Pernahkah anda masuk ke sebuah pejabat atau komuniti yang baru?
Pada hari-hari pertama, anda berasa sedikit kekok. Semua orang kelihatan sudah mempunyai kelompok masing-masing. Mereka bergelak ketawa, berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain.
Kemudian, seseorang datang menghampiri anda lalu berkata, "Eh, awak tahu tak cerita pasal si fulan?"
Tanpa sedar, perbualan itu menjadi titik permulaan anda diterima dalam kelompok tersebut. Namun jika anda tidak memberi sebarang respon, hari demi hari anda akan mula disisihkan dari kumpulan tersebut. Mereka mengganggap anda bukan dari kumpulan atau 'klik' mereka.
Inilah salah satu sebab mengapa tabiat bergosip sangat sukar dihentikan.
Hakikatnya, gosip bukan sekadar tentang menyebarkan cerita. Dari sudut psikologi sosial, ia juga berfungsi sebagai alat untuk mewujudkan rasa kebersamaan atau sense of belonging dalam sesebuah kumpulan.
Sebagai manusia, kita mempunyai keperluan semula jadi untuk diterima oleh orang lain. Kita mahu merasa bahawa kita adalah sebahagian daripada sesuatu. Apabila seseorang mengajak kita berbual tentang orang lain, kita merasakan seolah-olah kita sedang diberi "akses khas" kepada maklumat yang tidak diketahui oleh orang luar. Perasaan ini secara tidak langsung membuatkan kita berasa lebih rapat dengan kumpulan tersebut.
Sebab itu, di pejabat, di kampung, di sekolah malah dalam kumpulan WhatsApp keluarga sekalipun, gosip sering menjadi "modal" untuk memulakan perbualan.
.
Ada orang tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan yang menarik. Jadi mereka memilih untuk bercakap tentang kehidupan orang lain. Lama-kelamaan, gosip menjadi bahasa yang menyatukan mereka.
Mereka ketawa bersama. Mereka berkongsi cerita bersama. Mereka mengkritik orang yang sama. Tanpa disedari, mereka mula merasakan hubungan mereka semakin akrab.
Namun persoalannya, adakah ikatan seperti ini benar-benar kukuh?
Jawapannya, tidak semestinya.
Ikatan yang dibina atas kelemahan orang lain biasanya tidak akan bertahan lama. Hari ini mereka bergosip tentang orang lain bersama kita. Esok lusa, tidak mustahil mereka pula akan bergosip tentang kita apabila kita tiada.
Sebab itu, orang yang terlalu gemar membawa cerita selalunya sukar mendapat kepercayaan dalam jangka masa panjang. Mereka mungkin mempunyai ramai kawan untuk berbual, tetapi sedikit orang yang benar-benar mempercayai mereka.
Lebih membimbangkan, tabiat bergosip perlahan-lahan mengubah cara kita melihat manusia. Sebelum mengenali seseorang, kita sudah membentuk persepsi berdasarkan cerita yang kita dengar.
Akibatnya, kita menghukum sebelum memahami. Kita membenci sebelum mengenali. Kita menjauh sebelum memberi peluang.
.
Banyak hubungan menjadi renggang bukan kerana salah faham yang sebenar, tetapi kerana cerita yang berpindah dari satu mulut ke satu mulut.
Bermula dengan satu ayat, kemudian ditambah sedikit di sana, dikurangkan sedikit di sini. Apabila sampai kepada orang yang terakhir, cerita itu sudah jauh berbeza daripada perkara yang sebenarnya berlaku.
Lebih menyedihkan, orang yang menjadi mangsa sering kali tidak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan. Mereka terus dihukum berdasarkan cerita yang didengar, bukan berdasarkan kebenaran yang sebenar.
Berapa banyak persahabatan putus hanya kerana khabar angin seperti ini. Berapa ramai adik-beradik yang bermasam muka kerana cerita yang diputar belit, berapa banyak hubungan suami isteri yang retak kerana kata-kata orang luar dan berapa ramai rakan sekerja saling menjauh hanya kerana mempercayai cerita yang tidak pernah disahkan. Sedangkan sebelum ini mereka adalah kawan rapat.
Apa yang lebih menyakitkan ialah cerita itu sering datang daripada orang yang kita percaya. Orang yang pernah makan semeja dengan kita, ketawa bersama kita, malah mungkin pernah kita anggap sebagai sahabat.
Sebab itulah luka yang ditinggalkan oleh gosip bukan sekadar luka pada nama baik seseorang. Ia merosakkan kepercayaan. Dan apabila kepercayaan sudah hancur, hubungan yang dibina bertahun-tahun lamanya juga boleh runtuh dalam sekelip mata.
.
Dalam Islam, perkara ini dipandang sangat serius.
Allah SWT berfirman:
Ayat ini menunjukkan bahawa prasangka, mencari keburukan orang dan mengumpat sering berlaku dalam satu rangkaian yang sama. Semuanya bermula apabila kita terlalu sibuk mengambil tahu kehidupan orang lain.
Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa antara tanda baiknya Islam seseorang ialah apabila dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.
.
Bayangkan jika setiap hari kita menggunakan masa yang sama untuk membaca buku, mempelajari ilmu baharu, memperbaiki hubungan dengan keluarga atau mendekatkan diri kepada Allah. Sudah tentu hidup kita akan menjadi jauh lebih tenang.
Hakikatnya, manusia tetap memerlukan hubungan sosial. Kita tetap memerlukan kawan, teman berbual dan komuniti yang membuatkan kita rasa dihargai.
.
Sebenarnya hubungan itu tidak semestinya dibina melalui gosip.
Kita boleh je bina persahabatan dengan berkongsi ilmu. Kita juga boleh bergelak ketawa tanpa menjadikan orang lain sebagai bahan cerita. Malah kita boleh berbual tentang pengalaman hidup, hobi, keluarga, impian atau perkara-perkara yang memberi inspirasi.
Malah, hubungan seperti inilah yang lebih sihat dan lebih berkekalan. Bukan dengan cara memulakan gosip atau cerita panas semata-mata.
Jika kita perhatikan orang-orang yang benar-benar matang, mereka jarang bercakap tentang manusia. Sebaliknya, mereka lebih suka bercakap tentang idea, penyelesaian dan bagaimana hendak menjadi insan yang lebih baik.
.
Pilihan sentiasa berada di tangan kita. Adakah kita mahu menjadi orang yang diterima kerana pandai membawa cerita, atau menjadi orang yang dihormati kerana pandai menjaga cerita?
Mungkin gosip mampu membuatkan kita rasa diterima oleh sesuatu kumpulan untuk seketika. Namun ketenangan hati dan penghormatan daripada orang lain hanya akan datang apabila kita belajar menjaga lidah, menjaga amanah dan memilih untuk bercakap perkara yang membawa manfaat.
Kerana persahabatan yang dibina atas kepercayaan akan bertahan lebih lama daripada persahabatan yang dibina atas cerita tentang kehidupan orang lain.
,
DR.Usrynorie

No comments:
Post a Comment