesokan harinya, sewaktu dalam perjalanan dari perigi tempat orang tua itu mengambil air sehingga ke rumahnya, tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari adanya bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan. Pemandangan ini membuatkannya sedikit terhibur.
Namun apabila sampai di rumah,dia kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah habis dan sekali lagi meminta maaf di atas kegagalannya.
Orang tua itu pun berkata kepadanya, " Adakah kamu sedar bahawa terdapat bunga-bunga di sepanjang jalan di sisimu tetapi tidak ada pun bunga yang tumbuh pada sisi jalan tempayan yang tidak retak?
"Ya tuan, tapi aku masih tidak mengerti".
"Wahai tempayan retak. aku telah menyedari akan kecacatanmu. Oleh itu aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan sisimu, dan setiap hari apabila kita pulang dari perigi, air yang mengalir keluar dari ceahan badanmu yang retak itu secara tidak langsung telah menyiram pokok-pokok bunga di sepanjang jalan itu. Sejak dari itu juga aku selalu memetik bunga-bunga yang indah untuk menghiasi meja di rumah kita ini. Aku rasa, tanpa kamu mana mungkin aku dapat memetik bunga dan menghias meja makan di rumah kita sekarang, ".
Apa yang dapat diambil dari cerita tersebut ialah setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing. Namun setiap sesuatu itu ada kegunaan dan fungsinya yang tersendiri.
Kita andaikan tempayan yang retak itu sebagai kelemahan diri, manakala tempayan yang elok pula diumpamakan sebagai kekuatan atau kelebihan diri.
Orang tua itu tahu bahawa tempayan retak itu akan mengalirkan air di sepanjang jalan ke rumahnya kerana ada rekahan di badannya. Oleh itu dia pun cari jalan bagaimana untuk memanafaatkan kelemahan tempayan retak itu agar dia dapat digunakan untuk menggembirakan orang lain.
Begitu juga dalam kehidupan kita ini. Kita perlu belajar untuk terima kelemahan diri. Walaupun kekurangan kita itu mungkin tidak boleh diubah tetapi kita masih boleh manafaatkan kekurangan atau kelemahan kita tadi untuk mejadikan hidup kita lebih menarik.

Tuesday, 26 October 2021

Ada ketikanya kita tidak perlu merumitkan keadaan yang sedia rumit itu.


 

Pagi ini abam nak kongsi satu cerita untuk pedoman kita bersama.
Pada zaman dahulu, di sebuah bandar tinggal seorang peniaga dan anak gadisnya. Isterinya telah lama meninggal dunia, iaitu sewaktu anaknya itu masih kecil.

Mamandangkan inilah saja zuriatnya bersama bekas isteri, peniaga ini amat sayang kepada anak gadisnya itu. Dia memlihara anak gadisnya itu seumpama menatang minyak yang penuh. Walaupun begitu, dia masih mendidik anak gadisnya akan batas dan peradaban. Bukan seperti yang dipraktiskan oleh ibu bapa di zaman moden, yang terlalu memanjakan anak. Dengan ini, anaknya membesar dengan asuhan yang cukup dan memiliki berbudi pekerti yang mulia.

Setelah habis SPM, anak gadis ini telah mejadi tumpuan orang di kampungnya. Wajahnya amat cantik dan menjadi rebutan di kalangan pemuda di kampung itu. Ramai yang ingin memperisterikannya. Termasuklah seorang pengusaha syarikat peminjam wang berlesen atau lebih dikenali sebagai Along. Walaupun umurnya kini sudah mencecah 70 tahun tapi nafsu shahwatnya masih kuat seperti pemuda berumur 40an.

Memandangkan ayah gadis ini ada meminjam wang dengannya dan masih ada hutang yang berbaki, Along tua ini merasakan inilah peluang
terbaik
untuk dia menggunakan kekerasan untuk menikahi anak gadis usahawan itu. Dia pun menghantar rombongan merisik.

