Thursday, 18 June 2026

Pilih Pertarungan Yang Berbaloi

 



Pernahkah anda menjadi mangsa fitnah walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan?

Lebih menyakitkan apabila orang yang menyebarkan cerita itu ialah seseorang yang anda kenal. Seseorang yang pernah bekerja bersama, ketawa bersama dan berkongsi meja yang sama di pejabat.
Pada saat itu, kita rasa marah. Kita mahu mempertahankan diri. Kita mahu membalas supaya orang lain tahu siapa yang sebenarnya bersalah.
Tetapi adakah setiap serangan perlu dibalas? Atau kadang-kadang, diam dan terus melangkah adalah kemenangan yang lebih besar?
Itulah yang dialami oleh Azlan.

.
Azlan sudah bekerja di sebuah syarikat selama hampir sepuluh tahun. Dia bukan pekerja yang paling petah bercakap. Dia bukan juga orang yang pandai mengambil hati bos. Tetapi semua orang tahu bahawa Azlan seorang yang rajin, amanah dan sentiasa menyiapkan kerjanya dengan baik. Pada mulanya, dia menyangka bahawa prestasi kerja adalah perkara paling penting untuk berjaya. Namun semakin lama, dia mula melihat sesuatu yang berbeza.

Di pejabat itu, bukan semua perkara ditentukan oleh hasil kerja. Ada kumpulan-kumpulan kecil yang sentiasa cuba mendapatkan perhatian pihak atasan. Ada yang suka menyebarkan cerita tentang orang lain. Ada yang sengaja memburukkan rakan sekerja supaya mereka kelihatan lebih baik dan ada yang sanggup menikam dari belakang demi kenaikan pangkat.

Politik pejabat semakin menjadi-jadi.

Suatu hari, Azlan menjadi mangsa. Seorang rakan sekerja menyebarkan khabar angin bahawa dia gagal menyiapkan satu projek penting. Sedangkan hakikatnya projek itu berjaya diselesaikan hasil kerja keras pasukannya.

Dalam masa beberapa hari sahaja, cerita itu tersebar ke seluruh pejabat. Ada yang mula memandang serong kepadanya. Ada yang mula menjauhkan diri.

Azlan berasa marah. Sangat marah dan dia mahu membalas.... Dia mahu membuka semua rahsia dan kesalahan individu yang telah memfitnahnya. Dia mahu mempertahankan dirinya di hadapan semua orang. Malam itu, dia mengadu kepada ayahnya yang sudah bersara. Selepas mendengar cerita tersebut, ayahnya hanya tersenyum.
"Lawanlah jika ia melibatkan maruah dan kebenaran."
Azlan mengangguk.
"Tetapi jangan lawan hanya kerana ego."
Dia terdiam.
Ayahnya menyambung lagi. "Kadang-kadang orang yang melempar lumpur kepada kita sebenarnya mahu kita turun ke dalam lumpur yang sama."
"Kenapa?"
"Sebab di dalam lumpur, semua orang akan nampak sama kotor."

Kata-kata itu membuatkan Azlan berfikir panjang.

Keesokan harinya, dia membuat keputusan yang tidak dijangka ramai. Dia tidak membalas. Dia tidak menyebarkan cerita balas. Dia tidak memburukkan sesiapa. Sebaliknya, dia fokus kepada kerjanya. Dia mendokumentasikan semua hasil kerja dengan lebih teliti. Dia juga menjaga hubungan profesional dengan semua orang. Dia membiarkan prestasinya bercakap bagi pihak dirinya.
Beberapa bulan kemudian, kebenaran mula muncul sedikit demi sedikit. Pihak pengurusan akhirnya menyedari siapa yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap kejayaan projek tersebut. Mereka juga mula melihat corak permainan politik yang berlaku di dalam jabatan itu. Orang yang selama ini menyebarkan fitnah akhirnya kehilangan kepercayaan daripada ramai pihak. Manakala Azlan pula ditawarkan jawatan yang lebih baik dalam unit lain.
Pada hari terakhirnya di jabatan lama, seorang rakan menghampirinya.
"Aku kagum dengan kau."
"Kenapa?"
"Kalau aku jadi kau, aku dah lama bergaduh dengan mereka."
Azlan tersenyum.
"Dulu aku pun fikir begitu."
"Habis tu?"
"Aku sedar tak semua peperangan perlu dimenangi."
Rakannya mengerutkan dahi.
Azlan memandang keluar tingkap.
"Ada pertempuran yang kalau kita menang sekalipun, kita tetap rugi. Rugi masa. Rugi tenaga. Rugi ketenangan."
Dia tersenyum kecil.
"Kadang-kadang kemenangan sebenar ialah apabila kita tidak membiarkan orang lain mengubah siapa diri kita."

