Kita nak tahu siapa bergaduh dengan siapa, kita nak tahu siapa naik pangkat kita nak tahu siapa beli rumah baru dan kita juga sebok nak ambil tahu siapa yang sedang bermasalah. Akhirnya, hidup kita sendiri yang menjadi serabut.
Hakikatnya, banyak perkara yang mengganggu ketenangan hidup bukan datang daripada masalah kita sendiri tetapi datang daripada cerita orang lain yang kita simpan di dalam kepala.
.
Hamdan bekerja di sebuah syarikat swasta yang mempunyai hampir seratus orang pekerja. Di pejabat itu, berita bergerak lebih pantas daripada e-mel. Setiap hari ada sahaja cerita baru. Kalau ada staf baru masuk, semua orang mahu tahu latar belakangnya, kalau ada yang dipanggil masuk ke bilik bos, mula timbul pelbagai andaian dan kalau ada yang membeli kereta baru, ramai mula membuat cerita sendiri.
Hamdan pula memang suka mengambil tahu.
Setiap kali waktu rehat, dia akan duduk bersama kumpulan yang gemar bergosip. Mereka bercakap tentang semua orang. Tentang rumah tangga orang, tentang prestasi kerja orang dan tentang kehidupan peribadi orang. Pada mulanya Hamdan menganggap ia sekadar hiburan tetapi lama-kelamaan, perkara itu mula mempengaruhi cara dia melihat orang lain.
Suatu hari, seorang pekerja baru bernama Firdaus menyertai syarikat mereka. Belum seminggu bekerja, pelbagai cerita sudah tersebar.
"Aku dengar dia dapat kerja ni sebab kabel."
"Kat tempat lama pun ramai tak suka dia."
"Dia ni jenis suka bodek bos."
Hamdan mendengar semuanya.
Tanpa pernah bercakap dengan Firdaus, dia mula mempercayai cerita-cerita tersebut. Setiap kali melihat Firdaus berjalan di pejabat, dia berasa menyampah. Setiap kali Firdaus bercakap dalam mesyuarat, dia menganggap lelaki itu menunjuk-nunjuk. Sedangkan mereka hampir tidak pernah berinteraksi.
Beberapa bulan kemudian, syarikat menerima satu projek besar. Hamdan dan Firdaus ditempatkan dalam pasukan yang sama. Pada mulanya Hamdan tidak suka. Dia sudah mempunyai persepsi buruk terhadap Firdaus. Namun sepanjang projek berjalan, sesuatu yang tidak disangkanya berlaku. Firdaus sentiasa membantu ahli pasukan yang menghadapi masalah. Dia sanggup bekerja lebih masa dan dia tidak pernah bercakap buruk tentang sesiapa. Malah beberapa kali dia membantu Hamdan menyelesaikan tugasan yang sukar.
Hamdan mula keliru.
Lelaki yang dikenalinya tidak sama seperti lelaki yang sering menjadi bahan cerita di pantri pejabat.
Kemudian satu kejadian berlaku.
Seorang staf tersalah menghantar dokumen penting kepada pelanggan sehingga menyebabkan syarikat hampir kehilangan kontrak bernilai besar. Dalam masa beberapa jam sahaja, khabar angin mula tersebar. Ramai mula menuduh Firdaus. Kononnya dia cuai. Kononnya dia yang bertanggungjawab.
Seperti biasa, cerita itu berlegar dari satu meja ke satu meja. Namun kali ini Hamdan memilih untuk menyiasat sendiri. Dia memeriksa rekod e-mel dan dokumen projek dan akhirnya kebenaran terbongkar.
Firdaus langsung tidak terlibat.
Kesilapan itu dilakukan oleh individu lain dan apa yang lebih mengejutkan, Firdaus sebenarnya orang yang bekerja keras untuk memperbaiki keadaan sebelum pelanggan menyedarinya.
Ketika itulah Hamdan terasa malu.
Dia teringat betapa mudahnya dia mempercayai cerita orang lain selama ini. Betapa banyak penilaian yang dibuat tanpa mengetahui kebenaran.
Pada petang itu, Hamdan duduk bersendirian di pantri. Seorang pegawai senior yang sudah lama bekerja menghampirinya. Melihat wajah Hamdan yang muram, beliau tersenyum lalu berkata,
"Penat kan?"
"Penat apa, tuan?"
"Penat menguruskan cerita orang."
Hamdan hanya tersenyum tawar.
Pegawai itu menyambung lagi.
"Orang yang sibuk menjaga hidup orang lain selalunya tak sempat menjaga hidup sendiri."
Ayat itu menusuk tepat ke dalam hatinya.
Hamdan mengambil keputusan nekad. dia akan berjumpa Firdaus untuk meminta maaf walaupun kali ini dia tidak menuduh Firdaus. Namun dia rasa bersalah kerana dia juga percaya pada khabar angin. Dengan hati yang gementar, dia pergi ke kubikel Firdaus berkerja. Dia menceritakan apa yang berlaku. Firdaus tidak memarahinya. Firdaus juga tidak terasa kerana khabar itu menyebar bukan dari mulut Hamdan. Cuma Hamdan menjadi mangsa khabar angin dan mempercayai fitnah.
