Tuesday, 16 June 2026

Sebelum Membenci Seseorang, Bacalah Kisah Ini



Di setiap pejabat, ada satu perkara yang bergerak lebih pantas daripada e-mel dan mesej WhatsApp.Gosip. Ia bergerak dari satu meja ke satu meja. Dari pantri ke bilik mesyuarat. Dari seorang pekerja kepada pekerja yang lain dan selalunya, reputasi seseorang boleh rosak sebelum orang itu sempat mempertahankan dirinya.

Begitulah yang berlaku kepada Faiz.

Ketika Faiz melaporkan diri di sebuah syarikat logistik sebagai pegawai operasi baru, ramai pekerja sudah mempunyai tanggapan negatif terhadapnya. Bukan kerana mereka mengenalinya tetapi kerana mereka telah mendengar cerita tentangnya.
Sumber cerita itu datang daripada Kamal, seorang staf senior yang sudah lama bekerja di situ.
"Dengar cerita dia ni susah bekerjasama."
"Kawan aku di syarikat lama dia kata ramai tak suka dia."
"Dia ni jenis suka cari muka depan bos."
"Berhati-hati sikit dengan dia."
Cerita-cerita itu disampaikan dengan penuh yakin seolah-olah semuanya benar. Aina, salah seorang pegawai di syarikat itu, turut mendengar cerita tersebut. Pada mulanya dia tidak ambil peduli. Namun apabila cerita yang sama diulang berkali-kali oleh orang yang berbeza, sedikit demi sedikit dia mula mempercayainya.
Tanpa sedar, setiap kali melihat Faiz, dia mula mencari bukti untuk mengesahkan apa yang didengarnya. Apabila Faiz makan seorang diri, dia menganggap lelaki itu sombong. Apabila Faiz tidak banyak bercakap dalam mesyuarat, dia menganggap lelaki itu tidak mesra. Apabila Faiz berbual dengan pengurus jabatan, dia menganggap lelaki itu sedang membodek. Hakikatnya, Faiz tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap dirinya. Tetapi persepsi negatif sudah terbentuk.
Beberapa bulan kemudian, syarikat mereka menerima satu projek penting daripada pelanggan besar. Projek itu melibatkan beberapa jabatan dan memerlukan kerjasama rapat antara ahli pasukan.Aina dan Faiz ditempatkan dalam kumpulan yang sama. Ketika mengetahui perkara itu, Aina berasa tidak senang. Dia mula membayangkan projek tersebut akan menjadi sukar kerana terpaksa bekerja dengan seseorang yang dianggap bermasalah.
Namun apa yang berlaku sangat berbeza. Faiz sentiasa datang awal. Dia sering menjadi orang terakhir meninggalkan pejabat. Dia membantu ahli pasukan yang menghadapi masalah teknikal. Malah dia sanggup mengorbankan hujung minggu untuk memastikan projek berjalan lancar. 
Tetapi satu insiden berlaku yang mengubah segalanya. Suatu pagi, fail penting projek tiba-tiba hilang daripada sistem syarikat. Pihak pengurusan menjadi panik. Tarikh penghantaran semakin hampir. Jika fail itu tidak ditemui, syarikat boleh kehilangan pelanggan bernilai jutaan ringgit.
Tidak lama kemudian, khabar angin mula tersebar. Ramai mula menuding jari kepada Faiz.
"Aku rasa dia yang buat."
"Memang dari dulu aku tak percaya dia."
"Mungkin dia nak sabotaj projek."
Kamal menjadi orang paling aktif menyebarkan syak wasangka itu. Dalam masa beberapa jam sahaja, hampir seluruh pejabat percaya bahawa Faiz adalah puncanya. Aina sendiri mula ragu-ragu. Walaupun pengalamannya bekerja dengan Faiz sangat positif, cerita yang didengarnya selama ini kembali bermain dalam fikirannya. Mungkin betul apa yang orang kata. Mungkin selama ini dia hanya berpura-pura baik. Hari demi hari, Faiz mula dipulaukan. Tidak ada lagi ajakan untuk keluar makan tengah hari bersama, ada yang bercakap tentangnya dari belakang dan ada yang memandangnya dengan penuh curiga.
Namun Faiz tetap diam. Dia terus bekerja seperti biasa.
Seminggu kemudian, pihak IT akhirnya berjaya mengesan punca sebenar masalah.Rupa-rupanya fail tersebut terpadam akibat kesilapan seorang pekerja lain yang tersalah konfigurasi sistem. Faiz langsung tidak terlibat. Lebih mengejutkan lagi, rekod sistem menunjukkan Faiz sebenarnya orang yang cuba menyelamatkan fail tersebut sebelum ia hilang sepenuhnya.
Seluruh pejabat terdiam.
Kebenaran akhirnya terbongkar.
Aina berasa sangat bersalah. Dia teringat bagaimana dirinya hampir mempercayai tuduhan terhadap seseorang yang tidak bersalah. Lebih menyakitkan, dia sedar bahawa Faiz telah dihukum oleh persepsi orang ramai sebelum siasatan dilakukan.
Pada petang itu, Aina memberanikan diri menemui Faiz di kafe pejabat. Dia melihat Faiz sedan minum berseorangan . Wajahnya Faiz kelihatan tenang walaupun dia tahu di sebalik ketenangan itu tersimpan seribu perasaan yang mungkin sukar diungkapkan. Di sekelilingnya, suasana pejabat berjalan seperti biasa. Beberapa pekerja lain sedang berbual dan ketawa bersama di meja belakang. Mereka membentuk kelompok-kelompok kecil yang mesra. 
Dia mengambil keberanian untuk menghampiri lelaki itu. Dia ingin meminta maaf. kerana dia juga pernah menjadi sebahagian daripada mereka yang mempercayai fitnah itu.
"Saya minta maaf."
Faiz memandangnya.
"Sebab?"
"Saya pernah percaya perkara buruk tentang awak."
Faiz tersenyum kecil.Senyuman yang tenang. 
"Tak apa."
"Awak tak marah?"
Faiz menghela nafas perlahan. Bukan kerana luka itu tidak pernah wujud. Tetapi kerana dia sudah terlalu lama belajar menerima hakikat bahawa tidak semua orang akan memahami penderitaan orang yang difitnah.
"Dulu saya marah."
Dia memandang ke arah tingkap kafe.
"Tapi saya sedar satu perkara."
"Apa dia?"