Namun ujian Azlan sebenarnya belum berakhir.

Beberapa bulan selepas insiden fitnah itu, syarikat mereka menerima satu projek besar bernilai jutaan ringgit. Projek tersebut mendapat perhatian pihak pengurusan tertinggi kerana ia melibatkan pelanggan yang sangat penting. Azlan dilantik sebagai salah seorang penyelaras projek.

Pada mulanya semuanya berjalan lancar. Tetapi ketika membuat semakan laporan kemajuan projek, Azlan menemui sesuatu yang meragukan. Beberapa angka dalam laporan kewangan tidak sepadan dengan rekod sebenar. Perbezaannya bukan sedikit tetapi mencecah puluhan ribu ringgit.

Pada mulanya Azlan menyangka mungkin berlaku kesilapan teknikal. Namun selepas membuat semakan berulang kali, dia mendapati terdapat beberapa tuntutan yang diluluskan walaupun kerja yang berkaitan sebenarnya belum dilaksanakan sepenuhnya. Apa yang lebih mengejutkan, individu yang terlibat bukanlah kakitangan biasa. Ia melibatkan seorang pengurus kanan yang mempunyai pengaruh besar dalam syarikat.


Azlan mula berada dalam dilema.


Jika dia berdiam diri, hatinya tidak tenang kerana dia tahu sesuatu yang tidak betul sedang berlaku. Tetapi jika dia bersuara, kerjayanya mungkin terancam.

Beberapa hari kemudian, pengurus tersebut memanggil Azlan ke biliknya.

"Aku dengar kau banyak buat semakan kebelakangan ni."

Azlan hanya mengangguk.

Pengurus itu tersenyum nipis.

"Kadang-kadang dalam dunia kerja ni, tak semua benda perlu kita tahu."

Azlan faham maksud tersirat di sebalik ayat itu.

Sebelum dia keluar dari bilik, pengurus tersebut menambah lagi.

"Kau pekerja yang bagus. Aku tak mahu masa depan kau rosak sebab perkara yang tak ada kena-mengena dengan kau."

Malam itu Azlan tidak dapat tidur.

Dia tahu itu bukan nasihat. Itu adalah amaran.


Beberapa minggu selepas itu, keadaan menjadi semakin pelik. Permohonan cutinya yang selama ini mudah diluluskan mula ditangguhkan. Cadangannya dalam mesyuarat sering diketepikan. Malah ada rakan-rakan yang mula menjauhkan diri seolah-olah mereka takut dikaitkan dengannya. Azlan mula merasakan tekanan yang sangat berat.Bukan kerana kerja tetapi kerana dia sedang dihukum secara senyap.

Suatu hari, isterinya melihat dia termenung lama di meja makan. "Apa yang abang fikirkan?"

Azlan menarik nafas panjang.

"Abang rasa kalau abang buat benda yang betul, abang mungkin kehilangan kerja."

Isterinya terdiam seketika.

Kemudian dia berkata perlahan.

"Tapi kalau abang buat benda yang salah, abang mungkin kehilangan diri sendiri."


Kata-kata itu menusuk jauh ke dalam hati Azlan. Selepas berfikir panjang, dia membuat keputusan.Dia mengumpulkan semua dokumen dan bukti yang berkaitan. Dia memastikan setiap fakta disusun dengan kemas tanpa menuduh sesiapa secara melulu. Kemudian dia menyerahkan laporan tersebut melalui saluran audit dalaman syarikat.


Selepas itu, dia hanya menunggu.

Bulan demi bulan berlalu.

Tekanan di tempat kerja semakin kuat. Ada ketika dia hampir menyesal dengan keputusannya. Namun dia tetap bertahan. 

Akhirnya siasatan dalaman selesai. Audit mendapati memang wujud beberapa ketidakpatuhan serius dalam pengurusan projek tersebut. Pihak pengurusan tertinggi mula mengambil tindakan. Beberapa individu dipindahkan. Ada yang dikenakan tindakan tatatertib dan ada yang terpaksa meletakkan jawatan.

Yang mengejutkan Azlan, namanya dipanggil oleh Ketua Pegawai Operasi syarikat.

