Ada juga yang begitu seronok apabila mengetahui perniagaan orang lain merosot. Bukan kerana mereka membenci individu tersebut, tetapi kerana kegagalan orang lain membuatkan mereka kurang terasa tentang kegagalan yang sedang mereka alami.
Tanpa sedar, mereka menjadikan kelemahan orang lain itu sebagai "ubat" untuk menenangkan hati sendiri.
.
Cuma dia tak sedar bahawa perasaan seronok itu hanya bertahan seketika.
Selepas puas bercerita dan mengulas kehidupan orang lain, mereka tetap pulang dengan masalah yang sama. Hutang yang masih belum selesai. Hubungan dengan pasangan yang masih dingin, atau anak-anak dia yang masih kurang diberi perhatian dan kerja yang masih bertimbun sehingga membuatkan hati dia masih tidak tenang.
Dia tak sedar yang dia hanya mengalihkan perhatian daripada masalah sendiri, bukannya menyelesaikannya.
.
Sebab itu, orang yang terlalu sibuk menjaga tepi kain orang selalunya lambat melihat kelemahan diri sendiri. Mereka tahu segala cerita tentang jiran, saudara-mara dan rakan sekerja, tetapi tidak sedar bahawa kehidupan mereka sendiri juga sedang meminta perhatian.
Mereka terlalu fokus melihat kelemahan orang sehingga terlupa melihat kelemahan diri. Mereka begitu rajin membincangkan kehidupan orang lain sehingga tidak sempat membina kehidupan sendiri dan yang lebih menyedihkan lagi, tabiat ini boleh menjadi ketagihan.
Apabila satu cerita selesai, mereka akan mencari cerita yang lain pula. Apabila tiada cerita baru, mereka mula membuat andaian. Lama-kelamaan, mereka tidak lagi bercakap berdasarkan fakta tetapi berdasarkan sangkaan.
Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan kita:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain serta janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain." (Surah Al-Hujurat: 12)
Ayat ini sangat jelas. Allah bukan sahaja melarang kita mengumpat, malah melarang kita mencari-cari kelemahan orang lain.
Mengapa?
Kerana apabila hati sudah terbiasa mencari keburukan manusia, ia akan menjadi buta terhadap kebaikan mereka. Lama-kelamaan, kita akan melihat dunia melalui lensa yang negatif. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain akan kelihatan salah pada pandangan kita.
.
Sebenarnya, setiap manusia sedang berjuang dengan ujian masing-masing. Orang yang kita lihat sentiasa tersenyum mungkin sedang menyembunyikan kesedihan yang besar. Orang yang kelihatan mewah mungkin sedang dibebani hutang dan orang yang kita sangka bahagia mungkin sedang menangis setiap malam.
Tetapi kita tidak nampak semua itu. Kita hanya melihat apa yang dipaparkan di hadapan mata, lalu membuat kesimpulan mengikut sangkaan sendiri. Lebih malang lagi apabila sikap menjaga tepi kain orang menyebabkan kita lupa kepada tanggungjawab sendiri.
Rumah sendiri tidak terurus, tetapi sibuk mengulas rumah tangga orang lain. Anak sendiri kurang perhatian tetapi kita dok sibuk ambil tahu hal anak jiran. Ibadah sendiri masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi kita begitu mudah mengkritik kekurangan orang lain.
Bukankah itu satu kerugian?
Bayangkan jika masa yang kita gunakan untuk mendengar gosip ditukar kepada membaca al-Quran. Masa yang kita gunakan untuk mengkritik orang lain digunakan untuk belajar ilmu baru. Masa yang kita gunakan untuk mencari kelemahan manusia digunakan untuk memperbaiki akhlak sendiri.
Sudah tentu hidup kita akan berubah menjadi lebih baik.
Orang yang benar-benar matang tidak terlalu sibuk melihat kehidupan orang lain. Mereka lebih sibuk bertanya kepada diri sendiri.
"Apa yang boleh aku baiki hari ini?"
"Bagaimana aku boleh menjadi suami, isteri, ibu bapa atau pekerja yang lebih baik daripada semalam?"
Soalan-soalan seperti inilah yang akan membawa perubahan dalam hidup, kerana pada akhirnya, kita tidak akan ditanya di hadapan Allah tentang berapa banyak keburukan orang yang kita ketahui. Sebaliknya, kita akan ditanya tentang diri kita sendiri. Tentang amalan kita, lidah kita, hati kita dan bagaimana kita menggunakan masa yang telah dipinjamkan oleh-Nya.
Allah SWT berfirman:
"Dan bahawa manusia tidak memperoleh selain apa yang telah diusahakannya." (Surah An-Najm: 39)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap orang bertanggungjawab terhadap kehidupannya sendiri. Kejayaan kita tidak bergantung pada kegagalan orang lain. Kebahagiaan kita juga tidak akan bertambah hanya kerana kita mengetahui kelemahan orang lain.
.
Justeru, jika kita benar-benar ingin hidup lebih tenang, kurangilah menjaga tepi kain orang. Gunakan tenaga itu untuk membina diri sendiri. Perbaiki hubungan dengan keluarga. Tambahkan ilmu. Dekatkan diri kepada Allah. Kejar impian yang masih belum tercapai. Kerana hidup ini terlalu singkat untuk dihabiskan dengan menjadi penonton kepada kehidupan orang lain.
Lebih baik kita menjadi insan yang sentiasa sibuk memperbaiki diri daripada menjadi insan yang sentiasa sibuk mencari kesalahan manusia. Itulah jalan menuju hati yang lebih tenang, jiwa yang lebih matang dan kehidupan yang lebih diberkati.
.
DR. Usrynorie

No comments:
Post a Comment