Friday, 18 June 2021

Social Anxiety Part 1

 



Pernah tak korang dengar apa itu Sosial enxiety?

Sosial enxiety adalah ketakutan yang kuat dan berterusan untuk diperhatikan dan dinilai oleh orang lain.
Di mana apabila seseorang itu menghadapi 'penyakit' atau masalah ini, dia akan jadi risau dan takut tak bersebab . Dia rasa seolah-olah dirinya sedang dinilai atau diteliti oleh orang lain. Ini berlaku apabila dia berada di tempat awam atau ketika menghadiri sesuatu majlis keramaian. Baik majlis kenduri kahwin atau reunion bersama bekas kawan-kawan sekolah dulu.
Sosial enxiety ni berbeza dengan perasaan malu. Perasaan malu biasanya untuk jangka pendek saja dan ia tidak mengganggu kehidupan seseorang. Kita mungkin akan merasa segan untuk berjumpa dengan orang yang kita tidak kenali pada permulaannya tapi selepas beberapa minit bertegur sapa, kita akan kembali seperti biasa. begitu juga jika diminta berucap di hadapan khalayak. Mungkin seminit dua, kita rasa seram sejuk tapi selepas itu kita dapat berucap seperti biasa.
Namun tidak kepada mereka yang mengalami masalah sosial enxiety ini. Individu ini akan rasa segan dan malu secara berterusan sehingga mengganggu kemampuannya untuk bekerja atau berkenalan dengan orang yang di luar keluarga mereka.
Bagaimana untuk mengenali sama ada anda juga ada masalah ini?
Caranya mudah saja, jika anda berjumpa dengan orang baru atau menghadiri satu-satu majlis keramaian, anda mula rasa gementar, berpeluh dan resah. Rasa seolah-olah diri anda sedang diperhatikan. Seterusnya anda rasa seperti 'blank' dan tak tahu nak buat apa. Ini tanda yang menunjukkan anda menghadapi masalah sosial enxiety.
Masalah sosial enxiety ini perlu diatasi kerana boleh mengganggu kehidupan kita seharian terutamanya kehidupan kita dalam masyarakat. Kita akan mengelakkan diri daripada mengambil bahagian dalam tugasan kumpulan atau berhadapan dengan masyarakat. Akhirnya kita akan dianggap sebagai kera sumbang dan seterusnya dipulau oleh masyarakat setempat.
Kenali masalah ini dan cuba perbaiki diri

Friday, 11 June 2021

Bodoh dan buat-buat bodoh

 



Dua tiga hari lepas hangat betul netizen bercerita tentang kenyataan Prof Muhaya yang meminta supaya wanita 'belajar untuk jadi bodoh-bodoh sikit' untuk memikat lelaki@suami. Dan abam tengok ramai wanita kat luar sana sudah 'triggered' dengan statement prof. Muhaya ni sehingga ada yang mengecam beliau..

Alaaa... Rileks la.. Jangan la pembaris sangat cik kak..

Pada pendapat abam, ada maksud tersirat dari ayat "buat-buat bodoh" yang yang prof tu cuba sampaikan.

Bila abam dengar dan tonton klip video beliau, baru abam dapat tangkap maksud sebenar dia.

Actually, bukan prof Muhaya suruh wanita ni jadi bodoh sehingga 'downgrade' diri mereka sampai senang kena pijak dek lelaki tapi dia cuma nak wanita di luar sana tu kurangkan sikit tunjuk sikap 'serba tahu' atau 'kurang ajar' di depan suami. Terutamanya jika wanita tu levelnya atau pangkatnya lebih tinggi berbanding suami.

Sebabnya dalam agama, kita ada peranan dan level masing-masing.Contohnya, Mem abam di tempat kerja, dia berjawatan Matron (so kira dia salah sorang orang besar di klinik dia). Jadi staff bawahan dia kena dengar arahan dia. Manakala abam juga sorang incas di tempat abam bertugas. Jadi anak buah abam pun mesti dengar pendapat dan arahan abam.

Kalau ikut logik, kami berdua ni 'sama level'.
Tapi itu cerita di tempat kerja. Bila berada di rumah, Mem abam dah tak boleh nak tunjuk pandai atau tunjuk power di depan abam sebab bila dia berada di rumah secara otomatik 'level' atau pangkat dia sebagai boss akan 'down' kepada pangkat isteri.