Ketua rombongan itu memberi dua pilihan kepada usahawan atau ayah gadis itu. Pertama ayah gadis itu mesti menyelesaikan segala hutangnya dalam tempoh seminggu atau pilihan kedua, dia mesti menyerahkan anak gadisnya untuk dinikahi oleh Along tua itu dan sebagai balasan, segala hutang piutang usahawan tadi dikira langsai.

Anak gadis itu merasa tidak adil dengan tawaran tersebut dan meminta wakil Along tadi berbincang semula dengan majikannya kerana ia dikira sebagai peras ugut sedangkan setiap orang perlu diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri.

Lalu baliklah wakil tadi menemui situa kerepot itu.

"Jika itu katanya, baiklah. Aku ada satu cadangan" kata Along tua tadi.

"Apa dia tuan?" tanya wakil itu.

"Esok kamu pergi semula ke rumah usahawan tadi dan beritahu anak gadisnya aku akan memberi dia pilihan. Aku akan sediakan dua keping duit syiling. Sekeping duit syiling 50sen dan sekeping lagi duit syiling 20sen.

Kedua-dua duit siling ini akan aku masukkan ke dalam satu tin Milo. Gadis itu akan menyeluk tin Milo dengan mata tertutup dan mengeluarkan duit syiling tadi. Jika dia keluarkan duit syiling 50 sen, dia boleh menolak peminaganan aku dan hutang ayanhnya juga dikira selesai.

TETAPI jika duit syiling 20 sen yang dia keluarkan dari tin milo itu, dia terpaksa berkahwin dengan aku dan hutang ayahnya juga dikira selesai".

Wakil itu pun pergi semula ke rumah usahawan tadi dan memberitahu anak gadisnya tentang syarat terbaru Along tua tadi. Anak gadis itu pun setuju dan menyuruh Along tua dan rombongannya datang keesokan harinya.

Pada malam itu, Along tua itu pun memasukkan dua keping duit syiling 20 sen ke dalam tin milo yang akan dibawa bersama rombongan peminangan esok. Dia tersenyum dan kemudian tidur dengan lena bermimpikan bakal isterinya yang muda itu.

Keesokan harinya, tibalah rombangan Along tua tadi. Setelah bebalas pantun mengikut adat setempat, akhirnya tibalah masa untuk anak gadis itu menyeluk tangan ke dalam tin milo dan mengeluarkan duit syiling dari tin milo tersebut.

Anak gadis itu pun menyeluk dan meraba ke dalam tin milo tadi. Dia merasakan kedua-dua syiling itu sama besar. Dia tahu yang situa ini cuba menipunya.

Di sini gadis itu mempunyai dua pilihan. Sama ada mengeluarkan kedua-dua syiling itu dan meletakkannya di atas meja supaya hadirin tahu yang Along tua itu menipu atau satu lagi pilihan ialah dia keluarkan saja satu syiling dan tunjuk kepada hadirin. Tetapi ini bermakna dia terpaksa berkahwin dengan Along tua yang kerepot itu.

Gafis itu berada dalam dilema.

Dia risau jika dia 'expose' yang Along itu menipu, berkemungkinan Along itu tidak duduk diam. Pasti satu hari nanti dia akan mengupah orang mencederakan dia dan ayahnya untuk menutup malu.

Jika dia berkahwin dengan Along tua ini, juga dia akan menyesal. Mana mungkin dia terpaksa berkahwin dengan lelaki tua yang dah lemah tenaga batinnya itu😄😄. Tentu hidupnya tidak ceria.

Lalu anak gadis itu pun mengambil sekeping syiling dan mengenggamnya dengan erat. Kemudian dia pun bersuara, " Saya tak akan membuka genggaman saya ini, sebaliknya, saya mahu Pakcik tua itu meyeluk dan mengeluarkan wang syiling yang tertinggal dalam tin milo itu."

Along tua itu serba salah.

