Semasa kecil dahulu hidup kami biasa-biasa saja. Rumah kami bukan rumah yang besar. Hanya sebuah rumah kampung yang sederhana. Dindingnya papan, lantainya kadang-kadang berbunyi apabila dipijak, dan bumbung zinknya akan bergema kuat setiap kali hujan lebat turun pada waktu malam.
Mulanya, di ruang tamu tak ada televisyen tapi bila dah ada kemampuan ayah beli sebuah televisyen. televisyen pun pattern lama dan kadang-kadang perlu ditepuk beberapa kali jika siarannya tidak jelas. Penghawa dingin, internet atau telefon pintar. Mana ada lagi pada zaman tu. Permainan video yang mahal pun tak ada. Jika teringin dan ada duit lebih, boleh la pergi ke bandar Kota Bharu, main game di pasaraya Hankyu Jaya atau Pasaraya Bersatu. Pasaraya yang setentang dengan stesyen bas Kota Bharu tu pun ada pusat mainan video juga. Saya dah lupa namanya.. haha..
Namun entah mengapa, waktu itu kami tetap bahagia. Kami tidak pernah merasa bahawa hidup kami kekurangan. Setiap petang selepas pulang dari mengaji quran, kami akan letakkan kembali atas almari lalu berlari keluar bermain bersama kawan-kawan. Kadang-kadang bermain bola di padang. Kadang-kadang bermain galah panjang. Kadang-kadang berlumba basikal mengelilingi kampung sehingga pakaian dipenuhi peluh dan debu.
Apabila azan Maghrib berkumandang, kami akan pulang ke rumah dengan perut yang lapar. Dan setiap kali itu juga, pasti ada makanan yang menunggu di atas meja. Kadang hanya ikan sardin goreng. Kadang telur dadar dengan kicap, budu dan sayur kampung. Tetapi pada waktu itu, semuanya terasa sangat sedap. Kami makan sambil bercerita tentang apa yang berlaku petang tadi. Ayah mendengar dan sesekali Ibu tersenyum. Tapi itulah antara saat-saat paling berharga dalam hidup.
Semasa kecil dahulu, kami juga tidak pernah bertanya berapa harga barang dapur. Kami tidak pernah tahu berapa bil elektrik yang perlu dibayar. Kami tidak pernah tahu berapa banyak hutang yang perlu dilangsaikan ayah pada setiap bulan. Kami hanya tahu bahawa setiap pagi kami bangun dengan pakaian sekolah yang bersih. Setiap hari kami dapat ke sekolah. Dan setiap malam kami tidur dengan perut yang kenyang.
Bertahun-tahun kemudian, apabila kami dewasa, barulah kami memahami sesuatu. Rupanya semua itu bukan berlaku dengan mudah. Rupanya ayah keluar bekerja sebelum matahari terbit dan pulang ketika matahari hampir terbenam. Rupanya ibu sentiasa mengira wang belanja berkali-kali sebelum pergi ke kedai. Rupanya ada banyak perkara yang mereka korbankan supaya anak-anak mereka tidak merasa kekurangan.
Ketika menjelang hari raya. Kami dapat baju baru walaupun cuma dibeli di pekan sehari. Kasut baru walaupun kadang-kadang cuma sepasang kasut sekolah. Tapi kami sangat gembira. Cuma kami perasan satu perkara, di mana ayah hanya memakai baju Melayu yang sama seperti tahun sebelumnya. Ibu pula hanya tersenyum dan berkata dia masih mempunyai baju yang elok. Namun ketika itu kami tidak memahami apa-apa. Hari ini baru kami sedar. Mereka bukan tidak mahu membeli untuk diri sendiri tapi mereka hanya mendahulukan anak-anak.
Kami juga masih ingat ketika demam, pada waktu malam, ibu tidak tidur. Dia akan bangun berkali-kali untuk memeriksa suhu badan kami. Kadang-kadang dia akan meletakkan kain basah di dahi. Jika kami tak larat, dia yang tolong suapkan ubat dan dia juga akan menemani kami sehingga tertidur semula.
Ketika itu kami menganggap semua itu perkara biasa. Tapi bila hari ini apabila kita sendiri menjadi ibu atau ayah, barulah kita faham. Tidak mudah menjaga anak yang sakit sepanjang malam sambil menahan keletihan. Tidak mudah tersenyum ketika hati sedang risau. Tetapi ibu bapa kita melakukannya tanpa pernah meminta balasan.
Ada satu perkara yang paling bernilai yang diberikan oleh ibu bapa kita. Bukan wang, bukan harta, bukan rumah. Tetapi adab. Mereka mengajar kita cara menghormati orang tua. Ucap terima kasih bila diberi sesuatu, minta maaf bila bersalah, bercakap dengan sopan, bantu jiran jika mereka dalam kesusahan dan tidak mengambil hak orang lain.
Mungkin ketika kecil kita menganggap nasihat itu membosankan. Tetapi apabila kita melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan sebenar, kita mula sedar bahawa adab membuka lebih banyak pintu daripada wang. Ramai orang memiliki kekayaan tetapi tidak semua memiliki akhlak yang baik. Ramai orang punya pendidikan tinggi tetapi tidak semua tahu menghormati orang lain dan ramai orang berjaya dalam kerjaya tetapi tidak semua berjaya menjadi manusia yang baik.
Hari ini, apabila melihat gambar-gambar lama keluarga, hati kita mula terasa sayu. Kita melihat wajah ayah yang dahulu gagah kini semakin dimamah usia. Kita melihat rambut ibu yang dahulu hitam kini dipenuhi uban. By the way, inu saya sudah pergi menghadap ilahi 8 tahun yang lalu ( Allahumarghfirlaha warhamha waafihi wa'fuanha).
Kita melihat rumah lama yang suatu ketika dahulu terasa sempit, tetapi kini menjadi tempat yang paling kita rindui. Dan kita mula sedar bahawa kebahagiaan sebenar bukan terletak pada apa yang kita miliki tetapi pada siapa yang pernah bersama kita.
Kadang-kadang kita sanggup memandu berjam-jam semata-mata untuk pulang ke rumah lama. Bukan kerana rumah itu cantik tapi kerana di situlah tersimpan seribu kenangan. Di situlah tempat ibu memanggil kita makan. Di situlah tempat ayah mengajar kita menunggang basikal dan di situlah tempat kita belajar erti kasih sayang, pengorbanan dan kesyukuran.
Kini, apabila kehidupan menjadi semakin sibuk, jangan lupa untuk menghargai mereka selagi masih ada. Lupa untuk hubungi ibu. Lupa untuk tanya khabar ayah. malah kita lupa untuk luangkan masa bersama mereka.
Kita mungkin memiliki segala yang pernah kita impikan. Rumah yang besar. Kereta yang mahal. Simpanan yang banyak. Tetapi kita tidak mampu membeli semula satu saat pun bersama ibu dan ayah yang telah pergi. Dan hari ini sedar, rupanya semasa kecil dahulu, kami tidak pernah miskin. Kita mungkin kekurangan wang tetapi kita kaya dengan kasih sayang. Kita kaya dengan pengorbanan. kita kaya dengan perhatian. Kita kaya dengan doa seorang ibu dan kita kaya dengan usaha seorang ayah yang tidak pernah berhenti berjuang demi keluarga.
Satu kekayaan yang sebenar. Kekayaan yang nilainya jauh lebih tinggi daripada wang yang ada di dalam akaun bank.
.
DR.Usrynorie


No comments:
Post a Comment