Jika abam ada buat silap ke apa ke, Mem masih boleh marah dan tegur abam tapi marah dan tegur dia tu bukannya seperti dia marah atau tegur staff bawahan dia di tempat kerja. Ini kerana hukum islam menuntut supaya seorang isteri itu patuh dan hormat pada suami. Tak kira isteri tu lebih berpangkat atau lebih tinggi pendidikannya berbanding suami.

Jadi, abam rasa tak salah untuk isteri tu 'buat-buat bodoh' dan tidak terlalu menunjuk yang dia ni seorang yang pandai dan berkuasa di depan suami di rumah, walaupun isteri tu adalah seorang professor di sebuah universiti atau dia berjawatan sebagai CEO di sebuah syarikat, sedangkan suaminya hanyalah seorang Pekerja Am di jabatan kerajaan.

Tinggalkan pangkat dan jawatan puan-puan tu di pejabat atau office masing-masing bila sudah 'punch out' dari office atau organisasi tempat kerja puan-puan. Sila 'sauk' atau pakai baju kelawar dan jadilah seorang isteri bila mana puan-puan melangkah kaki masuk ke dalam rumah. InsyaAllah dengan ini rumah tangga yang dibina itu akan sentiasa harmoni dan bahagia.

Ini ulasan atau pemahaman abam tentang video klip Prof Muhaya semalam. Pendapat orang dan pemahaman orang lain, abam tak tahu. Ini kerana persepsi kita berbeza.
Wallahuaklam..

Dr Usry Abdullah

Sabtu 12 Jun 2021

Thursday, 3 June 2021

Pentingnya Ventilasi untuk mencegah jangkitan


Dalam posting abam semalam, kita ada sentuh tentang penemuan terbaru oleh pakar kesihatan tentang cara penularan Covid 19 ini. Jika sebelum ini mereka menyatakan yang virus Covid ini merebak melalui droplet (titisan air liur), iaitu ketika pesakit atau pembawa itu batuk atau bersin, kini penemuan terbaru mendapati virus Covid juga boleh merebak melalui udara.

Bagaimana ia merebak melalui udara? korang tengok semula posting abam semalam. Abam tak nak ulang point yang sama di sini.

Bila cara merebaknya sudah advance, maka langkah pencegahannya pun perlulah 'advance' juga. Barulah kita dapat mengawal atau menghidari virus ini dari terkena kepada kita.
Semalam, abam ada 'mention' yang salah satu darinya ialah dengan memakai 'double face mask'. Dengan memakai double 'face mask', ia mampu memberi kita 95% perlindungan dari jangkitan berbanding memakai seldpis saja 'face mask'.

Manakala langkah kedua untuk membantu kita menghidari virus ini dari terkena kepada kita atau ahli keluarga kita ialah dengan menjaga sistem ventilasi. Sama ada di rumah, di tempat kerja, di surau atau mana-mana premis.

Ini kerana seperti yang abam 'mention' semalam, bila seseorang pesakit atau pembawa virus itu batuk atau bersin, 'aerosol' yang keluar dari mulut pesakit atau pembawa itu boleh pergi sejauh 5-10 meter dan berpeluang untuk menjangkiti orang yang berada dalam lingkungan tersebut.

Apa jadi jika dia bersin atau batuk di dalam bilik yang mempunyai penghawa dingin? Jawapannya, 'aerosol' yang keluar dari mulut dia akan masuk ke dalam sistem penghawa dingin yang berada di dalam bilik itu dan kemudiannya akan dihembus semula ke ruangan bilik melalui 'blower' penghawa dingin. Aerosol ini seterusnya akan berlegar di dalam bilik itu untuk beberapa ketika. Sekiranya ada orang yang tidak memakai 'mask' memasuki bilik itu, dia berpeluang untuk dijangkiti.

Jadi, untuk menghidari perkara ini dari berlaku, langkah kedua yang mesti kita beri perhatian ialah dengan menjaga ventilasi rumah, surau, masjid atau pejabat kita.

Sentiasa pastikan udara dalam rumah, pejabat atau surau dan masjid kita bersih. Caranya ialah dengan membuka tingkap dan membiarkan udara luar masuk pada setiap pagi. Dengan membuka tingkap, kita akan membenarkan udara luar untuk masuk dan men'dilute' aerosol atau virus yang ada berlegar di dalam ruang udara bilik rumah kita sebelum ianya dibawa keluar. Dengan ini udara dalam rumah kita kembali segar.

