Saturday, 13 June 2026

Hargai Apa yang Dimiliki

 

Tentu ramai di kalangan kita masih ingat sewaktu kita dibesarkan di kampung satu ketika duhulu. Di zaman 70an atau 80an, biasanya, majoriti perkerjaan mak dan ayah kita di kampung ialah penoreh getah atau penanam padi. Manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai pula, tentu sekali pekerjaan ayah mereka ialah nelayan.

 Majoriti hidup kita pada ketika itu serba sederhana dan ada juga yang hidup di bawah paras miskin atau dalam istilah sekarang dipanggil kumpulan B40. Disebabkan pendapatan mak ayah yang sekadar cukup makan saja, maka mereka membesarkan kita dalam keadaan serba ala kadar.

 Makanan harian kita setiap hari selepas pulang dari sekolah biasanya menu-menu kampung yang ringkas seperti ikan selayang atau ikan pekasam goreng, ulam pucuk paku dan pucuk ubi yang direbus atau sayur kampung yang lain. Tidak ada kailan ikan masin, pak choi masak sos tiram atau kangkong goreng belacan. Cuma, bila sesekali ada tetamu datang bertandang atau pada hari perayaan barulah kita dapat merasa makanan yang ‘high class’ sikit, iaitu gulai ayam kampung atau sup daging cincang.

 Pakaian kita tidak ada yang berjenama dan biasanya dibeli di pasar malam atau yang dijual secara longgok di pekan sehari atau pasar minggu. Kalau berjenama pun, mak ayah kita cuma mampu beli yang tiruan (Orang kampung kami panggil pakaian made in Thailand). Pakailah kita pakaian itu sehingga ianya lusuh, tidak muat atau pun koyak, barulah ayah dan mak kita ganti atau beli baharu. Selagi masih boleh dipakai, kita akan pakai.

Namun, yang peliknya ialah walaupun kehidupan kita pada ketika itu serba kekurangan, kita tetap rasa bahagia. Jika diberi peluang untuk kita putar semula masa, saya yakin 99.99% daripada kita ingin kembali ke zaman itu.

             Sekarang kita sudah dewasa. Kita sudah ada pekerjaan tetap dan berkeluarga. Pendapatan kita juga boleh tahan. Malah ada yang pendapatannya mencecah lima angka setiap bulan. Syukur Alhamdulillah.

                 Jadi. seiring dengan bertambahnya pendapatan, gaya hidup kita juga sudah berubah. Kita tidak lagi membeli pakaian yang dijual di pasar malam atau di kedai-kedai biasa. Baju dan seluar kita semuanya berjenama. Begitu juga dengan pakaian seragam sekolah untuk anak-anak kita. Kita belikan mereka uniform sekolah jenama Canggih, Falcon atau pun TomX school. Setiap jenama itu pula dilengkapi dengan ciri-ciri istimewa seperti ada tudung tidak perlu digosok atau baju yang 'tak perlu dibasuh’.

 Makanan harian kita yang dihidang oleh isteri di atas meja makan juga telah berubah 360 darjah. Sekali-sekala saja kita boleh jumpa nasi putih dan ikan goreng atau ikan keli limbat gulai lemak. Menu kita sekarang semuanya ’first class’. Jika hidangan atas meja makan kita tidak ada ayam goreng, daging masak merah atau udang celup tepung, anak-anak akan kata yang hidangan kita pada hari itu tidak lengkap.

 Begitulah perubahan hidup kita. Daripada keadaan yang serba kekurangan dan susah bertukar menjadi senang dan mewah. Malangnya, apabila ditanya pada sesetengah orang, mereka tetap mengatakan yang hidup mereka ada ‘something’ yang tak kena. Mereka masih terasa yang hidup mereka kosong.

Padahal, kalau ikut logik akal, bila kita sudah ada pendapatan sendiri dan hidup pula dalam serba mewah, kita akan jadi lebih bahagia. Lebih gembira. Tetapi sebaliknya lain pula yang berlaku.

 Mengapa boleh jadi begini?

 Salah satu sebab mengapa kita rasa sedemikian adalah kerana kita tidak tahu menghargai apa yang kita ada!

 Untuk hidup ini terasa lebih gembira, kadang-kadang kita perlu belajar bersikap seperti kanak-kanak. Terbuka dan tidak pernah menghitung apa yang mereka ada. Kanak-kanak juga menerima setiap pemberian dengan hati yang riang dan teruja. Walaupun adakala ianya tidak menepati cita rasa. Sikap berlapang dada seperti inilah yang membuatkan hidup mereka penuh ceria.

 Jika dilihat melalui perspektif hukum tarik menarik (Law of attraction) pula, apabila kita redha dengan satu-satu perkara dan ikhlas menerima apa yang diberi atau yang dimiliki, jiwa akan lebih tenang. Ketenangan jiwa ini akan menerbitkan rasa bersyukur. Ini seterusnya akan menarik lebih banyak lagi nikmat lain untuk datang ke dalam hidup kita.


Petikan dari buku 'Hidup Kena Kuat'..


No comments:

Hargai Apa yang Dimiliki

  Tentu ramai di kalangan kita masih ingat sewaktu kita dibesarkan di kampung satu ketika duhulu. Di zaman 70an atau 80an, biasanya, majorit...