"Kami tahu bukan mudah untuk melakukan apa yang awak lakukan."

Azlan hanya diam.

"Tetapi syarikat memerlukan lebih ramai orang yang berani mempertahankan perkara yang betul walaupun ketika tiada siapa yang menyokong mereka."

Ketika keluar dari bilik itu, Azlan teringat kembali kata-kata ayahnya.

"Jangan lawan kerana ego."

Kini dia benar-benar faham maksudnya. Ada peperangan yang perlu dielakkan kerana ia hanya memuaskan hati tetapi ada juga peperangan yang perlu dihadapi kerana ia melibatkan prinsip dan kebenaran dan dalam kedua-dua keadaan itu, kemenangan sebenar bukanlah mengalahkan orang lain.

Sebaliknya, kemenangan sebenar ialah apabila kita masih mampu menjaga integriti diri walaupun berada di bawah tekanan yang paling kuat.

.

Moral of the story:
Ramai orang menyangka bahawa menjadi kuat bermaksud sentiasa menang dalam setiap pertarungan. Bila dicabar, mesti melawan. Bila dikritik, mesti membalas. Bila disakiti, mesti membuktikan bahawa kita lebih hebat daripada orang yang menyakiti kita.
Dalam dunia pekerjaan, akan sentiasa ada politik, gosip, hasad dengki dan perebutan pengaruh. Kita tidak boleh mengawal tindakan orang lain tetapi kita boleh memilih bagaimana untuk bertindak balas.

Bukan semua pertarungan berbaloi untuk disertai. Ada pertengkaran yang jika kita menang sekalipun, kita tetap kehilangan sesuatu yang berharga. Kita kehilangan masa. Kita kehilangan tenaga dan kita juga mungkin kehilangan ketenangan yang selama ini kita bina.

Kadangkala ada orang yang sengaja mencari kesalahan kita. Ada yang suka mengkritik apa sahaja yang kita lakukan. Ada juga yang cuba menjatuhkan kita dengan kata-kata atau fitnah. Tapi, jika setiap perkara itu kita mahu layan dan balas, hidup kita akan habis dengan melayan drama yang tidak berkesudahan.

Sebab itu, kebijaksanaan bukan terletak pada kemampuan untuk melawan semua orang. Kebijaksanaan itu terletak pada kemampuan untuk memilih. Memilih apa yang perlu diperjuangkan dan apa yang lebih baik dilepaskan.

Ada perkara yang perlu kita pertahankan kerana ia melibatkan maruah, prinsip dan kebenaran. Tetapi ada juga perkara yang lebih baik kita lepaskan kerana ia hanya melibatkan ego dan perasaan mahu menang.

Tidak semua tuduhan perlu dijawab. Kadang-kadang diam adalah jawapan yang paling matang. Kadang-kadang berundur bukan tanda kalah, tetapi tanda kita cukup bijak untuk menjaga hati dan kewarasan diri sendiri.

Tetapi meninggalkan pertempuran itu dengan maruah, ketenangan dan prinsip yang masih terpelihara.

Islam juga mengajar perkara yang sama. Firman Allah SWT, yang bermaksud: 

"Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya..." (Surah Al-Qasas: 55)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa tidak semua kata-kata negatif perlu dibalas. Ada ketika, berpaling dan meneruskan kehidupan adalah pilihan yang lebih mulia daripada melayan perkara yang hanya menambah luka di hati.

Kadangkala hidup bukan tentang memenangi setiap pertarungan.Kadangkala hidup adalah tentang mengetahui pertarungan mana yang patut dilepaskan.
Mengikut konsep psikologi, Kita tidak akan mampu mengawal apa yang orang lain katakan tentang diri kita. Kita juga tidak mampu memaksa semua orang memahami niat dan kebaikan yang telah kita lakukan. Tetapi kita mampu mengawal bagaimana kita bertindak balas terhadap semua itu.
Orang yang kuat bukanlah orang yang sentiasa berlawan tapi orang yang kuat ialah orang yang tahu bila perlu bertahan, dan bila perlu berjalan pergi demi menjaga ketenangan hati.
.
DR.Usrynorie

No comments:

Dia Kehilangan Pekerjaan, Tetapi Menemui Sesuatu Yang Jauh Lebih Berharga

  "Ramai orang sanggup berjalan bersama kita ketika jalan hidup sedang lurus dan mudah. Namun apabila badai datang dan segalanya mula b...