Dia tahu yang gadis itu sudah tahu yang dia cuba menipu dan sekejap lagi dia akan kantoi. Tapi dalam masa yang sama dia tahu gadis itu masih mahu menjaga nama baiknya.

Lalu dia pun menyuruh wakilnya menyeluk dan mengeluarkan duit syiling yang masih tinggal di dalam tin milo tadi dan menunjukkan kepada para hadirin.

Wakilnya pun menyeluk dan mengeluarkan duit syiling dari tin milo tadi. Semua hadirin nampak yang duit syiling itu bernilai 20 sen.

Jadi secara otomatik para hadirin tahu yang duit syiling dalam gengaman gadis tadi tentulah duit syiling bernilai 50sen!
Tidak seorang pun tahu bahawa duit syiling yang berada dalam genggaman gadis tadi juga sebenarnya bernilai 20 sen.

Dengan berat hati, si tua itu pun mengaku kalah dan terpaksa mengotakan janjinya. Dia bersetuju untuk melangsaikan hutang ayah gadis tersebut dan dia juga berjanji tidak akan menikahi gadis itu.

Moral of the story..
Dalam keadaan tertentu, kita boleh saja menggunakan kekerasan untuk melawan ketidakadilan, tetapi ada kalanya kita kena bijak bertindak supaya keadaan tidak menjadi semakin rumit.

Sebagai mana yang dikatakan oleh General Sun Tzu, 'kemenangan yang mutlak ialah apabila kita berjaya menewaskan musuh tanpa perlu menumpahkan darah'.

Dalam situasi yang dialami oleh gadis tadi. Dia boleh saja 'exposed' akan penipuan Along tua itu tapi dia risau akan akibat dari tindakannya itu. Oleh itu dia ambil jalan tengah dengan tidak memalukan Along tua itu. Dan sebagai balasan, Along tua yang sedar dirinya tidak jujur terpaksa membatalkan niatnya dan membebaskan anak gadis itu serta melangsaikan hutang ayahnya.
Kesimpulannya, dalam keadaan tertentu, kita perlu berfikir di luar kotak. Bukan mengikut nafsu walaupun kita ada peluang untuk menggunakan kekerasan kepada musuh kita.

Monday, 25 October 2021

Khasiat madu



Madu adalah 'tonik' semula jadi yang dikumpulkan dan dibancuh oleh lebah. Ia mengandungi nutrien dan unsur surih yang sangat kaya. Ia telah menjadi makanan yang sangat bernilai dan digunakan sejak zaman purba sebagai sumber makanan tenaga yang penting. Malah dalam al-Quran juga ada disebut bahawa madu menjadi sebahagian daripada makanan ahli syurga.

Madu mengandungi kalori yang tinggi di mana dalam 100 gram madu, kita akan memperolehi sekurang-kurangnya300 kalori. Kandungan kalori di dalam madu ini melebihi kalori yang terdapat dalam pasta, keju, coklat dan roti puteh mahupun yogurt.
Selain dari kalori, madu juga mengandungi lebih daripada 60 jenis nutrien penting yang lain seperti glukosa, fruktosa, vitamin, enzim aktif, asid amino, vitamin, mineral dan sebagainya yang diperlukan oleh tubuh.
Akhir sekali, di dalam madu juga terdapat pelbagai enzim yang tidak dapat diperolehi dari gula putih iaitu enzim oksidase, invertase, amilase dan katalase. Enzim-enzim ini penting untuk proses penguraian glukosa kepada hidrogen peroksida iaitu sejenis enzim yang bertugas membantu melawan mikroorganisma yang cuba memasuki badan kita.
Selain dijadikan makanan tambahan untuk meningkatkan imuniti, madu juga telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sebagai rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit.
Kajian saintifik membuktikan madu mempunyai kesan antimikrob, antikeradangan, serta antipengoksida semula jadi. Bahan antipengoksida ini sangat penting dalam membantu merencatkan penyakit kronik seperti kanser, koronari arteri, degenerasi saraf dan melambatkan proses penuaan.
Begitulah istimewanya madu. Namun begitu walaupun madu ini baik untuk kesihatan, kita tidak digalakkan untuk mengambilnya terlalu banyak kerana jika diambil terlalu banyak, ia akan menyebabkan kita menjadi gemuk. Secara amnya, orang dewasa disyorkan untuk mengambil 2 hingga 3 sudu besar madu saja dalam sehari, iaitu bersamaan dengan 20 ml (30 g).
Jadi, nasihat Abam, berpada-padalah jika kita ingin mengambil madu walaupun ianya terbukti bagus untuk kesihatan. Lebih-lebih lagi kepada kaum lelaki. Jangan terover ambik madu kerana jika korang tersilap bawa balik 'madu' kat rumah, dibimbangi hidup korang tidak lagi aman dan tenteram.. "Inilah pesanku wahai mambang".
Eh.. Kesitu pulak.😀😀