"Orang biasanya lebih mudah mempercayai cerita daripada mencari kebenaran."
Aina terdiam.
Faiz menyambung.
"Sebab itu saya berhenti cuba meyakinkan semua orang. Saya hanya fokus menjadi orang yang baik."
Air mata hampir menitis di mata Aina. Kerana dia tahu lelaki itu bercakap daripada pengalaman yang sangat menyakitkan. Kadangkala yang paling menyakitkan bukanlah fitnah itu sendiri tetapi apabila orang yang kita hormati dan percayai juga turut mempercayai fitnah.
Hari itu, Aina belajar satu pengajaran yang tidak akan dilupakannya. Khabar angin bukan sekadar cerita. Kadangkala ia boleh merosakkan maruah seseorang. Kadangkala ia boleh memusnahkan hubungan dan kadangkala ia boleh membuatkan kita membenci seseorang yang sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap kita.
.
Beberapa bulan kemudian, satu insiden berlaku. Kamal menyebarkan satu lagi cerita tentang seorang pekerja baru. Kononnya pekerja itu seorang yang bermasalah dan sukar bekerjasama. Namun kali ini keadaan sudah berbeza. Tiada siapa terus mempercayainya seperti dahulu. Malah beberapa orang staf mula bertanya,
"Awak pasti ke cerita itu betul?"
"Awak dengar daripada siapa?"
"Ada bukti ke?"
Kamal sedikit terkejut. Sebelum ini, hampir semua orang menerima setiap cerita yang dibawanya tanpa banyak soal tetapi sekarang tidak lagi. Orang ramai sudah mula belajar berfikir. Mereka mula mengingati apa yang berlaku kepada Faiz. Mereka mula sedar bagaimana seorang yang baik hampir kehilangan reputasinya hanya kerana khabar angin.
Yang lebih mengejutkan Kamal ialah semakin ramai staf mula melihat satu corak yang selama ini tidak disedari. Apabila berlaku je konflik, nama Kamal mesti ada. Apabila tersebar je cerita negatif, nama Kamal ada dan apabila hubungan antara rakan sekerja menjadi renggang, Kamal juga ada di tengah-tengah cerita tersebut. Bukan sekali. Bukan dua kali tetapi berkali-kali.
Suatu petang ketika makan tengah hari di pantri, Kamal mula bercerita tentang seorang staf lain. Namun kali ini suasana menjadi sunyi. Tiada siapa yang menyampuk. Tiada siapa yang bertanya lanjut dan tidak ada lagi yang kelihatan berminat.
Kamal memandang sekeliling.
"Apa? Korang tak nak tahu ke?"
Seorang staf bangun. Sebelum dia melangkah pergi, dia sempat berkata  sambil tersenyum.
"Lebih baik kita dengar daripada orang itu sendiri."
Yang lain mengangguk setuju. Buat pertama kali, Kamal berasa dirinya tidak lagi menjadi sumber maklumat yang penting. Tetapi anehnya, dia tetap tidak berubah. Dia masih suka mengambil tahu hal orang lain. Dia masih suka menyebarkan cerita yang belum tentu benar. Dia masih suka membuat andaian dan kesimpulan tentang kehidupan orang lain. Perangainya tetap sama.
Namun sesuatu yang lebih penting telah berubah. Orang di sekelilingnya. Mereka sudah belajar daripada kesilapan lalu. Mereka tidak lagi mudah percaya. Mereka tidak lagi terus menghukum seseorang berdasarkan cerita yang didengar. Mereka memilih untuk mengenali seseorang terlebih dahulu sebelum membuat penilaian.
Manakala Faiz pula terus menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia tidak pernah membalas perbuatan Kamal. Dia tidak pernah cuba menjatuhkannya. Dia hanya fokus kepada kerja dan melayan orang dengan baik.Lama-kelamaan, ramai staf mula menghormatinya.Bukan kerana dia mempertahankan dirinya tetapi kerana sikapnya membuktikan siapa dirinya yang sebenar.
Pada suatu hari, ketika melihat Faiz membantu seorang pekerja baru, Aina tersenyum sendirian. Dia teringat bagaimana dia pernah mempercayai segala cerita buruk tentang lelaki itu. Kini dia sedar bahawa manusia yang paling berbahaya bukanlah orang yang diperkatakan tetapi orang yang sentiasa mencipta cerita. 
.
Pengajaran
Khabar angin boleh membuatkan kita membenci seseorang yang tidak pernah menyakiti kita. Fitnah boleh membuatkan kita menjauh daripada orang yang sebenarnya baik. Sebab itu jangan menilai seseorang berdasarkan apa yang anda dengar. Sebaliknya, kenalilah mereka sendiri dan berikan mereka peluang yang adil kerana mungkin suatu hari nanti anda akan menyedari bahawa orang yang diperkatakan itu bukan masalah sebenar.
Masalah sebenar ialah orang yang tidak pernah berhenti memperkatakan orang lain dan apabila kita belajar berfikir sendiri, kuasa khabar angin akan hilang dengan sendirinya.
Salah satu kesilapan terbesar dalam hidup ialah membina pendapat tentang seseorang berdasarkan suara orang lain. Ada orang kehilangan kawan akibat fitnah, ada orang kehilangan peluang kerana khabar angin dan ada juga orang yang menanggung luka panjang hanya kerana orang lain memilih untuk mempercayai cerita sebelum mencari kebenaran.
Justeru, jangan biarkan gosip menjadi cermin yang menentukan cara anda melihat manusia.Kerana ada orang yang kehilangan kawan kerana fitnah. Kenalilah manusia dengan hati yang terbuka kerana tidak semua yang kuat bercakap itu jujur, dan tidak semua yang diam itu bersalah.
Dalam buku Hidup Kena Kuat, saya turut membicarakan tentang isu ini, kerana ia merupakan penyakit senyap yang semakin biasa dalam kehidupan kita. Kerana, dalam kehidupan seharian kita akan sentiasa bertemu dengan dua jenis manusia ini. Yang pertama, mereka yang sibuk membina kehidupan sendiri. Yang kedua, mereka yang terlalu sibuk membicarakan kehidupan orang lain atau lebih dikenali sebagai Makcik Bawang.