Sejak hari itu, Hamdan mula berubah. Dia tidak lagi berminat mendengar gosip pejabat. Dia tidak lagi suka membuat andaian tentang orang lain. Apabila perbualan mula berkisar tentang kehidupan orang, dia akan memilih untuk kembali ke mejanya dan menyelesaikan kerjanya.
Dan anehnya, semakin kurang dia mengambil tahu cerita manusia, semakin tenang hidupnya. Kerana dia akhirnya sedar bahawa ketenangan bukan datang apabila kita mengetahui segala-galanya tentang orang lain. Ketenangan datang apabila kita berhenti menjadikan urusan orang lain sebagai sebahagian daripada kehidupan kita.
.
Moral of the story..
Tidak semua cerita perlu kita dengar. Tidak semua khabar angin perlu kita percaya dan tidak semua urusan manusia memerlukan pendapat kita.
Malangnya, ramai antara kita terlalu suka mengambil tahu hal orang lain. Ada yang sanggup meluangkan berjam-jam berbincang tentang kehidupan orang lain, menyebarkan cerita yang belum tentu benar, malah ada yang berasa seronok apabila mendengar keburukan seseorang.
Pada mulanya ia mungkin sekadar sembang kosong. Namun lama-kelamaan, tabiat ini akan memenuhi fikiran kita dengan perkara yang tidak membawa manfaat. Kita menjadi sibuk memerhatikan kehidupan orang lain sehingga terlupa untuk memperbaiki kehidupan sendiri.
Hakikatnya, setiap kali kita terlalu mengambil tahu tentang urusan orang lain, kita sedang membuang masa, tenaga dan ketenangan yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih penting. Kita mula membandingkan hidup sendiri dengan kehidupan orang lain. Kita mula membuat andaian yang bukan-bukan. Kita mula memikul beban yang sebenarnya bukan tanggungjawab kita.
Sedangkan hidup kita sendiri sudah mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Ada keluarga yang perlu diberi perhatian. Ada kerjaya yang perlu diuruskan. Ada ibadah yang perlu diperbaiki. Ada kelemahan diri yang masih perlu diperbetulkan. Semua itu lebih memerlukan perhatian kita berbanding kisah hidup orang lain yang tidak memberi manfaat kepada diri.
Sebab itulah Islam mengajar kita supaya menjaga lidah, menjaga sangkaan dan tidak terlalu sibuk dengan perkara yang tidak berkaitan dengan diri kita.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain..."
(Surah Al-Hujurat, ayat 12)
Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak terlalu gemar menyelidik atau mencari-cari kelemahan orang lain. Kerana apabila hati sudah terbiasa mencari keburukan manusia, kita akan semakin sukar melihat kebaikan yang ada pada mereka.
Orang yang matang bukanlah orang yang mengetahui semua perkara tentang orang lain. Orang yang matang ialah orang yang tahu perkara mana yang perlu diambil tahu dan perkara mana yang perlu dilepaskan.
Bayangkan jika tenaga yang kita gunakan untuk mengambil tahu hal orang lain digunakan untuk memperbaiki diri sendiri. Masa yang digunakan untuk mendengar gosip digunakan untuk membaca buku. Masa yang digunakan untuk mengkritik orang lain digunakan untuk memperbaiki akhlak sendiri. Sudah tentu hidup kita akan menjadi lebih baik dan lebih bermakna.
Semakin meningkat usia, kita akan sedar bahawa ketenangan hidup bukan datang daripada mengetahui segala-galanya. Ketenangan hidup datang apabila kita belajar untuk fokus kepada perkara yang benar-benar berada dalam kawalan kita.
Biarlah orang lain dengan urusan mereka. Biarlah mereka dengan pilihan hidup mereka. Selagi ia tidak melibatkan hak kita atau melanggar batas agama, tidak semua perkara memerlukan campur tangan dan pandangan kita.
Jika mahu hidup lebih tenang, kurangkan mengambil tahu tentang kehidupan orang lain. Gunakan tenaga itu untuk memperbaiki diri sendiri. Kerana hidup ini sudah cukup mencabar untuk diuruskan. Jangan tambah beban dengan memikul cerita manusia yang bukan urusan kita.
Kadangkala, rahsia hidup yang tenang bukanlah mengetahui lebih banyak perkara tentang orang lain tetapi belajar untuk tidak mengambil tahu perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri sendiri.
.
Pengajaran dari Buku Hidup Kena Kuat:
Ramai orang mencari ketenangan di merata-rata tempat, sedangkan ketenangan sering bermula apabila kita berhenti mencampuri urusan yang bukan milik kita.
Fokus pada kehidupan sendiri. Perbaiki diri sendiri. Dan biarkan orang lain menjalani kehidupan mereka.
.
DR. Usrynorie
1 comment:
Dah tua² ni, memang saya sudah kurang ambil tahu hal orang, melainkan keluarga terdekat saja. Buat serabut otak je. Itu yang saya sudah uninstall semua media sosial dari handphone. Lega rasanya.
Post a Comment