Sunday, 17 October 2021

Selamat berhari Minggu

 

Ungkapan untuk renungan bersama:

"Janganlah susahkan diri untuk memuaskan hati manusia sehingga mengorbankan tanggungjawab kita kepada tuhan. Mungkin hari ini mereka akan merasa puas hati dengan kita tapi pada keesokan harinya mereka kembali sakit hati.

Jadi, jangan peduli sangat tentang apa yang orang kata pada kita. Sebaliknya teruslah berusaha untuk memuaskan kehendak 'Pencipta hati' kerana walaupun ketika itu kita sedang dibenci, namun kita tetap rasa bahagia."

-Dr. Abam

Selamat berhari minggu
Ahad
17 Oktober 2021



Saturday, 16 October 2021

Peria untuk meningkatkan imuniti

 


Peria adalah antara buah yang pahit rasanya. Terdapat dua jenis peria yang kita boleh temui di negara kita ini iaitu peria panjang yang berwarna hijau muda dan satu lagi peria yang bulat dan mengerutu yang dikenali sebagai peria katak.

Ramai orang tak suka memakan sayur atau buah peria ini kerana ianya pahit. Namun begitu sayur atau buah ini sebenarnya mempunyai banyak khasiat.

Dalam 100 gram peria mengandungi 19g kalori, 25 mg momordica charantia (agen yang bertindak sebagai anti diabetik), 0.95 g protein, 0.22 g lemak, 3.35 g karbohidrat, 0.79 mg karotena, 0.69 mg tiamin, 0.04 mg riboflavin, dan 0.32 mg niasin.
Di samping itu dalam 100g peria juga kita boleh menikmati kandungan kalsium18.2 mg, zat besi 0.63 mg zat besi (Iron),29.3 mg phospate dan 260.5 mg potasium.

Di China, pakar perubatan tradisional telah menggunakan buah peria sebagai salah satu alternatif dalam rawatan penyakit diabetes iaitu dengan menjadikan buah peria ini sebagai jus minuman. Di samping itu mereka juga menggunakan peria ini sebagai rawatan alternatif kepada masalah athma dan haid yang tidak menentu.

Selain dari itu, ramai yang tidak menyedari bahawa kandungan vitamin C dari peria ini adalah yang paling tinggi. Di mana kandungannya adalah 7 kali ganda berbanding vitamin C yang terdapat dalam tomato dan 14 kali ganda berbanding timun.

Sebagaimana yang kita tahu Vitamin C ini membantu meningkatkan kekebalan tubuh dengan cara merangsang penghasilan sel darah putih yang disebut limfosit dan fagosit. Kedua-dua agen ini berfungsi untuk melawan jangkitan bakteria yang cuba memasuki tubuh kita.

Limposit ini bertugas seakan seorang anggota polis atau Imigresen. Dia akan menangkap bakteria yang cuba memasuki badan kita. kemudian bakteria ini akan diserahkan kepada Fagosit untuk membunuhnya.