Cuba periksa adakah rumah atau tempat bekerja kalian memenuhi standard kesihatan yang abam sebutkan ini? iaitu mempunyai sistem ventilasi yang baik. Jika bilik atau ruang kediaman kalian tidak memenuhi standard tadi, dapatlah kiranya kalian keluarkan sedikit belanja untuk 'renovation'. Pasang tingkap dan pastikan ia dibuka pada setiap hari, terutamanya waktu pagi. Tindakan ini dapat membantu menghindari kalian wabak ini. InsyaAllah...

3 Jun 2021
* ini bilik study merangkap bilik solat abam.Tak ada kena mengena dengan rumah orang lain.


 

Wednesday, 2 June 2021

Dah boleh dah untuk kita prakrtiskan memakai 'double mask'.

 

Sewaktu pandemik Covid 19 ini mula muncul pada awal bulan Mac 2020 yang lalu, pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Covid 19 boleh merebak melalui titisan air liur (droplet). Virus ini akan menjangkiti seseorang itu jika dia terkena titisan air liur mangsa Covid sewaktu mangsa itu bersin atau batuk.

Dengan ini pihak WHO telah menggariskan beberapa langkah bagaimana untuk kita mengelakkan diri dari terkena jangkitan Covid ini. Antaranya ialah dengan memakai pelitup hidung dan mulut (mask) dan mengamalkan penjarakan sosial 1 meter.

Menurut mereka, bila kita memakai mask dan mengamalkan penjarakan 1 meter, kita dapat menghindarkan diri dari terkena titisan air liur pesakit atau pembawa sekiranya dia secara tidak sengaja bersin atau batuk di hadapan kita. Dengan ini kita akan terselamat.

Namun begitu, beberapa minggu kebelakangan ini, satu lagi cara penyebaran virus Covid 19 ini telah dikesan. Kali ini pihak WHO dan pakar kesihatan mendakwa bahawa virus Covid ini semakin 'advance' cara penyebarannya. Menurut mereka, virus ini tidak saja boleh merebak melalui 'droplet' tetapi juga melalui udara.

Mereka mendapati 'aerosol', iaitu titisan halus yang keluar ketika seseorang itu bersin atau batuk boleh pergi sejauh 5 hingga 10 meter. Ini seterusnya berisiko untuk menjangkiti orang yang berada dalam lingkungan tersebut.

Oleh itu, menurut mereka, amalan memakai mask dan penjarakan 1 meter yang kita amalkan sekarang ini sudah tidak berapa berkesan lagi melindungi kita dari jangkitan. Langkah terkini yang kita boleh amalkan ialah dengan memakai 'double mask' sebagaimana yang pernah praktiskan oleh DG Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Norhisham beberapa minggu lepas.

Menurut pakar kesihatan, dengan menggabungkan pelitup muka yang bersesuaian sama ada jenis surgical mask (pelitup muka pembedahan) kemudian digabungkan dengan cloth mask (pelitup muka jenis fabrik) akan membantu menapis lebih banyak partikel ( aerosol) berbanding hanya memakai satu pelitup muka saja. Kalau tak salah abam, amalan memakai 'double face mask' ini adalah 95% lebih berkesan untuk melindungi kita berbanding hanya memakai selapis saja face mask.

Abam harap, kepada mereka yang berkemampuan atau individu yang bertugas atau berurusan di tempat yang berisiko seperti hospital atau sentiasa berada di kawasan awam yang 'crowded', tak salah rasanya untuk kita sama-sama praktiskan amalan terbaru ini.

Bak kata orang tua-tua, mencegah itu lebih baik dari merawat. Tak salah untuk keluar belanja lebih sikit asalkan ia bermanafaat. Tambahan pula varian atau jenis virus Covid ni dah bermacam jenis. Ada jenis Afrika, jenis UK dan yang terkini ialah jenis India.

Bila virus pun dah pelbagai spesis, eloklah kita bersedia dengan extra protection. Apalah salahnya kita berbelanja lebih sikit demi keselamatan diri.

