Monday, 29 June 2026

Kalau Nak Hidup Tenang, Tak Perlu La Kita Ambil Tahu Perihal Orang Lain..



Sekali fikir, terasa lucu juga perangai orang kita pada hari ini.

Kita tidak tahu berapa muka surat al-Quran yang kita baca minggu ini tetapi kita tahu siapa yang baru beli kereta baru. Kita tidak tahu berapa kali kita beristighfar hari ini tetapi kita tahu kisah Timah bergaduh dengan laki dia dan kita tidak tahu keadaan diri sendiri tetapi kita begitu sibuk mengikuti perkembangan hidup orang lain.

Jadi, tak hairanlah jika kita rasa yang minda kita cepat penat. Sebabnya kita memikul terlalu banyak cerita yang sebenarnya bukan urusan kita.

Ironinya, semakin banyak kita mengetahui tentang kehidupan orang lain, makin sedikit ketenangan yang tinggal di dalam hati kita. Hati yang sepatutnya kita penuhi dengan rasa syukur, harapan dan zikir kepada Allah akhirnya dipenuhi dengan cerita-cerita yang bukan milik kita.

Yang lebih menyedihkan lagi ialah kita mula membandingkan rezeki, mengukur kejayaan, mempersoalkan keadilan, bahkan kadangkala timbul rasa iri tanpa kita sedari. Sedangkan setiap manusia sedang memikul ujian yang berbeza.

Bila hati terlalu sibuk memerhatikan kehidupan orang lain, kita akan terlupa untuk menikmati nikmat yang sedang ada di depan mata. Akhirnya, kita bukan kehilangan apa-apa di dunia ini, tetapi kita kehilangan sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu ketenangan jiwa.

Hakikatnya, tidak semua perkara kita perlu ambil tahu. Ada masanya, menjaga ketenangan hati lebih penting daripada mengetahui segala-galanya.

.

Pada zaman dahulu, kalau seseorang mahu mengetahui cerita orang lain, dia perlu keluar rumah, bertandang dari satu rumah ke satu rumah. Hari ini keadaannya jauh berbeza. Dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon, kita boleh mengetahui hampir seluruh kehidupan seseorang.

Kita melihat gambar percutian mereka. Kita membaca status mereka. Kita menonton video mereka. Kita mengikuti setiap perkembangan hidup mereka tanpa mereka sedar.

Masalahnya bukan kerana teknologi. Masalahnya ialah apabila kita terlalu sibuk memerhatikan kehidupan orang lain sehingga kita terlupa untuk mengurus kehidupan sendiri.

Semakin kita melihat apa yang dimiliki orang lain, semakin mudah hati kita membuat perbandingan.

"Kenapa la dia lebih berjaya daripada aku?"

"Kat mana la dia dapat modal buat rumah besar gitu?"

"Kenapa la hidup dia nampak lebih bahagia berbanding aku?"

Sedangkan kita hanya melihat babak yang mereka mahu tunjukkan, bukan keseluruhan cerita hidup mereka.

Media sosial ni diibaratkan seperti sebuah pentas. Ramai orang memuat naik detik-detik terbaik dalam hidup mereka tetapi jarang sekali mereka berkongsi malam-malam yang dipenuhi air mata, kegagalan, tekanan dan kesedihan.

Dan kita pula sebok membandingkan kehidupan sebenar kita dengan "highlight reels" kehidupan orang lain. Hasilnya, di situlah ketenangan mula hilang.


.

Sikap suka ambil tahu urusan orang lain juga boleh membuka pintu kepada penyakit hati seperti iri hati, dengki, buruk sangka dan suka mengumpat. Pada mulanya kita sekadar ingin tahu saja. Tapi lama-kelamaan kita mula membanding. Kemudian kita mula menghakimi dan akhirnya hati kita mula jadi semakin sempit.

Sedangkan Islam mengajar kita supaya menyibukkan diri dengan perkara yang memberi manfaat.

Rasulullah SAW bersabda:

"Antara tanda baiknya Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya."

(Hadis Riwayat al-Tirmizi)


.

Mungkin selama ini kita menyangka punca minda kita tidak tenang dan serabut adalah kerana terlalu banyak masalah. Rupa-rupanya bukan.