Makcik bawang ini bukan sekadar gelaran. Ia adalah sikap. Sikap yang gemar menyebarkan cerita tanpa memastikan kebenarannya. Sikap yang menjadikan khabar angin sebagai hiburan dan fitnah sebagai bahan perbualan.

Malangnya, ramai yang tidak sedar bahawa satu cerita yang disampaikan dengan santai boleh menjadi beban yang ditanggung orang lain selama bertahun-tahun. 

Oleh itu, belajarlah menjadi manusia yang mencari kebenaran sebelum membuat penilaian. Kerana kadangkala, satu-satunya perkara yang membezakan antara keadilan dan kezaliman ialah kesanggupan kita untuk mendengar kedua-dua belah cerita.

Inilah antara sebab mengapa saya menyelitkan isu ini dalam buku Hidup Kena Kuat. Kerana saya percaya, antara luka paling dalam yang pernah dialami manusia ialah apabila dia dihukum atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Saya berharap buku ini bukan sekadar menjadi bahan bacaan, tetapi juga menjadi peringatan buat kita semua. Agar kita tidak menjadi mata rantai yang menyambung fitnah, tidak menjadi telinga yang mudah mempercayai khabar angin dan tidak menjadi manusia yang menghukum sebelum mengetahui kebenaran.

Kerana, hanya dengan satu fitnah yang kita sebarkan, boleh meninggalkan kesan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain sepanjang hidupnya.


DR. Usrynorie


No comments:

Sebelum Membenci Seseorang, Bacalah Kisah Ini

Di setiap pejabat, ada satu perkara yang bergerak lebih pantas daripada e-mel dan mesej WhatsApp. Gosip.  Ia bergerak dari satu meja ke satu...