Monday, 15 June 2026

Setiap Orang ada takdir masing-masing.

 

Tak semua orang perlu sampai ke destinasi pada waktu yang sama. Ada yang Allah mudahkan rezekinya ketika muda. Ada yang dipilih untuk melalui lebih banyak ujian sebelum menikmati kemanisan hidup. Ada yang lambat berjaya, tetapi hatinya jauh lebih tenang. Semua itu bukan kebetulan, tetapi aturan Allah yang penuh hikmah.

Kerana setiap orang ada jalan hidup masing-masing, rezeki masing-masing, dan waktu masing-masing yang Allah susun dengan sebaik-baiknya. Justeru, jangan ukur langkah sendiri dengan langkah orang lain kerana beban yang mereka bawa kita tak nampak pun.

Teruskan berjalan perlahan-lahan, buat yang mampu, dan serahkan selebihnya kepada Allah, kerana tenang itu juga satu rezeki. Sebagaimana yang saya kongsi dalam video di bawah.



Rasa diri ketinggalan hanya akan menghancurkan kepercayaan diri, sedangkan perjalanan kita masih lagi jauh. Justeru, jangan meremeh diri sendiri dan jangan terlalu melihat kehidupan orang lain kerana belum tentu mereka juga memiliki apa yang kita miliki sekarang ini.

Setiap orang sedang melalui perjalanan hidup yang berbeza. Ada yang cepat berjaya dalam kerjaya tetapi diuji dengan masalah keluarga. Ada yang hidup sederhana tetapi memiliki ketenangan jiwa yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit. Ada yang nampak bahagia di media sosial, tetapi sedang bertarung dengan pelbagai masalah yang tidak diketahui sesiapa.

Sebab itulah membandingkan hidup kita dengan kehidupan orang lain selalunya tidak adil. Kita hanya melihat sebahagian kecil daripada kisah mereka, sedangkan kita mengetahui keseluruhan kisah hidup kita sendiri. Apabila kita terlalu kerap membuat perbandingan, kita akan mula merasakan diri tidak cukup baik, tidak cukup berjaya dan tidak cukup bernasib baik. Sedangkan hakikatnya, kita mungkin sedang berada tepat di tempat yang Allah tentukan untuk kita pada waktu ini.

Allah sudah susun dengan indah. Dia tahu bila masa untuk memberi, mengambil, dan menangguhkan sesuatu dengan sebab yang terbaik. Apa yang kita lihat hari ini bukan pengakhiran cerita. Setiap langkah, ujian, dan penantian adalah sebahagian daripada perancangan-Nya yang indah.

.

DR.Usrynorie


No comments:

Dulu Kita Makan Sambil Bercerita, Sekarang Kita Makan Sambil Tengok Telefon

Dulu, meja makan bukan sekadar tempat untuk mengisi perut. Meja makan ialah tempat kita berkumpul. Tempat emak bercerita tentang apa yang be...