Inila antara khasiat peria yang abam boleh bagi tahu. Walaupun sayur atau buah ini rasanya pahit namun banyak khasiat yang boleh kita perolehi daripadanya.

Jadi, jangan pandang rendah kepada sayur atau buah ini. Jika tak suka dibuat sayur atau ulam mungkin boleh dijadikan jus dan diminum. Tambahan pula kita sekarang sedang masuk ke fasa ENDEMIK. Kita kena kuatkan imuniti agar tidak mudah dijangkiti virus yang ditakuti ramai ini.
InsyaAllah...

Jangan lalai dengan nikmat kesenangan

 


Pagi ini abam nak kongsi satu lagi cerita untuk sama-sama kita ambil pengajaran..

Pada suatu hari seekor monyet sedang berehat di atas pelepah pokok kelapa. Si monyet tak sedar yang dia sedang diintai oleh tiga jenis angin iaitu angin ribut, angin taufan dan angin puting beliung.

Ketiga-tiga angin itu rupanya sedang bertaruh siapa yg paling cepat menjatuhkan si monyet dari pohon kelapa...
Angin ribut berkata :
"Aku cuma perlukan 45 saat saja untuk menjatuhkan monyet itu..."
Angin taufan tidak mahu kalah. Kata Angin Puting Beliung :
"Kalau aku cukup 30 saat saja..."
Angin puting beliung dengan nada mengejek berkata :
"Kalau aku 15 saat, pasti jatuh si monyet tu..."

Lalu bermulalah pertaruhan ketiga-tiga angin itu...
ANGIN RIBUT yang mula-mula bertiup. Dia tiup angin sekencang-kencangnya... Wuuss...
Si monyet merasa ada angin yang bertiup kencang, lalu si monyet berpegang pada batang pohon kelapa dengan kuat...
Setelah habis tempoh 45 saat, ternyata si monyet tetap tidak bergerak. Akhirnya Angin RIBUT pun menyerah...

Giliran Angin TAUFAN pula bertiup. Wuuus Wuuusss...
Dia juga meniupkan anginnya lebih kuat berbanding tiupan angin RIBUT tadi, namun si monyet itu tetap tidak jatuh. Akhirnya ANGIN TAUFAN pun mengaku kalah.

Terakhir, ANGIN PUTING BELIUNG pula mencuba nasib. Dia bertiup dengan lebih kencang berbanding tiupan ANGIN TAUFAN tadi... Wuuuss... wuuuss... wuuss...!
Tetapi mereka dapati si monyet tadi semakin kuat pegangannya dan tetap berganjank dari tempat rehatnya.

Ketiga-tiga angin itu akhirnya mengakui si monyet memang
hebat
, kuat dan daya tahannya amat luar biasa.

Tak lama lepas tu, datang pula ANGIN SEPOI-SEPOI. Dia menyatakan keinginannya untuk bertaruh. mendengar luahan tersebut ketiga-tiga angin tadi ketawa dengan niat untuk mengejek.
Berkatalah ANGIN PUTING BELIUNG kepada ANGIN SEPOI tadi, " Kami angin yang kuat pun tak boleh... Apatah lagi kamu yang kecil ini...."
ANGIN SEPOI hanya membisu. Dia pun mula meniup ubun-ubun si monyet.
_Wuuuuuiiiisss_
Monyet: Mmmm.... Sedapnya angin..... Segaaaaar....
Mata si monyet semakin kuyu.
Tak lama kemudian si monyet mula tertidur dan tanpa disedari terlepaslah pegangannya lalu jatuhlah si monyet itu dari pohon kelapa.

APA Pengajaran dari kisah ini?
Bila kita diuji dengan kesusahan, kesakitan dan masalah yang bertimpa-timpa, kita akan jadi semakin kuat. Malah semakin kita diuji dengan kesusahan, kita akan menjadi semakin kuat berbanding sebelumnya.
Tetapi bagaimana jika kita diuji dengan kesenangan, keasyikan dan kenikmatan?
Ketika itulah ada di kalangan kita yang mula lupa diri. Jika sebelum ini dia begitu taat dengan perintah tuhan, tapi bila diuji dengan kesenangan, dia mula lupa diri. Dia terlupa bahawa nikmat yang diberikan itu juga adalah ujian dari Allah.
Jika kita terus leka dengan ujian kenikmatan, tunggulah saatnya di mana kita akan "JATUH".

