Pernah tak anda tertanya-tanya, mengapa hati terasa semakin sempit sedangkan hidup sebenarnya tidaklah seteruk yang kita sangka?
Bukan kerana kita kekurangan segalanya. Bukan juga kerana ujian kita paling berat.
Kadang-kadang, puncanya hanya satu, iaitu kita terlalu sibuk mengambil tahu tentang hidup orang lain. Seperti yang saya kongsi dalam video saya di bawah.
Kita sibuk melihat siapa yang lebih berjaya. Kita sibuk mengira berapa banyak harta yang dimiliki orang lain. Kita sibuk membincangkan kesilapan dan kelemahan mereka, seolah-olah hidup kita sudah sempurna.
Tanpa sedar, kita terlalu asyik menjaga tepi kain orang sehingga terlupa menjahit koyakan pada kain sendiri.
Kadang kala, kita rasa hidup kita ni makin sempit walaupun hidup kita ni tidaklah terlalu susah. Ini disebabkan kita ada satu masalah, iaitu kita terlalu sibuk mengambil tahu tentang hidup orang lain.
Orang yang sentiasa mencari kesalahan orang lain biasanya tidak mempunyai banyak masa untuk memperbaiki dirinya sendiri. Sebaliknya, orang yang benar-benar ingin maju akan lebih sibuk memperbaiki akhlak, ilmu, ibadah dan kehidupannya sendiri.
Dalam Islam, Rasulullah SAW mengajar kita supaya meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat kepada diri kita kerana ketenangan sering hadir apabila kita belajar untuk fokus kepada perkara yang berada dalam kawalan kita, bukan sibuk memikirkan urusan yang bukan tanggungjawab kita.
Justeru.. Kurangkan menjaga tepi kain orang. Sebaliknya, lebihkan menjaga hati sendiri kerana hidup ini akan terasa lebih lapang apabila kita berhenti menjadi pengkritik kehidupan orang lain dan mula menjadi pembaiki kehidupan diri sendiri.
Ketenangan bermula apabila kita berhenti memandang ke kiri dan ke kanan, lalu mula memberi perhatian kepada diri sendiri.
.
DR.Usrynorie
No comments:
Post a Comment