Semoga dengan mengamalkan 'extra protection' ini kita semua semakin dijauhi dari wabak.
Selamat mencuba.
Rabu
2 Jun 2021

Friday, 28 May 2021

Akhirnya, Total Lockdown dilaksanakan bermula 1 hingga 14 Jun 2021


 

Alhamdulillah, akhirnya apa yang dicadangkan oleh kebanyakan pakar kesihatan telah disambut baik oleh kerajaan dibawah pimpinan TSMY atau lebih mesra dipanggil 'Abah kau'.

Setelah kes mencecah 8,000 kes sehari, akhirnya dengan berat hati Abah kau terpaksa mengunumkan 'total lockdown' fasa pertama yang bakal dilaksanakan bermula 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021.
Pada fasa pertama ini, hanya sektor penting seperti sektor kesihatan dan makanan saja yang dibenarkan beroperasi. Manakala sektor pembuatan, pertanian, perlombongan, hartanah, dan perkhidmatan dihentikan sementara waktu. Jadi ramai yang akan dipaksa duduk di rumah.
Apa pun abam memang menyokong penuh tindakan Abah kau ini memandangkan kes harian yang semakin menaik serta kapasiti hospital di seluruh negara yang semakin terhad. Mengikut teorinya, selagi tidak dilaksanakan total lockdown, selagi itu kes tak akan berkurang.
Tidak dinafikan yang total lockdown ini akan memberi kesan buruk kepada ekonomi keluarga terutamanya kepada mereka yang bergaji hari. Bila total lockdown dalaksanakan, bermakna tak dapatlah mereka keluar berkerja. Bila tak keluar bekerja, tak adalah duit untuk menyara keluarga.
Tetapi inilah saja cara yang kita ada setakat ini. Kerajaan cuba untuk megelakkan total lockdown ini dengan melaksanakan PKP 3.0 dan PKP syarat diperketatkan tetapi tidakan itu ternyata GAGAL.
Jika kita lihat kepada trend jangkitan Covid 19 sejak beberapa bulan yang lalu, kita dapati kadar jangkitan kes berkadar langsung dengan aktiviti seharian kita. Semakin bebas kita bergerak ke sana sini, semakin tinggi kadar jangkitan. Oleh itu, larangan keluar rumah secara paksa (total lockdown) ini adalah langkah terbaik untuk menurunkan semula jumlah kes Covid 19 ini.
Diharap total lockdown yang bakal dilaksanakan nanti dapat membantu mengawal wabak Covid 19 ini. Kepada mereka yang terkesan, abam harap kalian dapat bersabar. Hadapi dengan tenang. Mungkin ada tu 'gula-gula' yang bakal diumumkan oleh Abah nanti untuk meringankan bebab kalian sebagai mana yang diumumkan semasa PKP 1.0 tahun lalu. Kita tunggu dan lihat...
29 Mei 2021

Saturday, 22 May 2021

PKP penuh tak jadi. So kita jaga diri sendiri...



Harapan untuk kita mendengar perutusan khas dari Abah kau berkenaan ‘total lockdown’ nampaknya tidak kesampaian. Antara yang kecewa dengan keputusan Abah kau ini termasuklah abam. Terasa kecewa sangat... Hahaha...