Kadang-kadang minda kita penat kerana terlalu banyak memikul cerita yang bukan milik kita. Kita sibuk memerhatikan siapa yang lebih berjaya, kita sibuk mengambil tahu siapa yang lebih bahagia dan kita sibuk mengikuti setiap perkembangan hidup orang lain.

Sedangkan hidup kita sendiri semakin terabai.

Hakikatnya, hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan menjadi penonton kepada perjalanan hidup orang lain. Allah tidak pernah minta kita menjadi hakim kepada kehidupan manusia lain dan Allah juga tidak pernah minta kita mengetahui semua cerita yang berlaku di sekeliling kita. Yang Allah minta hanyalah kita jaga hati, perbaiki diri dan laksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita.

Sebab itu, bila fikiran kita mula terasa sesak, cubalah kurangkan melihat ke luar, sebaliknya mula melihat ke dalam. Lihat hubungan kita dengan Allah. Lihat solat kita yang ditunaikan yang semakin tergesa-gesa, pandang Al-Quran yang makin lama kita tinggalkan, ibu bapa yang mungkin menunggu panggilan daripada kita atau melihat pasangan dan anak-anak yang lebih memerlukan perhatian dan senyuman kita yang sentiasa tunduk pada skrin telefon.

Mungkin di situlah sebenarnya punca ketenangan yang selama ini kita cari. Ia berada di dalam rumah kita sendiri. Di sejadah yang kita sujud di atasnya, di helaian al-Quran yang belum sempat kita tatap atau pada wajah-wajah insan yang sentiasa mendoakan serta menyayangi kita tanpa syarat.

.

Kesimpulannya, makin sedikit kita menyibukkan diri dengan kehidupan orang lain, sebenarnya makin banyak ruang yang Allah bukakan untuk ketenangan dalam hati kita kerana hati yang sentiasa dipenuhi syukur tidak mempunyai ruang untuk iri.

Hati yang sentiasa mengingati Allah tidak punya banyak masa untuk membandingkan rezekinya dengan orang lain dan hati yang benar-benar mengenal Tuhan akan sentiasa percaya bahawa setiap takdir yang Allah berikan adalah yang terbaik, walaupun tidak sama seperti orang lain.


.

Justeru, jika hari ini hati kita terasa penat, serabut dan sukar menikmati nikmat yang Allah kurniakan, mungkin sudah tiba masanya kita melepaskan satu beban yang selama ini kita pikul tanpa sedar iaitu sikap suka ambil tahu cerita orang!

Lepaskan keinginan untuk sentiasa memerhatikan kehidupan orang lain kerana setiap kali mata kita terlalu sibuk melihat rezeki orang lain, pada saat itulah kita akan terlupa untuk mensyukuri rezeki yang sedang berada dalam genggaman sendiri.

InsyaAllah, ketenangan bukan hadir apabila kita mengetahui segala-galanya tentang orang lain. Ketenangan akan hadir bila hati kembali mengenal Tuhan, mensyukuri nikmat yang ada dan reda dengan jalan hidup yang telah Allah tetapkan.

Kadang-kadang, jalan paling dekat menuju ketenangan bukanlah dengan memiliki lebih banyak tetapi dengan berhenti memandang apa yang dimiliki oleh orang lain.


.

Jika anda pernah menjadi salah seorang yang terlalu sibuk memikirkan kehidupan orang lain sehingga lupa menjaga hati sendiri, percayalah... Anda tidak keseorangan.

Buku HIDUP KENA KUAT menghimpunkan kisah dan artikel seperti ini, tentang emosi, syukur, penerimaan diri, memaafkan orang dan bagaimana kita boleh hidup dengan lebih tenang. Digabungkan dengan konsep motivasi dan psikologi Islam.

Jika artikel ini memberi manfaat kepada anda, saya percaya buku Hidup Kena Kuat ini akan memberi lebih banyak ruang untuk anda merenung dan memperbaiki diri.


.

DR.Usrynorie

 

No comments:

Dulu Kita Tak Punya Banyak, Tapi Kita Lebih Bahagia

  Masih ingat lagi zaman kita bersekolah dahulu? Setiap pagi, emak akan menyelitkan beberapa keping duit syiling ke dalam poket baju sekolah...