Friday, 8 October 2021

Jangan biarkan Ketakutan Melampau menjejaskan hidup kita

 

Ibn Sina pernah menjalankan satu experimen. Dia meletakkan dua ekor kambing dalam kandang yg berbeza.
Kambing pertama diletakkan berhampiran serigala tetapi kambing itu dikurung dalam sangkar yang terkunci. Manakala kambing kedua pula diletakkan dalam sangkar yg jauh dari ancaman.
Selepas sebulan dalam sangkar, kambing pertama mati kerana dia tertekan dan ketakutan yang terlampau disebabkan terlalu risau yang serigala itu mungkin akan mengancamnya.
Manakala kambing kedua pula, didapati masih hidup seperti biasa.

Hasil dari pemerhatian ini beliau membuat kesimpulan bahawa sikap terlalu risau pada diri, stress yang melampau dan overthinking adalah tidak baik untuk diri.

Dalam Islam, kita digalakkan untuk mengingati mati agar kita dapat meningkatkan lagi kualiti ibadat. Namun jika setiap saat kita mengingati mati sehingga menjejaskan kehidupan harian, ini menunjukkan kita sedang mengalami masalah kesihatan mental yang dinamakan 'Anxiety Disorder' (dengan izin 🤣).

Apa Anxiety disorder ni?
Anxiety disoder adalah salah satu daripada penyakit psikiatri, di mana penghidap@mangsa akan mengalami masalah kecelaruan emosi, resah atau risau yang terlampau terhadap sesuatu musibah tanpa sebab atau alasan yang kukuh seperti dia merasa takut akan ditimpa kemalangan secara mengejut.

Ketakutan ini menyebabkan dia tidak boleh menjalani kehidupan hariannya dengan tenang. Jantungnya berdegup kencang setiap masa. Ada ketikanya pula dia terasa seolah-olah sesak nafas dan gelisah tidak bersebab.

Fikirannya juga sentiasa tertanya-tanya adakah dia akan mengalami kemalangan sekejap lagi. Ini menyebabkan dia tidak mahu keluar pergi ke tempat kerja atau bertemu rakan-rakan di luar rumah. Dia bimbang dia bakal terlibat dalam kemalangan. Malah lebih teruk lagi dia lebih suka berulang alik ke hospital atau klinik kerana dia merasa lebih selamat jika berada di sana.

Gejala-gejala yang di alami itu merupakan indikasi yang menunjukkan mangsa sedang mengalami gangguan psikiatri. Oleh itu dia memerlukan bantuan, sama ada dari ahli keluarga, rakan terdekat atau tenaga pakar (perubatan).

Jika perkara ini tidak diatasi, mangsa ketakutan melampau ini boleh mengalami kemurungan dan lama-kelamaan dia akan membuat keputusan membunuh diri demi menghentikan kerisauan yang dialami.

Jika ada di kalangan saudara atau ahli keluarga kalian yang mengalami gejala seperti yang disebutkan tadi, tolong bagi sedikit sokongan emosi kepadanya sebelum dia terjerumus ke tahap yang lebih teruk.

Jika anda tidak mampu atau tidak tahu untuk memberi sokongan moral, bawalah mangsa kepada organisasi kesihatan mental untuk mendapatkan sessi kaunseling.

Individu yang mempunyai masalah Anxiety ini sememangnya memerlukan rawatan atau terapi kerana masalah tersebut bukan saja boleh menjejaskan kehidupan, malah boleh meragut nyawa mereka.

Jangan biarkan masalah ini menjejaskan hidup mereka!

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...