Walaupun semalam kes Covid ini masih lagi tinggi iaitu 6,320 dengan 50 kematian tatapi abah kau tetap tidak mahu melaksanakan ‘total lockdown’ sebagaimana yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020 tahun lepas. Abah kau melalui MKN Cuma meluluskan ‘PKP Diperketatkan’ dengan beberapa syarat.
Memandangkan kerajaan sudah gagal membendung kes Covid ini dari terus merebak, nampaknya mulai sekarang kita terpaksalah mengambil lagkah proaktif iaitu dengan menjaga diri sendiri untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini. Kita sudah tidak boleh lagi berharap kepada kerajaan untuk menjaga kita dengan mengubal pelbagai undang-undang dan SOP yang dah tunggang langgang.
Untuk itu, Di sini abam sarankan tiga perkara yang perlu diambil perhatian oleh kita untuk membendung Covid ini dari merebak ke dalam komuniti.
‘Per pe’ (perkara pertama) yang abam rasa kita perlu ambil serius ialah berkenaan pemakaian pelitup muka (mask) sewaktu keluar ke tempat awam. Dan bila sebut tetang pemakaian ‘mask’ ini, abam ada baca satu artikel yang menggalakkan supaya kita memakai ‘mask’ dua lapis atau ‘double’. Ini kerana ada article yang mengatakan bahawa Covid ini merebak tidak setakat melalui ‘droplet’ saja tetapi juga melalui ‘air borne’. Oleh itu dengan memakai ‘mask’ dua lapis atau double ini, ia dapat memberi kita ‘extra protection’ dari tersedut 'particle' halus yang berada di udara sekiranya ada orang bersin atau batuk.
Langkah kedua yang abam rasa penting ialah ‘self lockdown’. Memandangkan kerajaan abah kau tak mahu laksanakan ‘total lockdown’ seperti mana yang dicadangkan beberapa orang pakar kesihatan sebelum ini atas alasan untuk menjaga kepentingan ekonomi negara, jadi kita terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan melaksanakan ‘self lockdown’ seperti yang disarankan oleh Ketua Pengarah Kesihatan. ‘Self lockdown’ ini boleh kita lakukan dengan menghadkan aktiviti keluar rumah seperti mengunjungi kawasan sesak dan tempat awam seperti pasar tani, pusat beli belah dan majlis keramaian.
Akhir sekali untuk mengelakkan diri kita terkena jangkitan ialah dengan meningkatkan sistem imuniti. Ini kerana dari apa yang diperhatikan, mereka yang mempunyai sistem imuniti yang kuat mempunyai peluang lebih besar untuk ‘survive’ berbanding individu yang imunitinya lemah sekiranya individu itu dijangkiti Covid. Antara langkah mudah yang boleh diambil untuk meningkatkan sistem imuniti ialah dengan mengamalkan pengambilan makanan seimbang, rajin melakukan riadah dan mengamalkan pengambilan supplimen.
Semoga tiga langkah pencegahan yang kita ambil ini dapat melindungi kita semua dari dijangkiti wabak ini.
Selamat berhari minggu..
23 Mei 2021

Saturday, 15 May 2021

Vitamin D dan sistem imuniti



Kebanyakan dari kita tidak sedar bahawa selain dari untuk menjaga kesihatan tulang, vitamin D juga sebenarnya berfungsi untuk menguatkan sistem imuniti badan melawan penyakit. Terutamanya penyakit yang berkaitan dengan system pernafasan seperti selesema dan SARS.

Vitamin D berfungsi untuk merangsang sistem tubuh kita menghasilkan sejenis enzim yang di beri nama ‘Cathelicidin’. Cathelicidine ini seterusnya akan bertindak melemahkan dan menghapuskan mikro oragnisma yang cuba masuk ke dalam badan kita. Sekiranya tubuh kita mengalami kekurangan vitamin D, enzim ini tidak dapat dihasilkan dengan cukup dan kita akan mudah terdedah kepada serangan penyakit yang disebutkan tadi.

Banyak kajian telah dijalankan untuk membuktikan pendapat ini. Antaranya ialah kajian yang dijalankan oleh Dr Cynthia Aranow dari Feinstein Institute Medical Research, New York. Dari kajian yang beliau jalankan, didapati individu yang mengalami masalah kekurangan Vitamin D akan mengalami sistem imuniti yang lemah berbanding mereka yang mempunyai kandungan vitamin D yang cukup di dalam badannya. Ini menyebabkan kumpulan ini mudah terkena penyakit.

Satu lagi kajian telah dijalankan ke atas pesakit Covid 19 pada tahun lepas di Spanyol. Dalam kajian tersebut, pesakit Covid telah dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama telah diberi rawatan ubat Hydroxcyhloroquine dan supplimen Vitamin D dan kumpulan kedua pula hanya diberi rawatan Hydrocychloroquine tanpa diberi supplimen Vitamin D.

Pada akhir kajian didapati 90% pesakit yang tidak mendapat supplimen Vitamin D terpaksa dimasukkan ke ICU akibat komplikasi Covid 19 sedangkan hanya 10% saja pesakit dari kumpulan pesakit yang mendapat supplimen Vitamin D terpaksa dimasukkan ke ICU akibat yang sama.

Berdasarkan kepada dua kajian yang dijalankan ini, ramai pakar perubatan mula mengesyorkan kepada kita supaya mengamalkan pengambilan vitamin D untuk membantu meningkatkan sistem imuniti bagi melawan penyakit.

Menurut mereka, sebagaimana pentingnya pengambilan vitamin C sebagai supplimen harian anda, pengambilan supplimen Vitamin D juga nampaknya tidak boleh lagi dipandang sebelah mata.

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...